Mesej dari Sitizone.com



Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung di sini.

Pada kesempatan ini Siti ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para peminat yang telah hadir ke promosi album Tower Records di KLCC pada 28 Mei lalu. Nampaknya terubat kerinduan Siti dan juga peminat kerana sudah terlalu lama Siti tidak berkesempatan untuk turun padang apabila album baru dikeluarkan. Pengalaman di KLCC yang lalu begitu menyeronokkan dan jika ada kesempatan lagi ingin rasanya Siti lebih kerap bertemu secara dekat dengan anda semua.

Siti juga turut berasa sedih dan bersimpati dengan mangsa/korban gempa bumi di Yogjakarta dan juga di Kampung Pasir, Hulu Kelang, KL, baru-baru ini. Marilah kita semua menyedekahkan Al-Fatihah kepada semua mangsa dan kepada mereka yang terselamat, jika boleh sama-samalah kita membantu meringankan beban mereka. Siti juga berasa terkejut dan ingin sekali mengucapkan takziah kepada keluarga Rio, iaitu salah seorang peminat Siti yang turut terkorban di Yogjakarta, moga mereka sentiasa tabah hendaknya.

Begitulah lumrah hidup, kita tidak pernah terduga apa yang akan berlaku, mungkin hari ini naisb menyebelahi kita, esok lusa kita tidak tahu. Justeru itu, dalam menjalani kehidupan kita haruslah sentiasa bersyukur dan jika ada upaya, bantulah orang lain kerana suatu hari nanti, mungkin kita juga akan melalui detik-detik payah seperti mereka.

Sebagai artis, walaupun mungkin pekerjaan Siti berkait rapat dengan dunia hiburan tetapi Siti juga mahu merasai susah senang lain. Apa yang terdaya dan termampu akan Siti lakukan kerana hidup di dunia ini kita akan saling bergantungan.

Siti ingin ingin mengumumkan di sini bahawa album Transkripsi sudahpun dipasarkan di Indonesia dan kulit albumnya berbeza sedikit daripada di Malaysia. Ianya adalah atas pemilihan yang dibuat oleh syarikat rakaman EMI Indonesia. Siti amat berharap agar peminat-peminat Siti di sana akan membeli album yang original. InsyaAllah, bulan Julai nanti Siti akan ke Jakarta untuk mempromosikan album tersebut di samping menjayakan acara tv dan radio di sana.

Mengenai DVD konsert di Albert Hall, Siti kira ianya akan mula dipasarkan sebelum Julai ini. Ada sedikit perbezaan dari vcd dan ia juga mengandungi gambar-gambar kenangan Siti di kota London. Siti juga berharap anda akan mendapatkan DVD yang original dan Siti mengeluarkan DVD ini kerana menunaikan permintaan anda semua. semoga DVD ini nanti akan menjadi koleksi kepada anda semua.

Baru-baru ini, Siti sempat ke Sabah untuk Tadau Keamatan dan ke Kedah untuk penutupan Sukma. Alhamdulillah dapat juga bersua dengan peminat-peminat di sana. Siti juga teringin sangat bertemu peminat di Brunei dan juga Singapura, lebih-lebih lagi untuk mempromosikan album baru. Doakan agar impian ini akan tercapai dalam waktu yang terdekat ini.

Sekarang ini Siti kembali menumpukan perhatian kepada persembahan dan juga menjayakan acara tv, dan waktu untuk ke luar negara agak terhad, namun Siti akan usahakan. Menjelang Julai nanti, Siti akan kembali sibuk untuk acara televisyen sama ada siaran langsung dan juga rakaman.

Salam Sayang…
Datang Berlindung, Waktu Susah Dan Senang,
Tumpang Berlindung, Waktu Susah Dan Senang.

Siti Nurhaliza
6hb Jun 2006 : 3.30pm

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*