Skip to content

Recent Articles

5
Jan

Syor Sedia Kedai Muat Turun Asli Lagu MP3



Surat

Syor sedia kedai muat turun asli lagu MP3

2012/01/05
BARU-BARU ini Berita Harian melaporkan mengenai kegiatan memuat naik filem Ombak Rindu di YouTube dalam format definisi tinggi (HD) oleh dua individu tidak bertanggungjawab, menyebabkan pihak penerbit filem itu kehilangan hasil hampir RM1 juta dalam masa 24 jam jika dikira mengikut jumlah penonton video berkenaan.

Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sudah menyekat laman The Pirate Bay dan sembilan laman perkongsian fail lain atas alasan mahu membanteras cetak rompak. Semuanya menunjukkan betapa parahnya gejala cetak rompak di Malaysia yang boleh mengancam industri hiburan tempatan.
Jika sebelum ini, artis rakaman boleh berbangga dengan penjualan album melepasi 100,000 unit pada 1990-an, kini mereka hanya mampu menjual beberapa ribu unit saja dan jualan melebihi 10,000 unit oleh artis seperti Datuk Siti Nurhaliza pun dianggap sudah cukup baik.
Angka jualan album yang begitu merosot ini membawa kepada penutupan beberapa syarikat rakaman termasuklah NAR Music dan Maestro Talents.

Bagaimanapun, langkah menyekat laman perkongsian fail yang dilakukan SKMM tidak wajar serta membangkitkan kemarahan pengguna internet terhadap kerajaan. Langkah itu disifatkan sebagai ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’.

Oleh itu, langkah yang lebih berkesan dalam menangani isu pencabulan hak cipta ini ialah melalui kerjasama antara kerajaan melalui SKMM serta pemain industri hiburan seperti YouTube serta pengendali laman perkongsian fail.

SKMM dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga wajar membangunkan program usahawan muat turun asli dengan mengadakan kedai muat turun asli seluruh negara di mana lagu MP3 boleh dimuat turun secara sah.

Apa pun, kesedaran pengguna mengenai harta intelek penting kerana mentaliti pengguna Malaysia yang mahukan produk percuma atau murah tanpa mengira status hak cipta adalah punca utama gejala cetak rompak sukar dibendung.

Pengguna sepatutnya tidak pentingkan diri sendiri dan menzahirkan sokongan terhadap artis tempatan dengan membeli atau memuat turun produk asli.

SQUALL_SHINODA,

Kuala Lumpur.

Berita Harian

31
Dec

Osbon Dinobat Juara MLM, Raih Wang Tunai RM350,000

31/12/2011 1:09pm

Oleh ABD. AZIZ ITARaziz.itar@utusan.com.my

SHAH ALAM 31 Dis. – Kumpulan paling popular dalam Maharaja Lawak Mega (MLM), Osbon yang dianggotai oleh Os dan Abon menepati ramalan ramai apabila muncul juara sekali gus merangkul hadiah wang tunai RM350,000 pada final pertandingan itu di Stadium Melawati di sini malam tadi.

Mereka mengetepikan saingan terdekat iaitu kumpulan Boboi yang muncul naib juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM250,000 diikuti set meraih tempat ketiga dengan membawa pulang RM150,000.

Pada pertandingan peringkat separuh akhir di Johor Bahru, Johor pada 23 Disember lalu, Osbon dan Boboi mendahului semua peserta dengan masing-masing mendapat 72 markah diikuti Saehu (59), Syok (58) dan Pi Mai (49).

Sementara itu, kumpulan Syok menjadi pemenang keempat dengan meraih hadiah RM50,000 pada pertandingan yang disiarkan melalui saluran Astro Warna.

Pertandingan itu mengadili para pemenangnya menerusi 70 markah daripada para pengkritiknya manakala 30 markah lagi diperolehi menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton di rumah.

Tiga pengkritik tetap MLM ialah Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan dan Zainal Abidin Hassan manakala pengkritik jemputan pada final pertandingan itu ialah pelakon Aaron Aziz.

Selain Osbon dan Boboi, MLM turut disaingi oleh dua lagi kumpulan iaitu SYOK yang dianggotai oleh Suhaimi, Ifa Raziah dan Arif Sudin dan Saehu (Eko, Bocil dan Vicha). – UTUSAN

Utusan

30
Dec

Kekal Di Persada Cinta Peminat


KELAHIRAN album Inggeris pertama adalah kejayaan terbesar Siti Nurhaliza dalam tahun 2011.

MELANGKAH satu hari ke depan, kita bakal memulakan perjalanan baru. Sementelah, mentari 2012 bakal bersinar terang benderang bersama hadirnya hari baru yang penuh gemilang itu. Pun dalam tahun 2011, terlalu banyak yang indah dan jelek, berlaku dalam industri hiburan tempatan, menjadi simpanan di ingatan. Pun, kita ambil saja yang indah, yang putih dan bersih dan ia adalah bekalan untuk mencipta lebih banyak kejayaan yang bertanda. Hits memilih artis-artis yang kami fikirkan terbaik pada tahun 2011.

BIARPUN ramai tidak yakin akan kebolehan Datuk Siti Nurhaliza berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, penyanyi itu tidak gentar menghasilkan album Inggeris All Your Love pada 24 September lalu.

‘Sudah lama Siti simpan hasrat untuk buat album Inggeris. Akhirnya dengan kegigihan Adib (anak tiri), impian Siti tercapai. Album Inggeris ini merupakan kenangan paling manis Siti dalam tahun 2011 ,’ akuinya yang turut berduet dengan penyanyi popular kelahiran Amerika Syarikat, Sean Kingston dalam lagu Remember Me.

Katanya, setelah produk kecantikan jenama Simply Siti dipasarkan pada 2010, dia perlu bekerja keras bagi memastikan produk itu terus diterima ramai dalam tahun 2011.

‘Tahun ini tumpuan dan fokus Siti lebih kepada produk berbanding kerjaya kerana saingan dalam bisnes amat mencabar. Setelah pengguna tempatan memberi reaksi positif terhadap produk Simply Siti, sudah Siti kena tumpu untuk pasaran luar pula.

‘Setakat ini, produk itu sudah memasuki Brunei dan Insya-Allah tahun depan, Simply Siti akan ke Indonesia pula. Siti harap semuanya berjalan lancar,’ katanya.

Di sebalik kegembiraan dengan kelahiran album dan perkembangan positif produk Simply Siti, penyanyi itu turut berhadapan dengan dugaan dalam tahun 2011 apabila produk kecantikannya didakwa sebagai tidak halal.

‘Berita tidak benar itu sangat menguris hati, ia cabaran paling pahit pada Siti yang baru nak berjinak dengan perniagaan kecantikan,’ akuinya.

Namun dugaan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus melebarkan sayap sebagai ahli perniagaan apatah lagi, sehingga kini sudah ada 200 rangkaian di seluruh negara.

Bakal mencecah usia 33 tahun pada 11 Januari depan, diva ini berharap untuk mengadakan konsert secara solo sebagai iltizam 2012.

‘Semoga menjadi nyata kerana Siti sudah terlalu rindu untuk berasa duduk dalam atmosfera sebuah konsert berskala besar,’ katanya.

? Khadijah Ibrahim

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Utusan

29
Dec

Pi Mai ‘Kempunan’ Ke Final

Oleh HANIZA HASSAN
Gambar NASIRRUDDIN YAZID


Aksi terakhir kumpulan Pi Mai di pentas Maharaja Lawak Mega yang berlangsung di Johor Bharu tidak mampu meneruskan kemaraan mereka ke peringkat seterusnya.

TIRAI pentas separuh akhir pertandingan realiti lawak terbesar rantau ini iaitu Maharaja Lawak Mega (MLM) yang bersiaran di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor minggu lalu sudah berlabuh.

Malah peserta yang mara ke pentas final juga bukan lagi rahsia apabila empat peserta iaitu Kumpulan Boboi, Syok, Saehu dan Osbon akan berentap sesama sendiri bagi merebut takhta juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM350,000.

Mengimbau persembahan minggu ke sembilan itu, nasib tidak menyebelahi Kumpulan Pi Mai yang terpaksa akur apabila tersingkir dengan jumlah undian sebanyak 49 peratus jauh ketinggalan dengan empat peserta lain. Pi Mai nampaknya kempunan untuk mara ke final, jauh sekali merampas gelaran tertinggi pertandingan berkenaan.

Biarpun begitu, semua peserta yang diberi dua tugasan iaitu kisah dongeng dan kisah keluarga benar-benar membuatkan kira-kira 8,000 hadirin yang memenuhi stadium tidak berhenti ketawa.

Bagi Pi Mai yang dianggotai pelawak veteran, Sathia, Imuda dan Mat Over, berada dalam kelompok lima terakhir dan mampu bertahan sehingga ke pentas separuh akhir sudah cukup menggembirakan mereka.

Apatah lagi, berentap bersama 17 peserta lain sejak awal benar-benar memberi saingan sengit kepada mereka.

“Ini semua takdir, kami reda dengan keputusan yang tertulis. Adat pertandingan ada menang dan ada kalah.

“Namun kami sangat gembira dengan pencapaian kumpulan sehingga mampu melangkah ke separuh akhir.

“Selepas ini kami akan kembali kepada pekerjaan asal kami dan saya percaya pihak Astro tidak akan membiarkan kami begitu sahaja dan mungkin mereka akan merencanakan sesuatu untuk kami,” ujar Imuda ketika ditemui selepas habis program.

Mengakui satu hakikat, pemilik nama sebenar A.Rahim Muda itu berkata, faktor umur juga membuatkan mereka sukar untuk ‘menangkap’ jenaka zaman moden yang disifatkan lebih ‘bertenaga’ dan terus terang.

“Yelah masing-masing sudah berusia. Saya sendiri berumur 52 tahun manakala Mat Over pula dah nak masuk 60 tahun dan Sathia pula 47 tahun. Saya akui sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada kami untuk mengikut rentak zaman sekarang.

“Teknik jenaka juga sudah berbeza. Namun saya sangat berterima kasih kepada Astro khususnya MLM kerana mengembalikan Pi Mai Pi Mai Tang Tu ke pentas seni. Ia merupakan kemunculan semula kami sejak tahun 2002 selepas ia mula ditayangkan pada tahun 1983,” katanya lagi.

Sementara itu, pengkritik tetap MLM, Datuk Chef Wan ketika sidang media berkata, Pi Mai mempamerkan lawak yang stereotaip setiap minggu malah konsistensi kumpulan berkenaan juga tiada.

Menyentuh soal isi kandungan, Chef Wan berkata, momentumnya tidak seiring, ada kala isi kandungannya bagus dan ada kala kurang menyerlah biarpun mereka mempunyai kekuatan tersendiri.

“Lawak mereka setiap minggu sama, tipikal Pi Mai. Jalan ceritanya ada namun bila bercakap soal isi kandungan, terdapat kekurangan.

“Lawak adalah sesuatu yang mudah. Ia diperjelaskan dan dibuktikan lagi dengan tawa yang tidak berpenghujung penonton. Jika mereka suka mereka akan ketawa dan mereka akan senyap bila ia tidak menjadi.

“Secara keseluruhan persembahan semua peserta termasuk Pi Mai, apa yang boleh disimpulkan mereka sudah menunjukkan yang terbaik. Kita nampak kegigihan mereka untuk melahirkan satu lawak yang bermutu dan tidak lari dari garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Seperti biasa, selain Chef Wan, barisan pengkritik MLM terdiri daripada Zainal Abidin Hassan, Datuk Siti Nurhaliza dan minggu lepas, juri jemputan ialah penyanyi, Ferhad.

Kumpulan Osbon mendahului para peserta lain pada MLM lepas dengan memperoleh 72 markah, diikuti Boboi (72), Saehu (59), Syok (58) dan Pi Mai (49).

Hadiah kepada pemenang pula adalah, juara akan membawa pulang wang tunai RM350 ribu dan trofi, tempat kedua pula, wang tunai RM250 ribudan trofi manakala tempat ketiga, wang tunai RM150 ribu dan trofi.

Utusan

29
Dec

Impian Menggunung Faizal

Hip

Impian menggunung Faizal
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
2011/12/29
gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Foto

Pengalaman 15 tahun dalam muzik, tapi belum sedia cipta lagu sendiri

KELIBATNYA kerap kelihatan di televisyen, mengendalikan sekumpulan pemuzik profesional. Sebagai Pengarah Muzik untuk beberapa program hiburan yang menampilkan penyanyi popular negara serta yang terbaru Vokal…Bukan Sekadar Rupa, tugas Faizal Uzir boleh dianggap sebagai tulang belakang kepada sesebuah program itu.
Pincang muzik yang dipersembahkan, pincanglah juga keseluruhan program itu meskipun dari segi produksi dan artis yang membuat persembahan mempunyai reputasi yang bukan sembarangan. Bukan mudah menggalas tanggungjawab itu.
Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Muzik dari UiTM Shah Alam ini, sebelum berada pada kedudukan sekarang, dia terlebih dulu menimba pengalaman dengan menjadi pemuzik pengiring untuk pelbagai acara hiburan.

Sebaik tamat pengajian pada 1996, banyak membuat persembahan sebagai pemuzik undangan untuk beberapa acara membabitkan artis penyanyi seperti Mas Idayu dan Hattan. Dari situ belajar serba sedikit dan mencari pengalaman untuk dijadikan ilmu.

Perkenalannya dengan pemuzik dan pengarah muzik, Helen Yap banyak mengubah kehidupan Faizal. Helen dianggap sebagai sifu dan juga mentornya dalam bidang ini.

Bermula sebagai pemuzik biasa hinggalah diberi kepercayaan oleh pihak stesen untuk menjadi pengarah muzik program hiburan mereka. Program hiburan pertama sebagai pengarah muzik adalah rancangan hari raya Teratak Siti Nurhaliza kira-kira tahun.

Bercerita mengenai tugasnya itu, jejaka berusia 37 tahun ini berkata, antara perlu dilakukan adalah membuat susunan semula muzik untuk disesuaikan dengan persembahan seseorang artis itu.

“Contohnya, kalau ada penyanyi tidak mahu intro sesebuah lagu itu seperti dalam cakera padat, saya akan menggubahnya. Begitu juga jika terdapat lagu yang disampaikan secara medley, kerja saya menyusun semula muzik itu mengikut apa yang dimahukan penyanyi terbabit.

“Biasanya sebelum melakukan tugas itu, saya terlebih dulu mengkaji tahap suara mereka untuk disesuaikan dengan muzik yang hendak digubah. Biasanya hanya penyanyi yang tahu mengenai muzik saja yang akan saya layan. Jika tidak, saya akan buat sendiri,” kata Faizal yang pernah menganggotai kumpulan muzik Dominan.

Antara penyanyi yang pernah mendapat sentuhannya adalah Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Ziana Zain, Faizal Tahir dan Dayang Nurfaizah.

“Diberi kepercayaan menjadi tulang belakang persembahan penyanyi ini ibarat satu ganjaran di atas kerja keras saya. Mereka adalah penyanyi yang sangat profesional,” kata Faizal yang menjadikan Datuk Ramli MS dan Aubrey Suwito sebagai idola.

Impiannya selepas 15 tahun berkecimpung dalam bidang muzik ialah mahu melebarkan kebolehannya di peringkat Asia, sekurang-kurangnya di luar tanah air sendiri. Anak jati Kluang, Johor ini menyimpan hasrat untuk dikenali sehingga ke peringkat lebih tinggi dan meletakkan tempoh lebih lima tahun untuk dia merealisasikan impiannya itu.

“Saya ingin dikenali seperti komposer dan pengarah muzik terkenal Indonesia, Erwin Gutawa. Sebelum itu, saya harus mempersiapkan diri terlebih dulu dengan mengisi pelbagai ilmu serta mengumpul pengalaman dalam bidang muzik,” katanya.

Sekalipun bercita-cita besar seperti Erwin, tetapi Faizal tidak pula mempunyai impian mencipta lagu sendiri. Ia bertentangan dengan impiannya. Memberi alasan belum bersedia, tidak seharusnya ada pada diri Faizal yang mengaku sudah 15 tahun dalam bidang muzik.

“Pernah juga saya mencuba untuk menulis lagu tapi hasrat itu terbantut kerana dalam fikiran saya terlalu banyak melodi yang harus dimuatkan dalam sesebuah lagu sehingga sukar untuk saya buat pilihan.

“Seorang komposer dan juga penggubah lagu memang berbeza. Komposer akan mencipta apa saja melodi yang terlintas di fikirannya, manakala penggubah lagu begitu cerewet kerana terlalu banyak melodi yang ingin disumbat dalam sesebuah lagu itu. Jadi saya fikir, biarlah tugas mencipta lagu itu diberikan pada orang lain,” itulah alasan Faizal mengapa tidak bersedia menghasilkan karya sendiri.

Berita Harian

26
Dec

Sanggup Habis RM2,000 Sebulan


SITI NURHALIZA

WANITA dan kecantikan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Rentetan itu membuatkan wanita di seluruh negara taksub untuk mencari alternatif bagi memastikan diri tampil jelita.

Justeru, tidak hairanlah berikutan obses kepada kecantikan, produk kosmetik menjadi tumpuan utama.

Persoalannya, sejauh mana wanita Malaysia sanggup berbelanja besar bagi tujuan itu dan apa pandangan mereka terhadap produk kosmetik.

Ikuti laporan wartawan Utusan Malaysia, FAZRINA AYU RADUIAN dan jurugambar, MUHAMAD IQBAL ROSLI mengenai isu produk kosmetik berkenaan.

KUALA LUMPUR 25 Dis. – Demi untuk tampil cantik, wanita Malaysia dikatakan sanggup berhabis sehingga RM2,000 setiap bulan semata-mata untuk membeli produk kosmetik pelbagai jenama yang terdapat di pasaran.

Jika tidak, masakan rakyat negara ini diunjur sanggup berbelanja sehingga AS$1.1 bilion (RM3.42 bilion) tahun lalu hanya untuk membeli produk kosmetik dan kecantikan.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Kuala Lumpur mendapati, kebanyakan wanita berumur 18 hingga 30 tahun yang ditemui, pasti memakai produk kosmetik sekurang-kurangnya bahan asas seperti bedak kompak, gincu, pembayang mata atau pemerah pipi.

Perbelanjaan ini tidak mencakupi perbelanjaan lain seperti pakaian, produk penjagaan kulit, rambut dan penjagaan kesihatan.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Utusan

25
Dec

Menyorot Pahit & Manis 2011

Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my

PAHIT dan manis tahun 2011 sudah dirasai. Kalau mengikut hitungan, kurang daripada seminggu sahaja lagi kita akan melabuhkan tirai 2011 dengan seribu satu kenangan.

Ada yang suka tak kurang juga yang kurang gembira dengan perjalanan yang telah dilalui. Walau apa sekalipun terjadi, adakah tahun ini benar-benar memberikan peningkatan memberangsangkan kepada anak seni kita?

Menyelak satu persatu diari anak seni sepanjang tahun ini, Pancaindera dapat melihat sendiri kebangkitan beberapa nama yang menjadikan tahun ini sebagai tahun untuk mereka bersinar.

Nama Syamsul Yusof mula meniti di bibir para peminat filem tempatan berikutan kejayaan filem-filem arahanya mencatat kutipan yang membanggakan.

Selain kejayaan, cerita panas keretakan rumah tangga beberapa personaliti tanah air cukup mengejutkan.

Paling menggemparkan kisah rumah tangga Jimmy Shanley bersama Shuhaila berantakan sehingga menimbulkan kontroversi yang cukup hangat apabila Jimmy mendedahkan segala-galanya di dalam mahkamah.

Di sebalik kontroversi itu juga, ramai juga anak seni kita yang berjaya mengikat dua hati menjadi satu.

Sudah pasti nama Memey dan Norman Hakim menjadi perhatian apabila perkahwinan RM12 juta mereka menjadi topik paling panas sepanjang tahun ini.

Tak lupa Yasmin Hani dan Shahrin yang ‘berperang’ dengan beberapa rakan media akibat tiada jemputan.

Sementara Hattan menggejutkan para peminatnya apabila didakwa menceraikan isterinya setelah tujuh hari bernikah.

Kepada yang telah pergi, takziah buat keluarga mereka. Tidak ada siapa yang dapat menggantikan mereka. Hanya budi yang ditabur mampu dikenang sehingga akhir hayat.

Perkahwinan

21 Januari- Ayu Raudhah akhirnya selamat diijabkabul bersama pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak. Biarpun pada waktu ini dia dikatakan ‘perang dingin’ dengan Rita Rudaini akibat perselisihan faham, akhirnya masing-masing bahagia bersama keluarga sendiri.

18 Februari- Farish Aziz yang juga merupakan bekas pengacara program Durian Runtuh selamat disatukan bersama Zahrah Fowzi di Kota Kinabalu, Sabah.

26 Februari- Setelah bercinta beberapa ketika, Siti Sarah Raisuddin akhirnya memilih Shuib Sepahtu sebagai suami. Pasangan bahagia ini telahpun dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Uwais Alqarni yang lahir pada 4 Disember lalu.

23 April- Nurul AF2 bernikah dengan seorang peguam, Munzil. Kes mereka panas selepas bernikah apabila keluarga kandung Nurul mula buka mulut apabila Nurul bernikah menggunakan wali hakim.

29 April- Lebih 30 tahun membujang, Zed Zaidi akhirnya memilih Natalia sebagai isterinya yang sah. Majlis yang diadakan secara gilang-gemilang itu mendapat liputan meluas.

30 April- Majlis yang diadakan secara tertutup akhirnya diketahui juga. Cheryl Samad memilih Ng Ping Ho sebagai suami dan hanya menjemput saudara mara dan rakan taulan di hari bahagianya.

1 Mei- Pelakon Fazreen Rafi selamat disatukan bersama Sharifah Marlina di Batu Gajah, Perak. Fazreen mula popular selepas membintangi drama bersiri Spa-Q.

15 Mei- Hanya bercinta selama tujuh bulan, akhirnya pelawak Yassin memilih Farrah sebagai isterinya. Majlis diadakan di Putrajaya.

28 Mei- Ahmad Fedtri Yahya memilih Nurul Anati sebagai suri di hati. Dinikahkan di Kelantan, pasangan ini cukup bahagia sebagai suami isteri.

31 Mei- Salih Yaccob akhirnya menamatkan spekulasi perkahwinan apabila selamat bernikah dengan gadis berusia 25 tahun. Samihah merupakan isteri keempat Salleh selepas Norizah Mamat, Norraha Hamat dan Norfara Wahida.

1 Julai- Memilih untuk bernikah dengan Siti Rahayu Abas, Tomok kini bakal bergelar bapa tidak lama lagi.

1 Julai- Noh yang juga merupakan vokalis kumpulan Hujan selamat disatukan dengan Mizz Nina. Majlis berlangsung meriah dengan tiga kali majlis resepsi di tempat berbeza.

15 Julai- Cukup manis dengan imej bertudung, akhirnya Farah Diana Anuar selamat diijabkabulkan dengan Johan Johari di atas cruise Tasik Putrajaya.

16 Julai- Pengacara Majalah 3, Nurul Syuhada Nurul Ain bergelar isteri kepada Raja Amir dengan wang hantaran sebanyak RM20,111.

30 Ogos- Ashraf Muslim memilih Masjidil Haram di Mekah sebagai tempat untuk disatukan bersama Nor Dayana Lokman sebelum hari raya Aidilfitri lalu.

9 September- Faezah Elai bernikah dengan pengarah drama, Heykal Hanafiah yang juga merupakan seorang duda. Walaupun perkahwinan mereka menimbulkan kontroversi tetapi berjalan dengan lancar.

24 September- Memey dan Norman Hakim di nikahkan di kampung Memey di Felda Tenggaroh, majlis resepsi pula diadakan di Hotel Crown Plaza Kuala Lumpur yang menelan belanja RM12 juta.

30 September- Biarpun cinta yang lalu tidak kesampaian, akhirnya Nabil Raja Lawak selamat disatukan bersama Nazirah Ayub di Putrajaya. Majlis resepsi mereka diadakan di I-City Shah Alam, Selangor.

1 Oktober- Taja yang juga merupakan gitaris kumpulan Meet Uncle Hussain selamat bernikah dengan Kimy yang juga pengurus kumpulan itu.

21 Oktober- Pernikahan Yasmin Hani dan Shahrin Black Rose mencetuskan kontroversi apabila ada beberapa organisasi media yang tidak dijemput untuk membuat liputan.

11 November- Dira Abu Zahar mengakhiri zaman janda dengan Helmy Yusof di Merlimau, Melaka. Dira merupakan pengacara baru rancangan Melodi.

11 November- Hattan selamat bernikah dengan Farah Asyikin yang juga merupakan janda anak dua di kediamannya di Seri Menanti, Negeri Sembilan.

20 November- Ezlyn akhirnya memilih pengurus sendiri iaitu Adam Fahmi Samsudin sebagai suaminya yang sah. Pasangan ini juga dikhabarkan mendapat tajaan berjuta-juta ringgit.

20 November- Mungkin Zahiril adalah pasangan yang paling romantis setakat ini. Dia mendeklamasikan puisi buat isterinya, Shera pada majlis resepsinya.

11 Disember – Chef Rizz memilih Ana Dahlia sebagai isterinya yang sah. Mereka selamat dinikahkan di Taiping, Perak pada tarikh yang sama.

Lambaian terakhir

1 Januari – Mohd. Faisal Yusup, 33, pelakon dan juga bekas suami kepada penyanyi popular Siti Nordiana disahkan meninggal dunia pukul 1.45 tengah hari di Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur. Allahyarham meninggal di samping isteri, Rosmunira Rashid, 27, serta anak lelaki daripada perkongsian hidupnya dengan Siti Nordiana, Mohamad Rayyan Nakhaie.

13 Mei – Penyanyi lagu Penawar Rindu, Datin Orked Abdullah meninggal dunia di Hospital Ampang kira-kira pukul 12.40 tengah hari setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu. Penyanyi berusia 64 tahun yang popular itu berada dalam keadaan kritikal setelah tiga tahun menderita penyakit ketumbuhan hormon yang tidak stabil atau paraganglioma sebelum meninggal dunia.

19 Jun – Pelakon dan pelawak veteran terkenal, Zami Ismail, 67 tahun atau lebih dikenali sebagai Pak Uda, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami masalah jantung. Allahyarham dikebumikan di Tapah, Perak mengikut permintaannya 15 tahun dahulu yang mahu dikebumikan di kampung halamannya.

1 Ogos – Setelah menderita dua tahun akibat barah pangkal rahim, akhirnya penyanyi era 60-an, Hasnah Haron meninggal dunia lebih kurang pukul 8 pagi. Semasa hayatnya Hasnah popular dengan lagu-lagu seperti Bersedih, Sabar Menanti dan Siti Zubaidah.

11 Oktober – Penyanyi yang popular dengan lagu Lembaran Terakhir, Datuk Ahmad Jais meninggal dunia di Hospital Pakar Darul Ehsan Medical Centre (DEMC) kira-kira pukul 9.20 pagi. Ahmad Jais, 75, meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru setelah dimasukkan ke hospital berkenaan selama dua minggu.

Cerai & kes mahkamah

PANTAI mana yang tidak dilanda badai. Mungkin itu ayat yang paling sesuai untuk menggambarkan apa yang telah dilalui oleh anak seni yang masih naik turun mahkamah dalam pelbagai hal.

Antara artis yang telah disahkan bercerai tahun ini termasuklah Siti Saidah dengan Mohd Ghazali. Siti Saidah adalah kakak kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Selain pasangan itu, rumah tangga yang dibina oleh Joey Daud menemui titik noktah apabila dia bercerai dengan Noraini Daud. Kes rumah tangga yang melanda mereka cukup hangat apabila dikhabarkan berpunca daripada orang ketiga.

Nama Watie Elite menjadi panas apabila Noraini menuduh bekas anggota kumpulan Elite itu menjadi dalang sehingga menghancurkan rumah tangga yang dibina itu.

Dalam kes dadah pula, Benjy dikenakan denda RM5,000 oleh mahkamah atas kesalahan memiliki dadah. Dia kini masih menjalani perintah buang daerah di Pahang.

Pelawak Saiful Apek juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan. Dia didakwa di mahkamah bersama tiga yang lain dan kes masih berjalan sehingga hari ini.

Penyanyi Adzrin Azhar pula dikenakan penjara satu tahun akibat terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram. Dia dilepaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan di mahkamah tinggi.

Terkenal sebagai ratu kontroversi, Raja Azmi sebelum ini didakwa di Mahkamah Syariah atas tuduhan khalwat dengan Roslin Hashim. Bagaimanapun pihak pendakwaan menutup kes itu atas sebab yang tidak dinyatakan secara khusus.

Kes tuntutan royalti Anuar Zain terhadap syarikat rakaman Sycrosound masih berlanjutan setelah dia menolak tawaran menyelesaikan secara baik di luar mahkamah.

Begitu juga dengan kes AC Mizal terhadap tuntutan penggubahan wang anak dengan bekas bekas isterinya. Kes tersebut masih belum selesai hingga hari ini.

Nadia Mustafar kalah dalam saman yang dikemukakan oleh Lisdawati berhubung dakwaan fitnah. Dia diarahkan membayar RM50,000 kepada Lisdawati seperti mana diarahkan mahkamah.

Cahaya mata

CUKUP bermakna sesebuah perkahwinan dengan kehadiran cahaya mata. Melihatkan beberapa pasangan yang menyambut kehadiran orang baru, terasa cukup indah.

Paling gembira sudah pasti melihat pasangan yang menerima kehadiran cahaya mata pertama. Anak yang lahir ditatang bagai minyak yang penuh.

Antara artis yang menyambut kehadiran orang baru buat pertama kali termasuklah Darling Ngasri, Aida finalis Gadis Melayu, Daphne Iking, Along Raja Lawak, Hanif Era FM dan Marion Caunter.

Artis-artis lain pula menambah bilangan anak mereka termasuklah Rich Estranged, Ayu OIAM, Linda Rafar, Sari Yanti, Syura, Faizal Ismail dan Cat Farish.

Utusan

24
Dec

Siti Puas Dapat ?Tembak? Staf

Oleh IFQDAR A. RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar RASHID MAHFOF
Lokasi: Galactic Laser, Mid Valley Megamall


TEMPUR… Pasukan Siti dan Datuk K saling mengacukan pistol sebagai amaran berjaga-jaga sebelum permaianan dimulakan.

PUAS! Itulah ungkapan yang terpacul dari mulut penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza setelah meluangkan masa hampir sejam di pusat permainan Galactic Laser yang terletak di tingkat tiga, pusat membeli-belah Mid Valley Megamall, Petaling Jaya.

Ironinya, apa yang lebih menggembirakan ialah penghibur yang mesra disapa sebagai Siti itu turut ditemani oleh suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K bersama dua anak bujangnya, Muhammad Adib, 21 dan Muhammad Asyraf, 20.

Bahkan bukan mereka berempat sahaja yang seronok bermain permainan ala paintball itu, tetapi keseronokan itu turut dikongsi bersama kakitangan produk kecantikan Simply Siti seramai lebih 30 orang.

Rata-rata di kalangan mereka, ia merupakan kali pertama mencuba bermain permainan tersebut dan semuanya ternyata teruja.

Menurut Siti, syarikat kosmetiknya itu akan sentiasa melakukan aktiviti riadah bersama bagi memastikan tekanan di tempat kerja dapat diseimbangkan.

‘Sebelum ini kami pernah bermain boling, futsal dan berkaraoke untuk menghilangkan tekanan kerja di pejabat.

‘Ini adalah salah satu inisiatif atau pendekatan yang saya gunakan untuk menghargai kakitangan kami.

‘Dengan cara ini, setiap kali selepas berseronok, minda mereka akan berasa lega dan segar untuk memikirkan idea baru dalam tugasan masing-masing,’ katanya.

Game yang selamat

Mengulas mengenai permainan laser tag, Siti akui pada awalnya dia langsung tidak tahu cara untuk bermainnya.

Namun, setelah diberi taklimat oleh salah seorang petugas di situ yang digelar Marsyal, barulah dia faham serba sedikit pasal peraturan dan teknik permainan tersebut.

Bagaimanapun, di mindanya masih lagi samar selagi dia belum memasuki ruang gelap yang direka khas menyerupai medan pertempuran itu.

‘Setelah siap menyarungkan uniform khas yang dilengkapkan dengan pistol laser, perasaan mula berdebar-debar.

‘Kemudian, apabila sudah memasuki medan perang, saya terus mencari sudut terbaik untuk melakukan serangan.

‘Tidak lama selepas itu, keseronokan terus dirasai dan saya tidak henti-henti berkejaran ke sana sini untuk menembak ataupun mengelak tembakan musuh,’ cerita Siti yang mengetuai pasukannya di kumpulan D itu.

Menariknya, dalam aksi tembak menembak tersebut, Siti harus berhadapan dengan pasukan Datuk K (kumpulan B).

Gelagat lincah Siti yang terkenal sebagai olahragawati di zaman persekolahannya itu banyak membantunya untuk menjadi penembak yang berjaya mengumpul markah tertinggi dalam kumpulan.

Pernah pada satu ketika, Siti mendahului carta markah yang dipaparkan di luar medan perang dan sesekali saling berganti kedudukan dengan anak tirinya, Adib.

Ternyata, Siti masih lagi aktif dan ligat untuk bersaing dengan kakitangannya dan pertempuran antara kedua-dua pasukan agak sengit.

Bagaimanapun, di akhir pertempuran yang berlangsung selama 10 minit itu, pasukan Datuk K berjaya menumpaskan pasukan Siti.

Meskipun tumpas di tangan suaminya, Siti ternyata puas dan seronok bermain permainan tersebut dan menyifatkan permainan berkenaan sebagai sukan ekstrem yang selamat.

‘Permainan ini sesuai dengan semua peringkat usia asalkan masih berupaya untuk berlari.

‘Walaupun penat, yang penting saya dan kakitangan Simply Siti dapat mengetepikan seketika masalah di pejabat dan berseronok di sini.

‘Mungkin pada masa akan datang, satu aktiviti lain pula akan diadakan,’ katanya.

Utusan

18
Dec

Kempunan Salji Di Seoul

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my
(Yang mengikuti program Bersama Datuk Siti Nurhaliza di Korea baru-baru ini)


Bersama Siti Nurhaliza di Jalan Cheonggyecheon, Seoul, Korea.

KALI pertama menjejakkan kaki di Korea Selatan menerbitkan rasa teruja penulis untuk menelusuri bumi yang ramai pemujanya ini.

Justeru kunjungan semasa musim sejuk dari 22 hingga 25 November lalu itu berbekalkan baju, sarung tangan dan topi tebal demi keselesaan ketika di sana.

Pemandu pelancong, Joe Chen, 35, dan Dola Chen, 22, menyambut ketibaan rombongan kami dengan sepanduk di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.

“Anda semua langkah kiri sebab salji pertama sudah turun selepas hujan lebat semalam. Kalau kita bertuah, mesti dapat rasa dalam dua tiga hari ini,” kata Joe disambut bunyi kehampaan daripada lapan petugas media yang begitu teruja untuk merasai sendiri pengalaman bermain salji.

Presiden produk kecantikan dan penjagaan kulit SimplySiti, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, turut menyatakan rasa teruja untuk merasai salji di Korea. Namun sehingga hari ketiga, usahkan hendak bermain bola salji, bayangnya pun tak nampak.

Joe memberitahu Seoul pada musim sejuk tidak semeriah tiga musim lain iaitu bunga bermula Mac hingga Mei, panas (Jun-Ogos) dan luruh (September).

Ini kerana, dalam keadaan cuaca yang sejuk, penduduk Korea lebih gemar duduk berehat di rumah, makan dan minum bersama keluarga. Alat pemanas digunakan sepenuhnya seperti alat penyaman udara bagi memastikan suhu bilik selesa untuk melakukan sebarang aktiviti santai secara terhad.

Satu lagi aktiviti penduduk sewaktu musim sejuk adalah berkunjung ke pusat beli-belah untuk membeli pakaian musim panas. Kesempatan tersebut turut digunakan oleh pelancong negara dua musim untuk memborong pakaian berkualiti yang selalunya dijual pada harga diskaun.

“Pada musim sejuk ini anda boleh lihat ramai remaja keluar rumah bergaya dengan fesyen seperti di Eropah. Masing-masing tak nak kalah dan fenomena itu tak ubah seperti pertunjukan fesyen atau persembahan artis K-Pop.

“Walaupun kelihatan moden tetapi mereka tak suka dengan pelancong luar. Lebih-lebih lagi kalau wajah mereka dirakamkan dengan kamera. Seboleh mungkin mereka akan cuba mengelak,” sambung Joe lagi.

Penuh bersejarah

Dalam kunjungan singkat itu juga, kami dibawa melawat sekitar Jalan Cheonggyecheon yang megah membangun dengan bangunan pencakar langit serta menelusuri sejarah di pusat pameran dan muzium pelancongan terkenal Cheongwadae Sarangchae.

Cheongwadae Sarangchae, yang baru dibuka kepada pengunjung tahun lalu, cukup istimewa kerana kedudukannya yang strategik iaitu menghubungkan beberapa lokasi penting seperti Blue House yang menjadi kediaman Presiden, Istana Gyeongbokgung, Gwanghwamun Square dan Sungai Cheonggyecheon.

Peluang mengunjungi Muzium Rakyat Kebangsaan Korea digunakan sepenuhnya untuk meninjau dewan yang suatu ketika dulu menjadi tempat perjumpaan golongan kerabat diraja dengan pegawai kerajaan.

Di tengah-tengah negara yang majoritinya beragama Buddha, Masjid Negara Seoul yang tersergam di Itaewon menyerlahkan toleransi beragama di Korea. Pertemuan dengan Ketua Imam, A. Rahman Lee banyak memberi pengetahuan tentang perkembangan Islam yang semakin pesat di negara berkenaan.

Kilang batu permata, rumpai laut dan ginseng menjadi lokasi persinggahan rombongan kami seterusnya sebelum dibawa menyaksikan persembahan teater muzikal Miso daripada Dinasti Joseon di Chongdong – sebagai pelengkap siri ‘penjelajahan’ di Korea.

Utusan

16
Dec

Tingkat Pelancongan Dua Negeri

Oleh MAZLINDA MURTADZA
utusanN9@utusan.com.my


Sebahagian peserta bersama kakitangan Tourism Perlis melihat proses pembuatan coklat D’Kawi di Kuala Perlis, baru-baru ini.

SEREMBAN 15 Dis. – Tourism Malaysia negeri ini akan mengeratkan hubungan dengan Tourism Malaysia negeri Perlis bagi meningkatkan kedatangan pelancong di antara kedua-dua negeri berkenaan.

Kerjasama itu dijalankan kerana kedua-dua negeri tersebut mempunyai keunikan dan tarikan yang tersendiri.

Antara daya tarikan kedua negeri tersebut ialah kepelbagaian makanan tradisional yang unik.

Negeri Sembilan terkenal dengan masak lemak cili api. Atas faktor tersebut, Tourism Malaysia negeri ini menganjurkan program Perlis Food Trail, baru-baru ini.

Seramai 40 orang delegasi dijemput menjadi peserta yang terdiri daripada ejen-ejen pelancongan dari seluruh negara.

Delegasi dari negeri ini dan ejen pelancong sekitar Malaysia, Sabah dan Sarawak diberi kesempatan menyaksikan demonstrasi masakan lemak ikan pekasam Belimbing Buluh yang cukup popular di Perlis.

Belimbing buluh adalah sumber makanan yang sukar didapati. Bagi penggemar masakan itu sudah pasti ingin mencubanya sekali lagi setelah merasa keenakan menu tersebut.

Peserta turut berkesempatan melihat perusahaan dried mango di Kangar dan demonstrasi membuat sabun buatan tangan.

Anggota rombongan turut dibawa melawat Homestay Felda Mata Ayer yang terkenal dengan Ladang Buluh Madu.

Di homestay itu pengunjung dibawa melawat ladang dan melihat cara-cara memproses rebung madu, jeruk dan cakar ayam.

Selain itu, delegasi turut dibawa melawat ke pasar ‘nat’ pokok getah, Pauh Putra dan meninjau perusahaan Belacan Madu dan jualan ikan masin.

Destinasi terakhir, peserta dibawa menikmati Laksa Kuala Perlis dan pulut udang.

Kuala Perlis turut memiliki keunikan yang tersendiri iaitu pembuatan coklat di kilang DKawi.

Menariknya, pengunjung boleh menikmati coklat bersalut strawberi yang turut digemari penyanyi terkenal, Siti Nurhaliza yang dijadikan tarikan utama di pintu utama kilang.

Secara keseluruhannya, program itu mendedahkan kepada orang ramai dalam peningkatan ekonomi sesebuah negeri dan mempromosikan produk ekopelancongan.

Utusan