MAS KAHWIN SITI NURHALIZA BERJUMLAH RM22,222.22

KUALA LUMPUR: RM22,222.22 ($9,565).

Itulah jumlah mas kahwin yang akan diberikan ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohd Jiwa, atau lebih dikenali sebagai ‘Datuk K’ kepada Siti Nurhaliza, di majlis pernikahan mereka, 21 Ogos ini.

Menurut sumber yang rapat dengan ‘Datuk K’, beliau juga akan menghadiahkan Siti Nurhaliza sebuah Al-Quran selain beberapa hantaran lain yang masih dirahsiakan.

Sumber itu memberitahu, jumlah itu bersama Al-Quran menunjukkan sifat rendah diri ahli perniagaan itu yang setulus hati mencintai bakal isterinya yang disifatkan mempunyai banyak keistimewaan.

Pada pertengahan Julai lalu, Siti Nurhaliza mengumumkan tarikh pertunangan dan pernikahannya dengan ‘Datuk K’, yang dijadual berlangsung serentak pada Isnin, 21 Ogos ini, di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.

Majlis persandingan pula akan berlangsung seminggu kemudian iaitu pada 28 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Pasangan itu akan turut diraikan di rumah pengantin perempuan di Kuala Lipis, Pahang, pada Ahad, 3 September.

Sementara itu, pada Jumaat lalu, Siti Nurhaliza mengaku sudah mengikuti kursus perkahwinan.

Katanya, beliau telah mengikut segala peraturan yang ditetapkan untuk membolehkannya bergelar isteri. Bagaimanapun Siti enggan mengulas di mana dan bilakah tarikh sebenar beliau menghadiri kursus tersebut. – Mingguan Malaysia.

http://cyberita.asia1.com.sg/