Skip to content

Recent Articles

16
Sep

Datuk K Nafi Gosip Kahwin Pramugari



KHALID dan Siti Nurhaliza mengadakan sidang media pada majlis berbuka puasa dan memperkenalkan artis naungan Siti Nurhaliza Production, di Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR: Suami kepada penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza yang juga usahawan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, 49, menafikan yang dia ada berkahwin dengan seorang pramugari di luar negara seperti disebarkan dalam internet, baru-baru ini.

Sambil melahirkan perasaan terkilannya atas penyebaran gosip berkenaan, Khalid menegaskan dakwaan dia berkahwin lain itu sebagai tidak berasas.

“Perkara seperti ini (berkahwin) sebenarnya tidak pernah berlaku. Itulah akibatnya apabila kita terlalu mempercayai gosip. Ada kalanya benda ini bermula dengan gosip yang kecil. Tetapi ia mula menjadi besar apabila ada pihak mengambilnya secara serius.

“Bagaimana saya hendak berkahwin lain sedangkan saya dan Siti sentiasa bersama. Boleh dikatakan 99 peratus saya selalu berada di sampingnya. Kalau berpisah pun mungkin disebabkan kerja dan itu pun tidak mengambil masa yang lama.

“Jadi apabila gosip itu mengatakan yang saya berkahwin di London, saya menjadi hairan,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan artis baru Siti Nurhaliza Production (SNP) di Menara Yayasan Tun Razak l, Jalan Bukit Bintang, di sini, malam tadi.

Ditanya apakah dia akan menyiasat ke akar umbi dalang yang menyebarkan fitnah itu serta membawanya ke muka pengadilan, Khalid berkata dia tidak akan berbuat demikian.

Sementara itu, Siti yang berada di sisi suaminya sepanjang sidang media itu berlangsung berkata, gosip seperti itu tidak akan menggugat kepercayaannya terhadap suami.

“Sebaik saja membaca cerita itu, Siti ada juga bertanyakan pada suami Siti sekadar ingin mendapatkan kepastian. Namun, selepas dia menerangkan perkara sebenar, Siti biarkan saja perkara itu diam begitu saja. Siti tak ada perasaan prasangka pun pada suami kerana Siti percayakannya,” katanya.

Berita Harian

16
Sep

Datuk K Quashes Rumours Of Second Wife

 Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa and Datuk Siti Nurhaliza  at a press conference during a breaking fast function in Kuala Lumpur yesterday.

Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa and Datuk Siti Nurhaliza at a press conference during a breaking fast function in Kuala Lumpur yesterday.

KUALA LUMPUR: Did Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa marry another?

When posed the question yesterday, Khalid, who was present at a breaking fast function organised by Siti Nurhaliza Production, was a picture of calm.

“It’s totally baseless; the so-called marriage never took place.

“If it was true, when did it happen and to whom did I get married to?

“In short, it was just gossip. The weird thing is, why do reporters like to blow things out of proportion over something that is completely baseless?
“I guess that’s the price I have to pay for marrying someone like Siti.”

Siti, who was seated beside her husband, was all smiles and composed.

“I know that these bloggers and gossip-mongers who started the rumour wanted to see me blow my top.

“But I have never doubted my husband’s loyalty.

“However, after so many friends asked me personally about it, I did ask Datuk Seri if it was true, and he denied it.”

At the event, Siti Nurhaliza Production took the opportunity to introduce the artistes under its stable.

They included her sisters, Saerah and Saida, and a band called Coda.

New Straits Times

15
Sep

Depan Mata: Tetapkan Iman Dan Terus Bertudung

Oleh Hartati Hassan Basri

Rap
KHAMIS lalu dalam sibuk edit story kerana mengejar dateline sebelum jam 1 tengah hari, mata sempat juga menonton televisyen tidak jauh dari tempat duduk.

Ketika itu program Wanita Hari Ini (WHI) mengundang pelakon Aida Radzwill tetapi kali ini isteri penyanyi dan pelakon Joe Radzwill itu berubah imej dengan penampilan bertudung. Nampak anggun dan sopan, sedap mata memandang.

Sebelum ini Aida memang pandai bergaya terutama kebaya pendek menyerlahkan kejelitaannya tapi Aida berani tukar imej. Buat masa ini saya belum lagi menonton lakonannya bertudung tapi lakonannya sebagai ibu yang baik dalam Akukah Tanggang? memang menyenangkan.

Semakin ramai artis kita bertudung. Iyalah, ikut realiti masyarakat kita, memang ramai wanita kita menyahut seruan agama dengan menutup aurat.

Bisnes kain tudung juga laris dengan pelbagai fesyen dan gaya. Kini paling popular, tudung litup dari Indonesia yang mudah dipakai dan nampak cantik.

Lihat saja pelakon mereka, Inneke Koesherawati dan Novi Aulia dalam Mutiara Hati. Terbaru yang menjadi kesukaan kanak-kanak, penampilan Marshanda dalam siri Soleha di TV9.

Antara artis kita yang bertudung, Noraniza Idris, Nora, Sheila Rusly dan juga penyanyi terkenal, Datin Seri Siti Nurhaliza. Begitu juga selebriti stesen televisyen dan penyampai berita seperti Azizah Ariffin dan Hamidah Hamzah.

Dulu kalau ada artis bertukar imej dengan bertudung, lebih kepada yang berusia. Persepsi masyarakat juga berbeza apabila selalu kata, tidak takut hilang rezeki kerana siapa hendak tawarkan berlakon kalau penampilan begitu hingga ada pelakon kejap pakai kejap buka untuk disesuaikan dengan watak kononnya ikut tuntutan skrip.

Kini artis popular dan masih muda. Tapi bak kata dialog yang cukup popular masa ini, zaman dah berubah, dunia dah maju tapi wanita kita dalam mengejar kemajuan tidak lupa agama yang dipegang.

Ada juga yang tidak kekok bertudung untuk lakonan seperti Sariyanti dalam Kisah Kaisara dan sepanjang Ramadan ini, Memey dan Sherry nampak manis bertudung untuk watak mereka dalam Lara Rindu Mahsuri. Penyanyi muda, Farah AF2 juga tampil bertudung untuk program Cita Rasa Halal Oriental di Astro Oasis.

Abby Abadi juga makin serasi dengan imej bertudung sejak diberi imej baru dalam Gerak Khas. Penampilannya bertudung nampak manis dalam Nuraisha menerusi slot Dramasuria di TV3. Fouziah Gous juga sopan bertudung

Ada pula tampil bertudung untuk majlis tertentu seperti majlis pernikahan apatah lagi kalau diadakan di masjid seperti Linda Onn ketika menghadiri pernikahan penyampai Era, Natasha Aimee, baru-baru ini. Mungkin itu langkah permulaan, mana tahu nanti dibukakan pintu hati terus bertudung.

Turut mendapat perhatian mengenai penampilan artis bertudung ialah pelakon kontroversi, Zarina An-Julie dikatakan tampil sopan untuk iklan satu jenama beras.

Ada juga dikenali dari awal dengan penampilan bertudung seperti Waheeda dan Bienda dan kekal begitu hingga kini.

Kalau bertudung, paling penting kena kuatkan hati kerana cabarannya kuat. Paling menjadi bualan ramai tentunya langkah Siti bertudung selepas kembali mengerjakan haji tahun lalu.

Sebabnya mereka menganggap penampilan Siti bertudung sekadar fesyen dan bukan menutup aurat hingga ada meramalkan tidak lama nanti tudung melayang ditiup angin. Tapi hampir setahun, tudung masih terus bertahan di kepala Siti.

Tidak kurang jadi perbualan, Noraniza dikatakan tutup aurat tapi pakaian tetap ketat menampakkan bentuk badan. Itu antara cabaran perlu dihadapi artis apabila bertudung kerana mereka sentiasa menjadi perhatian.

Mana yang tidak kena dikritik saja kalau tidak ketika berbual dengan kawan, dikongsi lebih ramai orang dalam internet. Terpulang kepada artis itu menerima kritikan tetapi paling penting, tetapkan iman dan terus bertudung. Kalau buka tudung, lagi mereka suka mengata.

Saya sendiri bertudung sejak di tingkatan 3 hingga hari ini tapi paling menyentap perasaan apabila ada cemuhan pembaca memarahi tulisan saya dalam ruangan ini mengaitkannya dengan tudung. Kata mereka, tidak padan bertudung tetapi mulut jahat mengata orang ikut sedap saja. Sabar sajalah.

Tapi yang kurang sedap, ada artis veteran kejap pakai kejap buka. Patutnya mereka menjadi contoh generasi muda.

Harian Metro

14
Sep

Tudung Siti Pelengkap Gaya Aidilfitri

Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@nstp.com.my

Gaya diinspirasikan daripada tudung selebriti terkenal tanah air

UNTUK bergaya anggun dalam persalinan serba indah Aidilfitri nanti, jangan lupa sarungkan selendang atau tudung sebagai pelengkap gaya tatkala berkunjung ke rumah sanak saudara.

Lupakan jilbab mudah sarung yang sering digayakan bersama pakaian seharian kerana sempena kedatangan Syawal kali ini, butik Hajaba hadir bersama koleksi tudung terbaru yang unik dan istimewa.

Selain mudah dipakai, lapisan tudung dua lapis umpama serkup kepala membuatkan penampilan tampil anggun dan lain daripada yang lain. Tudung yang diinspirasikan daripada gaya tudung selebriti terkenal tanah air, Datuk Siti Nurhaliza itu dinamakan tudung Siti.

Pilihan coraknya pelbagai dan terkini. Ketelitian pemilik Hajaba, Mona Din memilih fabrik berkualiti, spandex menjanjikan keselesaan kepada pemakai. Malah, lapisan tudung luar dibuat labuh menutupi bahagian dada memenuhi kehendak muslimah yang mementingkan gaya dan kesopanan.

Saat sibuk melayan kedatangan sanak saudara, tudung luar yang disemat pin boleh dibuka meninggalkan anak tudung lapisan dalam yang terbentuk cantik mengikut bentuk wajah.

Cara pemakaian:

1. Sarungkan anak tudung.

2. Sarungkan lapisan tudung luar, pastikan kedudukannya tepat.

3. Sematkan jarum peniti di bahagian tengah kepala.

4. Hasilnya, penampilan anda pasti bergaya. Jangan lupa sematkan kerongsang sederhana besar di bahu sebagai pelengkap gaya.

Model : Amelina
Terima kasih Mona Din dari Butik Hajaba, Shah Alam.

Berita Harian

14
Sep

Kisah Siti Nurhaliza Dimadu

DI SANA sini orang bercerita tentang kisah yang satu ini. Masing-masing bertanya, benarkah penyanyi kesayangan mereka dimadu? Biarpun Siti telah menafikannya namun masih terdengar suara-suara nakal memperkatakan kisah suaminya, Datuk K yang didakwa telah berkahwin dengan seorang pramugari.

Jika diamati kisahnya, memang tiada langsung privacy buat seorang yang bernama Datuk Siti Nurhaliza Taruddin ini. Ada sahaja kisahnya yang cuba dikorek. Tapi Wanda percaya, Siti Nurhaliza dapat menangani setiap situasi dan permasalahannya dalam dunia seni ini dengan tenang.

Bukan sekali dua gosip melanda. banyak kali sangat. Orang kata dah lali, bagi yang kena gosip dan mendengar gosip. Bayangkan, sampaikan dia buat majlis pun orang nak kata. Dia buat majlis tertutup pun orang bercakap.

Bila dia buat sambutan meraikan sambutan ulang tahun pertama perkahwinannya secara terbuka pun orang bercakap juga.

Habis macam mana? Setiap tindak tanduknya menjadi perhatian dan setiap langkahnya diekori. Mungkin sahaja Siti bernasib baik kerana Malaysia tidak ada paparazzi.

Kalau ada, mungkin dia mahu ke tandas juga diekori seperti yang berlaku ke atas Britney Spears. Itu belum kisah aksi kejar mengejar sekadar mahu mendapatkan berita artis atau selebriti terkenal seperti di Barat.

Sehingga ada nyawa terkorban kerananya seperti kisah paparazzi yang mengejar Puteri Diana yang menyebabkan nyawa puteri kesayangan rakyat Britain itu melayang sedekad yang lalu.

Mungkin benar agaknya, sukar menjadi seorang yang bernama Siti Nurhaliza. Menjadi penyanyi tersohor, gelaran yang diberikan kepadanya itu, nampaknya turut mengheret dan memaksa Siti untuk terus diekori dan diperhatikan setiap gerak geri, langkah juga kisah-kisah peribadinya.

Tetapi sebenarnya itulah harga yang terpaksa dibeli oleh setiap daripada mereka yang bernama artis. Apalagi yang popular dan duduk pula di tangga teratas dalam senarai artis tempatan.

Sebab menjadi artis bukan sekadar mahu popular. Ada tanggungjawab yang harus dipikul dan ia juga berkenaan dengan hak-hak peribadi diri yang terpaksa dikongsi bersama khalayak. Jadi kalau rasa nak jadi artis, bersedialah dengannya!

Utusan Malaysia

11
Sep

Serambi Pak Engku Tumpuan Artis

Oleh Razif Rosdi
Foto oleh Bijantora

Selepas terbabit dalam penyediaan makanan majlis perkahwinan Dato’ Siti Nurhaliza bersama Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, nama Raja Rosly Raja Mazlan atau Pak Engku yang menguruskan Kuzie Catering ini semakin menjadi pilihan golongan selebriti untuk menempah makanan untuk apa jua majlis.

Pak Engku yang juga dikenali sebagai Chef Selebriti ini pernah terlibat dengan Konsert Seroja Mawi selain bertanggungjawab menyediakan santapan untuk perkahwinan Ning Baizura bersama Omar Sharif dalam suasana kampung Melayu.

Terbaru, Pak Engku terlibat dengan menjadi penaja utama bagi program Teratak Siti Nurhaliza yang rakamannya dibuat pada 12 Ogos lalu.

Apapun, baru-baru ini, bertempat di Tingkat 4, Wisma PKPS, Shah Alam, Pak Engku yang popular dengan hidangan masakan Melayu telah mengadakan majlis berbuka puasa di Serambi Pak Engku.

Apa yang pasti, majlis yang diadakan pada hari itu sinonim dengan perkahwinan Ning Baizura. Bagaimanapun, daya tarikan Pak Engku sudah tentu masakan Melayu yang membuatkan semua orang mahu tambah banyak kali.

“Istimewanya, kami banyak menyediakan masakan tradisional seperti Kuih Lopes, Apam Balik, Gulai Daging Kawah, Laksa Sabak Bernam dan Mee Rebus Kuala Langat,” ujar Pak Engku.
 

Lebih 500 tetamu yang hadir termasuklah selebriti popular seperti Nabil Raja Lawak, Raja Azura, Haziq, Farhan, Jefry Din, Jaafar Onn, Rohana Jalil, Maya, Azlee Senario, Nash dan ramai lagi.

Pada majlis tersebut, Pak Engku turut menghulurkan duit raya kepada 34 anak yatim dari Yayasan Al-Ijabah, Subang Jaya, Selangor. Murah rezeki Pak Engku.

Murai

11
Sep

Cucu Wahid Satay

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin


Hyra

Hyra tinggalkan kerjaya pramugari demi cinta pada seni

DI antara 15 cucu pelakon veteran Wahid Satay, hanya Mahirah Mohd Yasin atau mahu dikenali sebagai Hyra yang menyambung legasi datuknya dalam bidang seni. Disebabkan cintanya pada dunia seni, gadis berusia 23 tahun itu sanggup meninggalkan kerjaya selesa sebagai pramugari di Silkair hanya kerana ingin memberi tumpuan pada bidang nyanyian.

Hyra berkhidmat di awan biru selama dua tahun iaitu dari 2004 hingga 2006. Bagaimanapun kerana sukar membahagikan waktu antara kerjaya seni dan tugas sebagai pramugari, dia mengambil keputusan nekad meninggalkan terus kerjaya berkenaan.

Namun sebelum itu, Hyra berbincang dengan keluarga terlebih dulu sebelum keputusan dicapai. Keluarga juga tidak menghalang, malah mereka memberikan sokongan sepenuhnya ke atas keputusan dibuat. Gadis berperwatakan lemah lembut dan memilik wajah iras Datuk Siti Nurhaliza Tarudin itu percaya rezeki berada di mana-mana meskipun belum mengetahui untung nasib dalam dunia muzik.

Kerjaya sebagai penyanyi bermula apabila dia diintai syarikat Bio Music Production yang tertarik dengannya ketika membuat persembahan pembukaan Konsert Siti Nurhaliza yang diadakan di Stadium Tertutup Singapura pada 2005. Sebelum itu, anak kedua daripada tiga beradik itu banyak menyertai pertandingan nyanyian dan dua kali memenangi pertandingan Tiru Gaya Siti iaitu pada 2003 dan 2005.

“Rezeki di tangan Tuhan. Saya percaya kalau ada rezeki tak ke mana. Sebelum keputusan ini dicapai, saya sudah fikir semasak-masaknya. Saya berserah saja semuanya pada Allah.


WARISI BAKAT: Hyra bersama Wahid Satay pada Festival Filem Malaysia ke-21 di Putrajaya.

“Tujuan saya menceburi bidang seni untuk memperjuangkan industri muzik Melayu. Kejayaan rakan senegara seperti Imran Ajmain dan Taufik Batisah memberi keyakinan untuk saya mencuba nasib dalam bidang ini,” katanya.

Sebagai penyanyi baru, kehadiran album sulung cukup dinantikan gadis manis ini. Album sulung Hyra memuatkan 10 lagu berkonsepkan moden pop etnik. Biarpun masih baru, Hyra turut menyumbangkan sebuah lagu dan lirik. Lagu yang mendapat sentuhan Mahira ialah Aku, Teman dan Kasihku. Tidak ketinggalan datuknya Wahid Satay turut menyumbangkan lirik lagu Hampa Diri Ku yang mengisahkan mengenai dirinya yang kehilangan ibu.

“Semua lirik yang membabitkan saya ditulis secara spontan. Saya tidak ada pengalaman dalam bidang penulisan tetapi minat untuk menulis lirik. Alhamdulillah saya juga mendapat tunjuk ajar daripada pihak produksi.

“Lirik Aku adalah mengenai kisah hidup seseorang yang ada prinsip tersendiri. Lagu itu ada sedikit kena mengena dengan diri saya,” katanya yang turut berjinak-jinak dalam dunia lakonan.

Hyra mula berlakon pada 2003 dalam sebuah drama bersiri berjudul Dua Wajah serta Hadirnya Ramadan. Dia juga pernah bergandingan dengan datuknya dalam program Warna Ramadan. Hyra juga mewarisi bakat datuknya apabila terbabit dalam drama komedi Salam Lebaran.

Oleh kerana memiliki wajah seiras Siti Nurhaliza, Hyra diberi peranan sebagai Siti Nurhaliza dalam drama komedi bersiri Kelakarsi Episode 6 Mat Jenin.

“Walaupun Singapura hanyalah sebuah negara yang kecil, begitu juga dengan industri muzik di sana tetapi mujur rezeki untuk saya tidak putus. Di Singapura jika ada seberang persembahan, penganjur selalunya akan undang saya. Jadi saya tidak berdepan masalah apabila memilih kerjaya nyanyian,” katanya.

Profil:

Nama Sebenar: Mahirah Mohd Yasin Tarik Lahir: 8 Mac 1985 Bintang: Pieces Adik Beradik: Dua dari tiga beradik

Berita Harian

8
Sep

Siti Ke Umrah Dibayangi Gosip Dimadu

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, berlepas ke tanah suci Makkah untuk menunaikan ibadah umrah Ramadan kelmarin.

Beliau ditemani suaminya, Datuk Khalid Mohd Jiwa, anak tiri bongsunya, ibu mentua, kakak ipar dan seorang teman.

Sudah lima kali Siti Nurhaliza menunaikan umrah Ramadan di tanah suci Makkah. Tarikannya begitu kuat sejak beliau menunai umrah Ramadan pertama kali beberapa tahun dulu.

‘Sukar Siti jelaskan. Mereka yang pernah merasai pengalaman berpuasa di sana tentu lebih faham.

‘Siti amat seronok di sana bersama umat Islam lain, berpusu-pusu ke masjid tatkala azan berkumandang,’ kata beliau seperti ditukil akhbar Metro Ahad.

‘Indahnya pengalaman itu sukar digambarkan!’ kata Siti Nurhaliza kepada pemberita sehari sebelum bertolak ke Madinah.

Menurut Siti, beliau mahu merebut keberkatan Ramadan Al-Mubarak dan kelebihan bersolat dan bertarawih di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Beliau akan berada di sana cuma 10 hari dan selebihnya menyambut Ramadan dan Aidilfitri di Malaysia.

Namun, pemergian beliau kali ini dibayangi gosip konon beliau telah dimadu.

Siti Nurhaliza cuma tergelak dengan cerita itu, selepas tersebar khabar angin berkaitan suaminya di Internet dan akhbar.

‘Biarlah orang nak bercerita. Siti tak rasa cerita itu ada kaitan dengan Siti dan suami Siti, sebab ia tidak berlaku kepada kami,’ katanya.

‘Cuma, kalau berita begitu keluar, orang ramai akan membuat tekaan.

‘Yang penting, cerita itu tiada kaitan dengan kami,’ tegas Siti. — Metro Ahad.

Cyberita

7
Sep

Gaya Elegan Wanita Berusia

‘Trench coat’ iaitu kot labuh melepasi lutut tentunya sesuai untuk wanita berusia 50-an

Soalan

Saya akan menghadiri malam penghargaan kakitangan yang dianjurkan majikan tidak lama lagi. Bagaimanapun, saya keliru memilih gaya sesuai untuk wanita berusia 50-an.

Jamilah Shariff,
melalui emel.

Jawapan

Pertama sekali saya ingin mengingatkan bahawa usia tidak patut dijadikan sebagai halangan untuk berfesyen. Bagi wanita bekerjaya, saya cadangkan supaya anda mencuba gaya yang agak berbeza dan jarang menjadi pilihan wanita pada peringkat usia 50-an.


Azura Mazaruddin

Pilihan gaya yang agak muda, tersendiri dan cukup versatile dengan mengenakan ‘trench coat’ iaitu kot labuh yang melepasi lutut tentunya sesuai untuk anda. Sebagai panduan, pilih ‘trench coat’ dengan lepel yang sederhana lebar serta mempunyai perincian butang sederhana besar di bahagian tengah jaket.

Saranan saya, gayakan ‘trench coat’ berwarna ceria seperti merah, hijau pucuk pisang atau jingga bersama kemeja putih tanpa ‘collar’ bertutup rapi di bahagian dalam bersama padanan celana panjang juga berwarna putih.

Mungkin anda berada sedikit janggal mengenakan kot labuh ini tetapi percayalah sehelai ‘trench coat’ boleh melindungi kelemahan penampilan kita. Untuk aksesori pula, saya cadangkan anda memberikan tumpuan kepada aksesori seperti kasut dan tas tangan.

Pemilihan tas tangan disarankan adalah jenis kulit kerana ia akan membuatkan penampilan anda kelihatan lebih mewah dan lain dari yang lain. Kasut yang bertutup di depan (pumps shoes) memadai sebagai pelengkap gaya.

Tip:

Kita harus bijak memilih fabrik dan potongan yang sesuai dengan bentuk tubuh dan jangan sesekali menjadi hamba fesyen.

PROFIL
Azura Mazaruddin

Usia : 24 tahun

Pencapaian : Tempat pertama Anugerah Jarum Berlian 2003, Pakaian Tercantik Permaidani Merah Murai.com 2007 (Raja Farah), Pakaian Tercantik Anugerah Juara Lagu 2008 (Nora Danish), Pakaian Tercantik dan Pereka Terbaik Anugerah Bintang Popular 2008 (Nora Danish)

Antara selebriti yang pernah menggunakan khidmat Azura ialah Datuk Siti Nurhaliza, Nora Danish, Rozita Che Wan, Amber Chia, Faizal Tahir, Amy Search dan Farid Kamil

Jika ingin mendapatkan khidmat pereka berbakat yang terkenal melalui label Azura Couture ini, hubungi 019-2586309 atau emel azuracouture@yahoo.com

INFO

Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

Berita Harian

31
Aug

Kenali Gaya: Kebaya Eksklusif Untuk Ibu Menyusu Bayi

bminggu@bharian.com.my

Sutera sifon sesuai kerana ciri lembut dan tampak mewah bagi sambutan Aidilfitri

Soalan:Saya seorang ibu, mempunyai anak berusia 12 bulan dan masih menyusu badan. Pada Aidilfitri kira-kira sebulan lagi, saya ingin kelihatan menarik dan tidak terlalu ringkas dengan hanya berbaju kurung. Apakah fesyen dan fabrik sesuai digayakan ibu yang menyusukan bayi?

Apakah yang dimaksudkan dengan fesyen ‘smoking’? Adakah ia sesuai dipakai anak kecil berusia 12 bulan yang sedang lasak?

Elly, melalui emel.

Jawapan :Kali ini, saya lakarkan baju potongan kebaya moden untuk anda. Pilihan baju potongan kebaya dengan bukaan pada bahagian depan baju memudahkan anda untuk menyusukan bayi walaupun sibuk melayan kunjungan tetamu.

Bagaimanapun kelainan dibuat pada bahagian leher baju yang dipotong tinggi serta dibuat ropol supaya gaya tampil berbeza dan tampak eksklusif pada lebaran nanti.


Calvin Thoo bergaya bersama rekaannya.

Penggunaan fabrik yang sesuai akan membuatkan persalinan kelihatan lebih indah. Jadi, saranan fabrik sesuai adalah sutera sifon kerana cirinya yang lembut dan tampak mewah sesuai untuk sambutan Aidilfitri.

Perhatikan juga pilihan baju raya musim ini, kebanyakan pereka menghasilkan rekaan yang sarat dengan sulaman sama ada sulam tebuk atau tampalan renda Perancis.

Untuk anda, saya sarankan dibuat sulaman tebuk pada bahagian hujung baju, lengan dan kaki kain. Memadai sulaman tebuk dengan hiasan jemeki ringkas tapi jika anda tidak sukakan gaya sarat, buat sulaman ringkas tapi lebihkan taburan manik pada bahagian berkenaan supaya baju tampak berseri.

Teknik potongan ‘empire line’ sesuai untuk anda kerana potongan di bahagian berkenaan mampu membuatkan potongan di bahagian dada tampak kemas kerana kebiasaan ibu menyusu mempunyai payu dara yang agak besar. Tanpa sokongan baju dalam dan cara potongan sesuai boleh mencacatkan keindahan baju.

Untuk si dara kecil, pilihan baju yang tampak sedondon membuatkan gaya lebih manis. Biasanya si kecil yang sedang lasak tidak sesuai berbaju kurung seperti ibu. Jadi saya sarankan supaya disediakan gaun ringkas berhias sulam tebuk bermotif sama seperti dibuat pada kebaya anda untuk si kecil.

Fabrik menyerap peluh dan tahan lasak seperti kain kapas dan linen boleh menjamin keselesaan serta ketahanan baju. Gaun adalah gaya mudah untuk bayi yang sedang lasak kerana ia mudah disarung dan dibuka.

Menjawab pertanyaan saudari mengenai smoking, ia adalah sejenis gaya jahitan biasanya dibuat pada bahagian dada baju kanak-kanak daripada material kain kapas. Fesyen smoking menjadi kegilaan kalangan ibu yang menggemari gaya Inggeris. Kebiasaannya gaun smoking menjadi pilihan ibu untuk si kecil berusia dari enam bulan hingga 4 tahun.

Cirinya yang selesa selain tampak berbeza menjadikan ia pilihan tepat untuk digayakan pada Aidilfitri atau majlis keraian seperti majlis ulang tahun kelahiran. Gaun smoking dijahit tangan membuatkan harganya lebih tinggi dan tidak sesuai dipakai sebagai pakaian harian.

PROFIL: Calvin Thoo

Usia : 37 tahun

Asal : Bukit Bintang, Kuala Lumpur

Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Fesyen, RMIT University of Melbourne, Australia

Mempunyai pengalaman selama 12 tahun di dalam industri fesyen tanah air malah nama besar Calvin Thoo pernah menghasilkan rekaan busana indah untuk selebriti antaranya Anita Sarawak, Erra Fazira, Datuk Siti Nurhaliza, Raja Azura, Sazzy Falak dan Dynas.

Kunjungi butik Calvin Thoo di P17, Tingkat 4, Lot 10, Bukit Bintang atau hubungi 03-21486862 untuk pertanyaan lanjut mengenai fesyen.

INFO:Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

Berita Harian