Mas kahwin Siti Nurhaliza RM22,222.22

dn_01_big.jpg

Oleh WAN SYAMSUL AMLY

KUALA LUMPUR 29 Julai – RM22,222.22, itulah jumlah mas kahwin yang akan diberikan ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohd. Jiwa, 47, atau lebih dikenali sebagai Datuk K kepada penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Tarudin, 27, di majlis pernikahan mereka 21 Ogos ini.

Menurut sumber yang rapat dengan ahli perniagaan itu, Datuk K juga akan menghadiahkan Siti Nurhaliza sebuah al-Quran selain beberapa hantaran lain yang jumlah dan jenis barangannya masih dirahsiakan.

Sumber itu memberitahu, jumlah itu bersama al-Quran menunjukkan sifat rendah diri ahli perniagaan itu yang setulus hati menyintai bakal isterinya yang disifatkan mempunyai banyak keistimewaan.

Pertengahan Julai lalu, penyanyi nombor satu negara itu telah mengumumkan tarikh pertunangan dan pernikahannya dengan Khalid, yang dijadual berlangsung serentak pada Isnin, 21 Ogos ini, di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.

Majlis persandingan pula akan berlangsung seminggu kemudian iaitu pada 28 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Pasangan sensasi itu akan turut diraikan di rumah pengantin perempuan di Kuala Lipis, Pahang pada Ahad, 3 September ini.

Sementara itu semalam, Siti Nurhaliza mengaku sudah mengikuti kursus perkahwinan sebagai persiapan melangkah ke alam rumah tangga.

Katanya, dia telah mengikut segala peraturan yang ditetapkan untuk membolehkannya bergelar isteri kepada usahawan dari Kedah itu.

Bagaimanapun penyanyi itu enggan mengulas lanjut di mana dan bilakah tarikh sebenar dia menghadiri kursus tersebut.

http://www.utusan.com.my/