Peminat dorong kejayaan.

Oleh: KHADIJAH IBRAHIM

Penyanyi Siti Nurhaliza menganggap peminat adalah sebahagian daripada kejayaannya dalam bidang nyanyian sejak lima tahun lalu.
Bagi penyanyi ini, peminat telah memainkan peranan untuk membawanya mencapai banyak kejayaan dan berada di puncak populariti.

Kejayaan terbaru ialah membolot lima anugerah dalam Anugerah Era yang berdasarkan pilihan peminat. Pada anugerah itu, Siti Nurhaliza membuktikan peminat berada di sisi kariernya apabila memenangi lima dari sepuluh kategori yang disediakan oleh penganjur iaitu Radio Era di Arena of the Stars, Genting Highlands Sabtu lalu.

Anugerah-anugerah itu juga menunjukkan Siti Nurhaliza masih berada di tangga populariti yang teratas.

Siti Nurhaliza meraih kejayaan menerusi kategori Vokal Pilihan Wanita, Vokal Pilihan Berkumpulan, Lagu Pilihan Pop, Lagu Pilihan Etnik dan Muzik Video Pilihan.

Keseluruhannya Siti Nurhaliza membawa pulang wang tunai RM25,000 yang dikongsi bersama Tan Sri S.M Salim dan komposer Ajai bagi kategori Vokal Pilihan Berkumpulan, Lagu Pilihan Etnik menerusi lagu Pandang-Pandang Jeling-Jeling dan Lagu Pilihan Pop.

Tetapi Siti Nurhaliza tetap menganggap, kejayaan yang diperolehi itu bukan kerana kegagalan rakan-rakan artis yang lain.

“Kita serupa saja cuma pada malam ini adalah rezeki saya,” kata Siti Nurhaliza kepada rakan-rakan artis.

Menerusi penganugerahan julung kali dianjurkan oleh sebuah stesen radio tempatan itu juga memilih M.Nasir sebagai pemenang kategori Vokal Pilihan Lelaki dengan menewaskan Awie, Saleem, Ferhad dan Aqasha.

Kumpulan Def-Gab-C yang turut mengadakan persembahan pada malam itu memperolehi kejayaan menerusi lagu Marilah Maria untuk kategori Lagu Pilihan Rock.

Untuk kategori Lagu Pilihan Nasyid dimenangi oleh kumpulan Rabbani yang terkenal dengan lagu Intifada itu.

Kejayaan Rabbani itu sekali gus memusnahkan harapan kumpulan In-Team (Kasih Kekasih), Raihan (Iktiraf, Haji Menuju Allah) dan Saujana (Keluarga Bahagia).

Selain itu kumpulan Too Phat yang popular dengan lagu Anak Ayam dipilih memenangi kategori Artis Inggeris Tempatan dengan mengalahkan Ferhad, Poetic Ammo, Butterfingers dan Reefa.

Menurut Malique, kejayaan yang diperolehi akan memantapkan lagi kedudukan Too Phat dalam bidang seni dan mengumpul peminat dari kawasan luar bandar.

“Kejayaan ini memberi laluan kepada kami untuk mengumpul peminat di kawasan luar bandar,” tegasnya.

Sementara Ferhad yang sebelum ini pernah dicalon untuk tiga kategori bagi Anugerah Industri Muzik (AIM) berkata, kejayaan yang diperolehi menerusi kategori Artis Harapan Pilihan memudahkan dia untuk mempromosi album terbarunya.

Album terbarunya akan diedarkan pada bulan Februari atau Mac tahun depan. Kejayaan ini membuktikan kehadiran dia mendapat sokongan peminat.

Pada majlis yang sama S.M Salim dipilih untuk menerima anugerah khas iaitu Anugerah Emas Era sebagai mengenang jasanya dalam bidang seni di negara ini.

“Saya amat rasa terharu dan tidak sangka pada malam ini akan menerima anugerah yang amat bernilai ini,” kata S M Salim.

Selain S.M Salim, Anugerah Era juga turut menghargai pelakon-pelakon veteran seperti Ahmad Mahmud, Aziz Sattar, Allahyarham Normadiah, S. Shamsuddin, Saadiah dan Sarimah menerusi anugerah khas Panggung Era.

Turut menjayakan majlis gilang gemilang itu ialah Ziana Zain, Sheila Majid, Fredo, Kris Dayanti, Juliana Banos, kumpulan Gigi dan lain-lain.

http://www.utusan.com.my/