Menyorot Pahit & Manis 2011

Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my

PAHIT dan manis tahun 2011 sudah dirasai. Kalau mengikut hitungan, kurang daripada seminggu sahaja lagi kita akan melabuhkan tirai 2011 dengan seribu satu kenangan.

Ada yang suka tak kurang juga yang kurang gembira dengan perjalanan yang telah dilalui. Walau apa sekalipun terjadi, adakah tahun ini benar-benar memberikan peningkatan memberangsangkan kepada anak seni kita?

Menyelak satu persatu diari anak seni sepanjang tahun ini, Pancaindera dapat melihat sendiri kebangkitan beberapa nama yang menjadikan tahun ini sebagai tahun untuk mereka bersinar.

Nama Syamsul Yusof mula meniti di bibir para peminat filem tempatan berikutan kejayaan filem-filem arahanya mencatat kutipan yang membanggakan.

Selain kejayaan, cerita panas keretakan rumah tangga beberapa personaliti tanah air cukup mengejutkan.

Paling menggemparkan kisah rumah tangga Jimmy Shanley bersama Shuhaila berantakan sehingga menimbulkan kontroversi yang cukup hangat apabila Jimmy mendedahkan segala-galanya di dalam mahkamah.

Di sebalik kontroversi itu juga, ramai juga anak seni kita yang berjaya mengikat dua hati menjadi satu.

Sudah pasti nama Memey dan Norman Hakim menjadi perhatian apabila perkahwinan RM12 juta mereka menjadi topik paling panas sepanjang tahun ini.

Tak lupa Yasmin Hani dan Shahrin yang ‘berperang’ dengan beberapa rakan media akibat tiada jemputan.

Sementara Hattan menggejutkan para peminatnya apabila didakwa menceraikan isterinya setelah tujuh hari bernikah.

Kepada yang telah pergi, takziah buat keluarga mereka. Tidak ada siapa yang dapat menggantikan mereka. Hanya budi yang ditabur mampu dikenang sehingga akhir hayat.

Perkahwinan

21 Januari- Ayu Raudhah akhirnya selamat diijabkabul bersama pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak. Biarpun pada waktu ini dia dikatakan ‘perang dingin’ dengan Rita Rudaini akibat perselisihan faham, akhirnya masing-masing bahagia bersama keluarga sendiri.

18 Februari- Farish Aziz yang juga merupakan bekas pengacara program Durian Runtuh selamat disatukan bersama Zahrah Fowzi di Kota Kinabalu, Sabah.

26 Februari- Setelah bercinta beberapa ketika, Siti Sarah Raisuddin akhirnya memilih Shuib Sepahtu sebagai suami. Pasangan bahagia ini telahpun dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Uwais Alqarni yang lahir pada 4 Disember lalu.

23 April- Nurul AF2 bernikah dengan seorang peguam, Munzil. Kes mereka panas selepas bernikah apabila keluarga kandung Nurul mula buka mulut apabila Nurul bernikah menggunakan wali hakim.

29 April- Lebih 30 tahun membujang, Zed Zaidi akhirnya memilih Natalia sebagai isterinya yang sah. Majlis yang diadakan secara gilang-gemilang itu mendapat liputan meluas.

30 April- Majlis yang diadakan secara tertutup akhirnya diketahui juga. Cheryl Samad memilih Ng Ping Ho sebagai suami dan hanya menjemput saudara mara dan rakan taulan di hari bahagianya.

1 Mei- Pelakon Fazreen Rafi selamat disatukan bersama Sharifah Marlina di Batu Gajah, Perak. Fazreen mula popular selepas membintangi drama bersiri Spa-Q.

15 Mei- Hanya bercinta selama tujuh bulan, akhirnya pelawak Yassin memilih Farrah sebagai isterinya. Majlis diadakan di Putrajaya.

28 Mei- Ahmad Fedtri Yahya memilih Nurul Anati sebagai suri di hati. Dinikahkan di Kelantan, pasangan ini cukup bahagia sebagai suami isteri.

31 Mei- Salih Yaccob akhirnya menamatkan spekulasi perkahwinan apabila selamat bernikah dengan gadis berusia 25 tahun. Samihah merupakan isteri keempat Salleh selepas Norizah Mamat, Norraha Hamat dan Norfara Wahida.

1 Julai- Memilih untuk bernikah dengan Siti Rahayu Abas, Tomok kini bakal bergelar bapa tidak lama lagi.

1 Julai- Noh yang juga merupakan vokalis kumpulan Hujan selamat disatukan dengan Mizz Nina. Majlis berlangsung meriah dengan tiga kali majlis resepsi di tempat berbeza.

15 Julai- Cukup manis dengan imej bertudung, akhirnya Farah Diana Anuar selamat diijabkabulkan dengan Johan Johari di atas cruise Tasik Putrajaya.

16 Julai- Pengacara Majalah 3, Nurul Syuhada Nurul Ain bergelar isteri kepada Raja Amir dengan wang hantaran sebanyak RM20,111.

30 Ogos- Ashraf Muslim memilih Masjidil Haram di Mekah sebagai tempat untuk disatukan bersama Nor Dayana Lokman sebelum hari raya Aidilfitri lalu.

9 September- Faezah Elai bernikah dengan pengarah drama, Heykal Hanafiah yang juga merupakan seorang duda. Walaupun perkahwinan mereka menimbulkan kontroversi tetapi berjalan dengan lancar.

24 September- Memey dan Norman Hakim di nikahkan di kampung Memey di Felda Tenggaroh, majlis resepsi pula diadakan di Hotel Crown Plaza Kuala Lumpur yang menelan belanja RM12 juta.

30 September- Biarpun cinta yang lalu tidak kesampaian, akhirnya Nabil Raja Lawak selamat disatukan bersama Nazirah Ayub di Putrajaya. Majlis resepsi mereka diadakan di I-City Shah Alam, Selangor.

1 Oktober- Taja yang juga merupakan gitaris kumpulan Meet Uncle Hussain selamat bernikah dengan Kimy yang juga pengurus kumpulan itu.

21 Oktober- Pernikahan Yasmin Hani dan Shahrin Black Rose mencetuskan kontroversi apabila ada beberapa organisasi media yang tidak dijemput untuk membuat liputan.

11 November- Dira Abu Zahar mengakhiri zaman janda dengan Helmy Yusof di Merlimau, Melaka. Dira merupakan pengacara baru rancangan Melodi.

11 November- Hattan selamat bernikah dengan Farah Asyikin yang juga merupakan janda anak dua di kediamannya di Seri Menanti, Negeri Sembilan.

20 November- Ezlyn akhirnya memilih pengurus sendiri iaitu Adam Fahmi Samsudin sebagai suaminya yang sah. Pasangan ini juga dikhabarkan mendapat tajaan berjuta-juta ringgit.

20 November- Mungkin Zahiril adalah pasangan yang paling romantis setakat ini. Dia mendeklamasikan puisi buat isterinya, Shera pada majlis resepsinya.

11 Disember – Chef Rizz memilih Ana Dahlia sebagai isterinya yang sah. Mereka selamat dinikahkan di Taiping, Perak pada tarikh yang sama.

Lambaian terakhir

1 Januari – Mohd. Faisal Yusup, 33, pelakon dan juga bekas suami kepada penyanyi popular Siti Nordiana disahkan meninggal dunia pukul 1.45 tengah hari di Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur. Allahyarham meninggal di samping isteri, Rosmunira Rashid, 27, serta anak lelaki daripada perkongsian hidupnya dengan Siti Nordiana, Mohamad Rayyan Nakhaie.

13 Mei – Penyanyi lagu Penawar Rindu, Datin Orked Abdullah meninggal dunia di Hospital Ampang kira-kira pukul 12.40 tengah hari setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu. Penyanyi berusia 64 tahun yang popular itu berada dalam keadaan kritikal setelah tiga tahun menderita penyakit ketumbuhan hormon yang tidak stabil atau paraganglioma sebelum meninggal dunia.

19 Jun – Pelakon dan pelawak veteran terkenal, Zami Ismail, 67 tahun atau lebih dikenali sebagai Pak Uda, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami masalah jantung. Allahyarham dikebumikan di Tapah, Perak mengikut permintaannya 15 tahun dahulu yang mahu dikebumikan di kampung halamannya.

1 Ogos – Setelah menderita dua tahun akibat barah pangkal rahim, akhirnya penyanyi era 60-an, Hasnah Haron meninggal dunia lebih kurang pukul 8 pagi. Semasa hayatnya Hasnah popular dengan lagu-lagu seperti Bersedih, Sabar Menanti dan Siti Zubaidah.

11 Oktober – Penyanyi yang popular dengan lagu Lembaran Terakhir, Datuk Ahmad Jais meninggal dunia di Hospital Pakar Darul Ehsan Medical Centre (DEMC) kira-kira pukul 9.20 pagi. Ahmad Jais, 75, meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru setelah dimasukkan ke hospital berkenaan selama dua minggu.

Cerai & kes mahkamah

PANTAI mana yang tidak dilanda badai. Mungkin itu ayat yang paling sesuai untuk menggambarkan apa yang telah dilalui oleh anak seni yang masih naik turun mahkamah dalam pelbagai hal.

Antara artis yang telah disahkan bercerai tahun ini termasuklah Siti Saidah dengan Mohd Ghazali. Siti Saidah adalah kakak kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Selain pasangan itu, rumah tangga yang dibina oleh Joey Daud menemui titik noktah apabila dia bercerai dengan Noraini Daud. Kes rumah tangga yang melanda mereka cukup hangat apabila dikhabarkan berpunca daripada orang ketiga.

Nama Watie Elite menjadi panas apabila Noraini menuduh bekas anggota kumpulan Elite itu menjadi dalang sehingga menghancurkan rumah tangga yang dibina itu.

Dalam kes dadah pula, Benjy dikenakan denda RM5,000 oleh mahkamah atas kesalahan memiliki dadah. Dia kini masih menjalani perintah buang daerah di Pahang.

Pelawak Saiful Apek juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan. Dia didakwa di mahkamah bersama tiga yang lain dan kes masih berjalan sehingga hari ini.

Penyanyi Adzrin Azhar pula dikenakan penjara satu tahun akibat terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram. Dia dilepaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan di mahkamah tinggi.

Terkenal sebagai ratu kontroversi, Raja Azmi sebelum ini didakwa di Mahkamah Syariah atas tuduhan khalwat dengan Roslin Hashim. Bagaimanapun pihak pendakwaan menutup kes itu atas sebab yang tidak dinyatakan secara khusus.

Kes tuntutan royalti Anuar Zain terhadap syarikat rakaman Sycrosound masih berlanjutan setelah dia menolak tawaran menyelesaikan secara baik di luar mahkamah.

Begitu juga dengan kes AC Mizal terhadap tuntutan penggubahan wang anak dengan bekas bekas isterinya. Kes tersebut masih belum selesai hingga hari ini.

Nadia Mustafar kalah dalam saman yang dikemukakan oleh Lisdawati berhubung dakwaan fitnah. Dia diarahkan membayar RM50,000 kepada Lisdawati seperti mana diarahkan mahkamah.

Cahaya mata

CUKUP bermakna sesebuah perkahwinan dengan kehadiran cahaya mata. Melihatkan beberapa pasangan yang menyambut kehadiran orang baru, terasa cukup indah.

Paling gembira sudah pasti melihat pasangan yang menerima kehadiran cahaya mata pertama. Anak yang lahir ditatang bagai minyak yang penuh.

Antara artis yang menyambut kehadiran orang baru buat pertama kali termasuklah Darling Ngasri, Aida finalis Gadis Melayu, Daphne Iking, Along Raja Lawak, Hanif Era FM dan Marion Caunter.

Artis-artis lain pula menambah bilangan anak mereka termasuklah Rich Estranged, Ayu OIAM, Linda Rafar, Sari Yanti, Syura, Faizal Ismail dan Cat Farish.

Utusan