Nasyid Siti Nurhaliza – Bergema di Stadium Malawati.

Oleh ABD. AZIZ ITAR

Siti Nurhaliza membuktikan keupayaannya menyanyikan lagu-lagu irama nasyid pada persembahan Gema Islam Di Alaf Baru yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada malam Khamis, 9 Oktober lalu.

Pada persembahan itu, Siti telah menyampaikan dua buah lagu bermesejkan ketuhanan berjudul Permaidani yang pernah dipopularkan oleh Aris Ariwatan.

Manakala, sebuah lagi lagu nyanyiannya pada malam itu berjudul Kudus Sinarmu yang dipetik daripada albumnya sendiri iaitu Safa.

Siti Nurhaliza kelihatan ayu pada malam itu ketika muncul di pentas dengan bertudung, berbaju labuh serta berseluar panjang. Persembahan Siti diiringi oleh dua pemuzik iaitu Mohd. Rafi (gitar) dan Mohar (seruling).

Menurut Siti, ini bukanlah kali pertama dia muncul dengan imej dan lagu-lagu nasyid, sebaliknya sebelum ini dia juga pernah diundang ke majlis-majlis yang berunsur keislaman.

“Siti pernah beberapa kali dijemput menghadiri majlis atau mengadakan persembahan yang berunsurkan keagamaan.

“Jadi, untuk menghormati majlis, Siti lebih selesa dan sesuai berpakaian seperti ini,” kata Siti Nurhaliza ketika ditemui selepas persembahannya malam itu.

Tambah Siti lagi, dia bukan sahaja meminati irama nasyid tetapi turut bersedia merakamkan album yang berkonsepkan sebegitu di masa depan.

“Siti meminati semua jenis irama termasuk nasyid. Siti berpendapat, tidak mustahil suatu hari nanti Siti akan menghasilkan sebuah album nasyid.

“Sebagai seorang penyanyi, tidak semestinya menyanyikan lagu-lagu yang berunsur percintaan sahaja, sebaliknya perlu juga ada lagu-lagu yang mempunyai mesej ketuhanan,” ujar Siti Nurhaliza lagi.

Selain Siti Nurhaliza, barisan artis lain yang turut menjayakan persembahan Gema Islam Di Alaf Baru pada malam itu ialah Jamal Abdillah, Waheeda, Imad, kumpulan Raihan dan Wirdani.

Gema Islam Di Alaf Baru dianjurkan oleh Beribu Fajar Sdn. Bhd., dan Rimbun Sutera Sdn. Bhd. Ia diadakan bertujuan untuk mengisi tabung Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (BALKIS), Dana Aidil Fitri dan Yayasan Raja Muda Selangor.

“Ini adalah kali pertama kami menganjurkan persembahan seumpama ini. Matlamat kami adalah untuk mengetengahkan mesej dan nilai-nilai murni dalam Islam untuk dihayati bersama.

“Kutipan duit untuk persembahan ini kami perolehi daripada jualan seni kaligrafi penyanyi Imad yang dijual sebelum ini dengan harga RM15 setiap satu.

“Setiap pembelian kaligrafi, akan diberi satu pas percuma menyaksikan persembahan ini.

“Manakala, para jemputan VIP yang hadir pada malam ini ramai juga yang turut menderma bagi mengisi tabung-tabung tersebut,” kata Rahmat Abu Bakar, 47, Pengurus Acara kepada Utusan Malaysia.

Persembahan yang mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Bandaran Shah Alam (MBSA) itu diacarakan oleh pelakon popular, Rosyam Nor.

Acara yang disaksikan oleh kira-kira 2,000 penonton itu dimulakan pada pukul 9.15 malam dengan ceramah pendek yang disampaikan oleh Ketua Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail selama kira-kira 10 minit.

Jamal Abdillah kemudiannya muncul dengan melaungkan azan sebelum disusuli dengan persembahan Raihan menerusi lagu Puji-Pujian dan Demi Masa.

Selepas itu, Jamal Abdillah muncul semula dengan menyampaikan dua buah lagu berjudul Kasih Sejati dan Tuhan.

Penyanyi kelahiran Lubnan, Imad pada malam itu muncul menyanyikan lagu berjudul Nur dan berqasidah sambil melakar sebuah kaligrafi besar.

Waheeda menyampaikan lagu popularnya Wassini, manakala Wirdani pula menyanyikan dua buah lagu berjudul Mari Bersembahyang dan Jalan Mujahadah.

Persembahan yang berakhir pada pukul 11.40 malam itu disudahi dengan nyanyian nasyid, azan, bacaan Al-Quran dan selawat ke atas nabi Muhamad s.a.w. secara beramai-ramai oleh semua artis terbabit.

http://www.utusan.com.my/