Depan Mata: Ogos Penuh Bermakna
September 1st, 2008 by Joe (Admin) | No Comments | Filed in UncategorizedOleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my
Rap
BAGI generasi baru, merdeka punya pelbagai maksud. Ada menganggap jiwa merdeka apabila usia genap 21 kerana diberi kunci kebebasan dan tidak lagi dikongkong ibu bapa.
Atau remaja merdeka apabila ibu bapa tiada di rumah kerana tugasan luar dan mungkin juga merdeka kerana selesai menghadapi peperiksaan.
Apakah pengertian merdeka sebenarnya? Apakah sekadar diraikan setiap tahun pada 31 Ogos sempena memperingati kebebasan negara daripada dijajah British. Semalam kita meraikan Hari Kemerdekaan ke-51 dengan tema Perpaduan Teras Kejayaan dan hari ini pula, kita mula berpuasa.
Apa yang menariknya, sepanjang Ogos ini ramai pula yang menamatkan zaman bujang bukan hanya di kalangan selebriti terkenal malah orang biasa. Mungkin kerana angka lapan dianggap membawa tuah, tambahan pula tahun ini dianggap keramat bagi bulan lapan tahun 2008. Paling menarik tarikh 8.8.08.
Antaranya bekas pengacara Bersamamu, Noor Hafiza Saharuddin (Fifi), anggota Ruffedge, Mohd Kamarulzaman Zain Abdul Hamid (Zain), anggota Senario, Mazlan Ahmad, personaliti TV3, Nor Azlina Redzuan, pelakon Maya Karin, penyampai radio Era, Natasha Aimee Hashim dan penyanyi Deja Moss.
Selamat melangkah ke alam rumah tangga dan tidak dilupakan pengantin lama. Datin Seri Siti Nurhaliza yang menyambut ulang tahun kedua perkahwinannya, 21 Ogos lalu. Tapi yang tidak sedap didengar apabila ada gosip mengatakan penyanyi yang popular dengan lagu Ku Mahu itu dimadukan.
Ia dipaparkan dalam Harian Metro Khamis lalu menerusi ruangan Soseh Soseh (SS), Artis jelita dimadukan? tetapi tidak disebutkan dengan terbuka siapa gerangannya.
Tapi ramai yang membuat tekaan artis itu Siti. Cerita itu memang mengejutkan peminat tetapi SS beria-ia mempertahankan cerita yang didengarnya.
Apabila ditanya bukti, katanya ada pihak menunjukkan gambar kedua-dua mempelai dan difahamkan, majlis pernikahan berlangsung di London. Tapi kata SS lagi, tidak tahulah pula kalau pelanduk dua serupa.
Dalam Metro Ahad semalam, Siti turut ditanya komennya mengenai cerita itu. Kata Siti, dia tidak rasa cerita itu ada kaitan dengannya dan suami sebab ia tidak berlaku kepada mereka berdua.
“Biarlah orang nak bercerita. Kalau berita begitu keluar, orang akan membuat tekaan dan Siti antara yang diteka. Terpulang kalau mereka nak meneka dalam kesamaran. Yang penting cerita itu tiada kaitan dengan kami,” katanya.
Tidak pasti pula apakah Siti sudah bertanya dengan suami perkara itu atau terus mempertahankan suaminya bahawa cerita itu hanya fitnah atau khabar angin semata-mata. Sememangnya cerita itu tidak masuk dek akal kerana tidak mungkin Datuk K sanggup berbuat begitu.
Tentunya Siti tidak akan melayan cerita seperti itu tambahan pula dia kini diulit kebahagiaan bersama suami yang meraikan ulang tahun perkahwinan mereka, baru-baru ini.
Siti dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa bersama anak bongsu, mentua, kakak ipar dan teman menyambut Ramadan di Makkah apabila berangkat ke Tanah Suci Sabtu lalu. Ini kali kelima Siti menyambut Ramadan di sana.
Begitulah Siti yang terus dihambat kontroversi dan gosip apabila membulatkan tekad berkahwin dengan ahli perniagaan berstatus duda anak empat.
Ada saja cerita kurang enak dilemparkan kepadanya hingga ada yang sanggup meramalkan paling lama jodoh mereka hanya dua tahun tapi Siti sudah melepasi tempoh itu dan kini cerita dimadukan pula. Hendak buat macam mana, orang terkenal, popular dan punya nama besar.
Seperti biasa, Siti tetap tenang menepis setiap khabar angin yang disebarkan. Tidak pula melatah walaupun ada kalanya cerita itu amat pedih untuk ditelan.
Erra Fazira pula diulit kegembiraan apabila disahkan hamil awal Julai lalu. Kandungan Erra kini masuk bulan ketiga tetapi waktu sama tetap sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri untuk Astro. Sebelum ini Erra pernah keguguran ketika kandungannya dalam peringkat awal (enam minggu).
Pastinya ia satu dugaan besar dalam hidup Erra kerana pelakon digelar Ratu Filem Melayu memang benar-benar inginkan zuriat. Katanya, dalam usia mencecah 30-an, dia tidak mahu menunggu untuk mempunyai anak apabila berkahwin dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada Oktober tahun lalu.
Walaupun menerima berita duka dengan kegugurannya pada Mac lalu, ia tidak pernah mematahkan semangat Erra untuk bergelar ibu. Bukan Erra dan Emran saja yang gembira dengan pengesahan doktor itu, malah seisi keluarga sangat gembira.
Kelahiran anaknya nanti akan melengkapkan hidup Erra tetapi waktu sama memikul tanggungjawab besar sebagai ibu untuk membesar dan mendidik anaknya.
Dalam pada itu difahamkan Emran cukup bimbang melihat isterinya yang ligat seperti biasa apatah lagi komitmen kepada drama bersiri yang dijayakannya. Erra mengikat kontrak dengan Astro selama setahun awal tahun untuk menjayakan drama terbitan stesen berbayar itu.
Semoga Erra banyak berehat sepanjang Ramadan ini kerana kata orang tua-tua, pada awal kandungan perlu dijaga dengan sebaik mungkin kerana janin masih lemah.
Selamat menjalankan ibadah puasa.
Harian Metro

