Melodi hidup dan warna cinta P.Ramlee

Oleh: JAMLIAH ABDULLAH

Dan siapakah dia yang telah berjaya menghuni hati kita semua?

Dia telah membawa makna dan kenangan cinta yang pertama…

MEREKA pernah mendendangkan kehebatan beliau dalam lagu, menitip puisi kecemerlangannya yang tiada tandingan dan berterusan menghebahkan karya-karyanya dari satu generasi ke satu generasi melalui pelbagai media.

Namun belum ada yang berani menggambarkan keistimewaan insan ini dalam satu cerita di mana kita mampu menyelami seluruh kehidupannya yang kelihatan gah itu.

Sememangnya Seniman Agung yang satu ini lebih dekat di hati kita melalui kisah-kisah yang kita baca dalam profil beliau atau karya tersohornya yang tidak pernah putus-putus ke udara di kaca televisyen.

Jika ada yang sudi menceritakan semua itu untuk membayangkan kehebatan beliau, maka haluan yang luas harus mendahuluinya. Terus terang siapa yang tidak teruja menonton kisah seniman bernama Tan Sri P.Ramlee ini setelah sekian lama dibelai oleh karya-karyanya?

Jadi fenomena yang melanda Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLtM) di Istana Budaya sedikit masa dulu pun berulang.

Jadi bukan sesuatu yang menghairankan jika teater muzikal belum pun mengambil tempat di pentas, tiket sudah pun habis terjual.

Apatah lagi apabila P.Ramlee The Musical ini turut dijayakan oleh produksi sama yang membikin muzikal tersebut iaitu Enfiniti Productions.

Adlin Aman Ramlie dan Zahim Albakri masih bersatu mengarahkan muzikal ini. Seperti PGLtM produksi ini memilih untuk menggarap masa lampau dalam mood hari ini dengan kemunculan lagu-lagu baru dan moden.

Lagu-lagu baru diilhamkan oleh Dick Lee dan muzik pula ditangan oleh Erwin Gutawa. Begitu juga koreografer PGLtM dikembali iaitu Pat Ibrahim.

Apa pun, jangan cuba untuk membandingkan kedua-dua muzikal ini kerana ia adalah dua cerita yang berbeza. Sejujurnya apa yang lebih menjual adalah kisah P.Ramlee itu sendiri.

Seperti bait-bait di atas, P.Ramlee The Musical berusaha mentafsirkan siapa beliau? Banyak yang barangkali ingin mengenali P.Ramlee dengan lebih dekat dengan menonton teater muzikal ini.

Atau sekurang-kurangnya melihat kegigihan produksi terbabit mementaskan kisah beliau yang selama ini dinanti ramai tanpa mengenal prejudis.

Sememangnya untuk insan hebat seperti P.Ramlee ini terlalu banyak yang ingin diceritakan dan persoalannya mampukah P.Ramlee The Musical?

Muzikal tersebut bermula dengan prelude yang mempertontonkan kesedihan P.Ramlee (lakonan Sean Ghazi) yang seakan-akan meratapi nasibnya di Kuala Lumpur.

Bertemankan Saloma (Liza Hanim), satu-satu persoalan yang bermain di kotak fikiran beliau adalah, adakah beliau akan terus dikenang?

Ia barangkali satu permulaan yang baik dari sudut penceritaan tatkala ia berusaha mengajak penonton untuk memahami gelojak jiwanya.

Babak-babak seterusnya adalah imbasan kembali setiap perjalanan kehidupan P.Ramlee termasuk kisah cinta dan inspirasi beliau dari zaman kanak-kanak sehingga mencipta nama menjadi insan tersohor. Berlatarkan Pulau Pinang pada akhir 30- an sehingga ke Studio Jalan Ampas, Singapura pada pertengahan tahun 60-an.

Sesuatu yang wajar dipuji dalam produksi muzikal tersebut adalah rekaan set dan transformasi dari satu latar ke satu latar.

Pihak penerbit wajar memberi pujian kepada pereka produksi. Di tangan Raja Maliq yang juga merupakan produksi PGLtM dan pasukannya, setiap latar beralih lancar biarpun masih menggunakan tenaga para ‘transformer’.

Magis di pentas kelihatan apabila produksi berjaya menghidupkan suasana kemeriahan Pulau Pinang, keceriaan Studio Jalan Ampas sehingga ke kesibukan Tanjung Pagar.

Siapa yang dapat mengagak selepas memindahkan Gunung Ledang ke pentas yang sama dulu, kini muncul pula kepala kereta api.

Sememangnya set dan latar tersebut yang mengiringi lagu Perjalanan Bintang penting dalam menghidupkan suasana termasuk memberi warna dan harapan. Tidak ketinggalan set yang bertingkat-tingkat.

Seperti yang dijanjikan, muzikal ini turut menyaksikan penampilan sulung, Datuk Siti Nurhaliza sebagai Azizah yang boleh diibaratkan sebagai cinta pertama dan kekasih halimunan P.Ramlee.

Pada batas itu, watak Azizah sekadar mengisi beberapa ruang tertentu dalam muzikal tersebut. Walaupun sekejap, ia tetap menjadi peralihan terbaik dalam kisah muzikal tersebut apabila watak Azizah juga digambarkan sebagai sumber inspirasi di sebalik kejayaan P.Ramlee.

Daripada watak tersebut juga dijelmakan lagu dan filem yang secara tidak langsung terus menjulang nama P.Ramlee.

Tidak cukup dengan lakaran tersebut, cinta P.Ramlee dan Azizah terus didendangkan melalui lagu Mulanya Cinta nyanyian Siti Nurhaliza dan Sean Ghazi.

Babak-babak seterusnya menyaksikan bagaimana P.Ramlee disanjung dan dijulang lewat bakat dan karyanya sehingga bergelar Seniman Agung di Studio Jalan Ampas. Namun seperti tagline, setiap kejayaan tersebut bersulam dengan kisah cinta beliau yang seolah datang silih berganti.

Ia bermula dari pertemuan P.Ramlee dengan isteri pertamanya, Junaidah (Atilia), Norizan (Melissa Saila) dan akhirnya Saloma (Liza Hanim).

Gelojak kehidupan peribadi P.Ramlee juga disampaikan lewat pergolakan perkahwinan beliau yang gugur satu per satu. Biarpun cemerlang dalam karier kehidupan cinta P.Ramlee agak malang kerana kegagalan perkahwinan pertama dan keduanya.

Itu nilai pergorbanan yang harus P.Ramlee bayar lewat kemasyhurannya sebagai seniman. Sememangnya tidak banyak lagu-lagu P.Ramlee didendangkan semula dalam muzikal tersebut melainkan lagu-lagu baru.

Namun yang paling melekat di hati adalah karya P.Ramlee sendiri iaitu lagu seperti seperti Azizah, Hujan Di Tengah Hari dan Airmata Di Kuala Lumpur dinyanyikan.

Lagu-lagu tersebut dinyanyikan dengan baik oleh Sean walaupun tidak cemerlang untuk menggambarkan perasaannya.

Bercakap tentang lakonan, teater muzikal ini barangkali milik Melissa. Watak Norizan yang dibawanya sangat melekat di hati penonton terutama ketika mengalunkan amukan api cemburunya dalam lagu Sudah Tidak Bermakna di hadapan suami.

Begitu juga dengan Liza Hanim yang membawakan watak Saloma. Apa yang menarik tentang artis ini adalah konsistensi lakonan dan vokalnya.

Itu sesuatu yang tidak dimiliki oleh Sean. Apa pun keberanian Sean untuk menerajui watak seniman tersebut tanpa memikirkan pelbagai rasa prejudis yang mengiringinya sebelum ini sudah layak diberi pujian.

Muzikal tersebut menutup tabir dengan lagu Airmata Di Kuala Lumpur dan Cinta Berbalas Cinta ilham Adlin apabila pentas mengembalikan dialog P.Ramlee dan Saloma yang terdahulu.

Terus terang kelancaran dan keterujaan menonton teater muzikal ini sedikit terusik dengan kesudahan seperti itu.

Setanding dengan kecemerlangan dan kehebatan beliau yang tiada tandingannya, mungkin banyak yang menginginkan suatu yang manis dan indah serta penuh inspirasi untuk dibawa pulang. Walaupun itu hakikatnya.

Kesudahan seperti itu seolah-olah kelihatan seperti ingin memujuk penonton agar menghargai jasa-jasa beliau.

Sedangkan kenyataannya, P.Ramlee tidak akan pernah meninggalkan hati kini sebaliknya terus segar melalui karya-karya beliau yang dipindahkan dari satu generasi ke satu generasi.

Kehidupan, Percintaan dan Inspirasi P.Ramlee dalam muzikal tersebut akan terus didendangkan di Panggung Sari Istana Budaya sehingga 3 November.