Mana Ada Agensi Modelling!


khalid Mohamad Jiwa dan isteri tercinta, Siti Nurhaliza Tarudin.

KALAU ada yang berkesempatan membaca gosip dalam akhbar sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia Ahad lepas (5 Oktober), pasti ada yang teringat dengan laporan gosip Datuk K buka agensi modelling di Paris?

Artikel berkenaan melaporkan usahawan ternama, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K yang juga suami artis terkenal, Datin Seri Siti Nurhaliza Tarudin bakal mengusahakan agensi peragaan (modelling) berpusat di kota fesyen terkemuka dunia, Paris, Perancis.

Berikutan itu, Papa cuba mengintai sejauh mana kebenaran gosip yang disampaikan oleh sumber kami.

Sayang sekali, Papa difahamkan, Datuk K tidak pernah ada sebarang rancangan untuk mengusahakan perniagaan itu seperti yang didakwa sumber itu.

Papa diberitahu ahli perniagaan yang kaya dengan senyuman itu tidak pernah terfikir untuk mengusahakan perniagaan sedemikian.

Bahkan, Papa juga dimaklumkan, Datuk K sangat sedih kerana namanya terus dikaitkan dalam gosip yang tidak berasas itu.

Sehubungan itu, Datuk K mengharapkan pihak-pihak yang suka menyampaikan berita-berita tidak berasas itu menghentikan melakukan perkara-perkara sedemikian kerana ia hanya akan menjejaskan nama baiknya sebagai ahli perniagaan.

Sebagai orang berpengaruh, Papa faham sangat kenapa Datuk K berduka apabila namanya terus dilibatkan dalam laporan-laporan gosip.

Kalau begitu, Papa mengharapkan Datuk K terus bersabar dan bertenang dengan laporan sedemikian.

Sebagai penulis gosip, Papa faham tulisan itu dibuat kerana ia mempunyai nilai berita yang sangat tinggi kerana Datuk K adalah usahawan berjaya yang berkahwin dengan artis wanita popular.

Inilah yang dikatakan sebagai ujian. Sekali lagi, Papa mengharapkan Datuk K terus bersabar kerana seperti mana yang Datuk K pernah sebut sebelum ini, itulah harga yang beliau terpaksa bayar kerana mengahwini seorang artis sepopular Siti.

Papa percaya Datuk K seorang yang sangat rasional dan boleh menerima setiap ujian dan cabaran dengan begitu tabah sekali.

Jangan marah-marah ya Datuk. Senyum selalu tau. Senyum itu sedekah.

Utusan Malaysia