Musim Baru Tom Tom Bak Semakin Ceria

Hip


Musim baru Tom Tom Bak semakin ceria

2010/06/21
PROGRAM kanak-kanak popular, Tom Tom Bak kini kembali menceriakan hujung minggu untuk musim kelima dengan pengisian yang lebih padat dan menghiburkan kini boleh ditonton menerusi saluran Astro Ceria (611) pada setiap Ahad, jam 12 tengah hari.

Masih mengekalkan Aznil Nawawi atau lebih dikenali sebagai Pak Nil sebagai pengacara, program kanak-kanak popular ini sudah pasti menjanjikan pelbagai perubahan yang pasti menambah lagi ceria kepada rancangan itu. Menarik untuk musim terbaru ini, Tom Tom Bak turut menampilkan Mohd Hadziq Mohd Hazem atau Hadziq yang juga pelakon utama siri Belalang di saluran sama sebagai pengacara bersama menemani Pak Nil dalam segmen Siapa Dia.
Musim ini juga turut menampilkan ramai selebriti terkenal sebagai jemputan seperti Datuk Siti Nurhaliza, Sam Saheizy, Mejar Faiz, Saiful Apek, Adibah Noor, Faizal Tahir, Aizat, Anuar Zain, Hujan, Stacy, Jaclyn Victor, Adam dan Black.
Pengurus Saluran Astro Ceria, Evon Koh berkata, sejak bersiaran sepanjang empat musim, program Tom Tom Bak ternyata berjaya meninggalkan kesan dan mendapat perhatian bukan sahaja di kalangan kanak-kanak tetapi juga penonton dewasa.

Untuk musim terbaru, program ini terus mengupas pelbagai lagi isu semasa yang secara tidak langsung mencungkil pendapat dan pandangan serta menguji pengetahuan kanak-kanak yang akan berbicara mengenai sesuatu perkara.

“Segmen yang dipaparkan dalam rancangan Tom Tom Bak ini bukan saja berbentuk hiburan malah mendidik kanak-kanak daripada segi pendidikan dan sebagainya. Program ini juga menjadi tempat untuk kanak-kanak mempamerkan bakat nyanyian, tarian, lakonan dan sebagainya,” kata Evon.

Program Tom Tom Bak terbahagi kepada tiga segmen iaitu Siapa Dia?, Jom Borak dan Ada Bakat Ke?.

Segmen Siapa Dia? menampilkan Hadziq yang menemani Pak Nil untuk mengendalikan segmen ini. Dalam segmen ini, artis jemputan dikehendaki datang berpakaian atau berimej dengan menjiwai watak mengikut topik yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, Jehan Miskin akan muncul sebagai seorang peninju dan dan sebagainya. Penonton yang hadir juga boleh melontarkan soalan spontan kepada artis jemputan pada setiap episod.

Berita Harian