Nak Tau Kenapa ‘Harga’ Siti Tinggi?

Oleh Hanim Mohd Saleh

SITI Nurhaliza dicap sebagai antara artis Melayu termahal ketika ini, tetapi siapa yang meletakkan harga?

Beliau juga pasti tampil dengan pakaian yang cukup anggun dan sopan, tetapi siapa yang menentukannya?

Tentu banyak tenaga dan fikiran dicurahkan untuk meningkatkan nama Siti sehingga beliau mencatatkan namanya dalam Malaysia Book of Records kerana kejayaannya merangkul lebih 60 anugerah.

Tetapi siapakah orang di sebalik kecemerlangannya?

Seperti artis lain, beliau mempunyai tenaga pengurusan sendiri, menerusi syarikat yang diberi nama Siti Nurhaliza Productions (SNP).

Bezanya, syarikat ini merupakan perniagaan keluarga, dengan separuh daripada lapan kakitangan sepenuh masanya merupakan anggota keluarga Siti sendiri (abang, kakak ipar, adik dan beliau sendiri).

Menguruskan Siti Nurhaliza ibarat menjaga sebuah produk berjenama yang cukup berprestij, kata abang dan juga pengurusnya, Saiful Bahari Tarudin, atau lebih mesra dipanggil Ayie.

Ayie, 31 tahun, berkata walaupun beliau tiada pendidikan khusus dalam soal pengurusan artis, beliau menjalankan tanggungjawab itu kerana ‘diamanahkan keluarga’.

‘Menjaga artis bukan setakat jaga soal menyanyi saja, tetapi banyak melibatkan benda-benda yang orang lain tak nampak. Dalam soal album, kita kena pilih bekerja dengan penggubah lagu dan orang-orang yang sesuai dengan konsep Siti. Soal imej juga tak boleh diambil ringan. Ini perlukan khidmat profesional.

‘Soal pemasaran album, promosi, publisiti… ini semua memainkan peranan dalam peningkatan seorang artis dan kita kena tangani secara profesional,’ kata Ayie.

Apabila ditanya soal yuran persembahan Siti yang agak tinggi berbanding dengan artis popular lain ($7,000 hingga $10,000 ke atas untuk empat lagu bagi pertunjukan majlis korporat), Ayie mempertahankan permintaan itu bukanlah soal ‘meletak harga’ sewenang-wenangnya tetapi mengikut ‘sistem harga’ yang telah ditetapkan oleh SNP.

Ini termasuk persembahan korporat, persembahan untuk publisiti radio dan TV, kemasyarakatan dan konsert.

‘Artis tidak boleh dibeli macam jual barang. Kita kena nilaikan artis sejajar dengan pencapaian dan mutunya. Katakan yurannya $10, wang itu akan dipecahkan untuk membayar ramai orang.

‘Penganjur harus ingat, walaupun mereka membayar untuk Siti, tetapi di belakang Siti ada ramai pekerja yang perlu dibayar termasuk pemuzik, mekap, baju, tenaga pentadbiran dan banyak lagi. Siti seorang penyanyi profesional, dia tak boleh buat itu semua seorang diri. Semua suka tengok Siti cantik, berpakaian anggun dan sopan. Ini semua perlukan kos,’ kata Ayie.

Bagaimanapun, Ayie akui, seperti kebanyakan syarikat pengurusan lain yang berjaya, syarikatnya berusaha mencari sumber kewangan dengan pelbagai cara lain – termasuk penaja dan mendapatkan peluang untuk artis menjadi jurucakap produk.

‘Sumber kewangan lain penting untuk menutup kos lain, termasuk projek amal yang kami tidak kenakan yuran persembahan atau pada hari-hari tertentu ketika Siti mahu berehat,’ ujarnya.

http://cyberita.asia1.com.sg/