Pelakon ‘Pernikahan Dini’ Gilai Siti Nurhaliza.

SI teruna tampan dan awet muda.

Si dara pun tidak kurang dengan keanggunannya.

Pendek kata, mereka berdua sama cantik dan sama padan.

Walau dirinya bergelar bintang dan menjadi kegilaan ramai, namun, Sahrul Gunawan, pelakon Indonesia, Pernikahan Dini, mendedahkan beliau menggilai bintang dari seberang, Siti Nurhaliza.

Lelaman Disctarra melaporkan bahawa Sahrul, 27 tahun, sempat meluangkan masa sibuknya untuk menonton konsert Siti yang diadakan di Teater Tanah Airku, Indonesia, tidak lama dulu.

Bukan itu sahaja, malah Sahrul turut cuba menghubungi pengurus Siti untuk mendapat keizinan bertemu dan berbicara sebentar dengan gadis idamannya itu.

Tapi apakan daya, pengurus tersebut dikatakan menolak permintaan Sahrul dan turut enggan menyerahkan nombor telefon Sahrul kepada Siti. Alahai…

Mungkin tarikan yang ada pada Siti terletak kepada betapa dirinya cukup dikawal ketat orang tua dan juga anggota keluarganya. Sahrul, mengakui mudah terpikat dengan gadis-gadis sebegitu.

Sahrul dalam laporan yang sama mengakui sukakan gadis yang sering ditemani ibu mereka walau ke mana-mana sahaja si gadis berada kerana menyifatkan tingkah laku gadis sebegitu cukup dijaga.

‘Bukan bererti yang sendiri itu tidak baik,’ kata pelakon yang kerap menghiasi kaca televisyen Suria melalui filem lakonannya.

Anak kelahiran Bogor pada 23 Mei 1976 itu juga boleh disifatkan agak memilih dalam mencari temanita apatah lagi wanita yang mahu dijadikan teman hidupnya.

‘Kalau saya berkasih dengan wanita yang bukan menjadi kriteria saya, saya fikir itu hanya buang waktu saja.

‘Teman-teman mahu saya ‘berjalan-jalan’ dulu. Siapa tahu nanti kamu sesuai. Tapi setelah saya fikir-fikirkan, nanti kalau tidak jadi saya pula menyakiti hati orang lain,’ tambah Sahrul.

http://cyberita.asia1.com.sg/