NTV7, TV3 bersaing di ATA2002.

DALAM usia mencecah lima tahun, stesen televisyen swasta ntv7 sewajarnya berbangga apabila menerima dua pencalonan Anugerah Televisyen Asia (ATA2002) yang akan berlangsung di Singapura pada 4 Disember ini.

Rancangan bertajuk Crescent Over America yang memaparkan isu kehidupan umat Islam Amerika Syarikat selepas serangan pengganas pada 11 September lalu, dicalonkan untuk anugerah Berita Terbaik/Isu Semasa Khas manakala rakaman Konsert Mega Siti Nurhaliza 2001 untuk kategori Program Istimewa Hiburan Terbaik.

Sementara itu, TV3 menerima dua pencalonan melalui program 3R (Respect, Relax, Respond) iaitu untuk kategori Program Hiburan Informasi Terbaik dan Program Remaja Terbaik.

Pengurus Publisiti & Komunikasi Korporat ntv7, Haliza Ahmad, berkata pihaknya bangga kerana menerima dua pencalonan yang disifatkan mencabar dan kuat iaitu bagi kategori berita dan hiburan.

Katanya, pencapaian unit Hal Ehwal Semasa ntv7 cukup membanggakan apabila dicalonkan untuk anugerah Berita Terbaik/Isu Semasa Khas kerana usaha Penerbit Kanan, Zalinda Zainon bersama wartawan Norzie Pak Wan Chek dan Jurugambar Kanan, Azman Kassim mendapat perhatian juri.

“Mereka mengadakan penyelidikan dan liputan dari Amerika Syarikat selama 10 hari untuk meninjau kehidupan umat Islam di sana selepas serangan pengganas pada 11 September lalu. Antara isu yang dibincangkan ialah pendapat mereka mengenai polisi luar negara Amerika, peranan media Barat serta peperangan Amerika terhadap pengganas.

“Apa yang lebih membanggakan ialah program istimewa yang disiarkan melalui ntv7 pada Mei 2002 itu adalah satu-satunya pencalonan dari Malaysia untuk kategori berkenaan. Pencalonan lain dari Hong Kong dengan tajuk East Timor Special, Jepun (News Magazine: Asian Economy) dan Singapura (Speak Your Mind: Nepal dan Speak Your Mind: Thailand).

“Bagi Konsert Mega Siti Nurhaliza 2001 pula, rakamannya yang disiarkan di ntv7 pada Julai 2001 menampilkan Siti menyanyikan lebih 30 lagu untuk persembahan lebih dua jam.

“Konsert ini juga satu-satunya penyertaan Malaysia untuk kategori Program Istimewa Hiburan Terbaik,” katanya.

ATA2002 yang diadakan kali ketujuh tahun ini menerima lebih 1,300 pencalonan dari 14 negara termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, India, Jepun, China dan Vietnam untuk merebut 29 anugerah yang dipertandingkan.

Kategori lain yang turut dipertandingkan ialah Dokumentari Terbaik, Berita Terbaik, Isu Semasa Terbaik, Program Kanak-kanak Terbaik, Drama Siri Terbaik, Komedi Terbaik, Program Hiburan Terbaik, Kuiz Terbaik, Program Sukan Terbaik, Talkshow Terbaik dan Penyampai Berita Terbaik.

Turut menjadi rebutan ialah Penyiar Terbaik (Broadcaster Of The Year) dan Saluran Terbaik (Channel Of The Year). Tahun ini juga memperkenalkan dua kategori baru iaitu Talk Show Terbaik dan Lagu Asal Terbaik.

Difahamkan, penganjur menerima lebih banyak penyertaan program interaktif sesuai dengan perkembangan semasa program televisyen dunia masa kini. Keputusannya diumumkan dalam majlis yang diadakan di Singapura pada 4 Disember nanti serta disiarkan di saluran utama di 11 negara rantau ini.

http://www.emedia.com.my/