Nak Anak

Oleh MALIAH SURIP & SOFIATUL SHIMA WAN CHIK

ImageShack
DATIN SERI Siti Nurhaliza sudah kerapkali ditanyakan soalan ini: “Bila hendak menimang cahaya mata?”

Dan minggu ini, dalam pengakuan eksklusifnya kepada VAZZ, dia mengaku telah bertemu beberapa pakar kesihatan sebagai salah satu ikhtiar untuk mendapatkan anak. Kata Siti, dia inginkan anak daripada benihnya sendiri termasuk tidak menolak menggunakan kaedah tabung uji atau persenyawaan in vitro (IVF).

Ini mungkin berbeza daripada Erra Fazira yang telah mencongak untuk mengambil anak angkat dalam tempoh lima tahun mendatang seandainya belum diizinkan mempunyai zuriat sendiri.

Amy Search dan Ziana Zain yang sudah mempunyai zuriat pula seirama untuk menjaga tahap kesihatan demi mencapai sasaran mereka untuk memperoleh dua orang cahaya mata lagi.

Sebenarnya, dari segi perubatan, tahap kesuburan seorang wanita boleh bertahan selama 36 tahun bermula dari usia akil baligh (sekitar 12 tahun) sehingga umur 48 tahun.

Sementara bagi lelaki, biar tahap kesuburan boleh menurun, rata-rata mereka masih dianggap subur hingga ke akhir hayat selagi sperma dapat dihasilkan.

VAZZ meneropong pasangan selebriti yang baru mahu menimang cahaya mata atau yang ingin menambah bilangan anak.

Siti mungkin cuba kaedah tabung uji

ImageShack
BERCAKAP mengenai zuriat para selebriti, penyanyi tersohor tanah air, Siti Nurhaliza Tarudin sentiasa diperhatikan sejak bernikah dengan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa pada Ogos 2006.

Serangan soalan yang sama dan sesekali disulam persepsi nakal termasuk mereka merancang zuriat selain sempat difitnah sebagai tidak subur, sudah lama hinggap dan ditelan pahit oleh pasangan bahagia ini.

Sementelah, Siti telah mempunyai empat orang cahaya mata ’segera’ hasil perkongsian hidup suaminya yang kali terakhir mempunyai zuriat 10 tahun lalu dengan bekas isteri.

Namun baik Siti, 29, mahupun Khalid yang terkenal dengan gelaran Datuk K, 49, tetap menyambut kata-kata nakal tersebut dengan tahap kesabaran yang tinggi biar tiada siapa yang tahu jauh di sudut hati, nista itu cukup mengguris.

Tanpa lelah juga, Siti, dalam banyak pertemuan dengan media memberitahu sopan: “Siti belum mengandung,” atau, “Kami sedang berusaha, doakan kami segera menimang cahaya mata.”

Tidak berasa tertekan kerana belum berpeluang mengandung dan menganggap situasi ini normal kerana usia perkahwinannya baru ingin mencecah dua tahun, Siti optimis usaha yang berterusan bersama berkat doa, dia dan suami pasti mampu memperoleh zuriat.

Pokoknya kata Siti ringkas: “Mesti usaha dan jangan putus asa.”

Sementara saat diajukan tentang memilih alternatif memperoleh zuriat, sama ada mengambil anak angkat atau melalui proses pensenyawaan in vitro atau bayi tabung uji (disebut juga bayi biologikal) yang kini menjadi trend bagi selebriti Hollywood, Siti mempunyai pilihannya sendiri.

“Mengambil anak angkat tidak salah. Tapi Siti lebih suka usaha mendapatkan anak sendiri dengan apa cara sekali pun termasuk melalui proses pensenyawaan bayi tabung uji.

“Asalkan semuanya tidak melanggar hukum Islam,” ujar Siti yang bagaimanapun berkali-kali memberitahu belum terdesak untuk mendapatkan zuriat. Dia juga menekankan sudah cukup ‘meriah’ dengan keletah anak-anak tiri yang dianggap sebagai anak sendirinya.

Seiring itu, kata Siti juga, sejak mendirikan rumah tangga dia telah beberapa kali bertemu pakar sakit puan bagi memastikan tahap kesihatannya sentiasa stabil.

Tambah Siti: “Selain menjaga pemakanan dan mengambil vitamin kesihatan, melakukan pemeriksaan kesihatan bagi seorang wanita adalah penting.”

Info

Pasangan: Datin Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 29, & Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, 49. Nikah: 21 Ogos 2006 Zuriat:Tiada