Makna percutian Siti Nurhaliza.

PERTEMUAN secara tidak sengaja di Lapangan Terbang Sukarno-Hatta di Jakarta, Indonesia baru-baru ini bukan sahaja membuatkan saya dan teman wartawan Abie dan Zubir terkejut tetapi juga penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza.

Ketika itu, kami bertiga sedang transit bersama rombongan Sony Music (M) Sdn. Bhd. yang disertai bersama Amran Omar dan Arab serta beberapa teman dari Sony Music Indonesia.

Siti Nurhaliza pula sedang menunggu pesawat penerbangan ke Bali untuk menjalani rakaman klip video.

Meskipun singkat, namun kami sempat berbual panjang seolah-olah sudah lama tidak bertemu.

Siti ditemani abangnya Ayie, kakak iparnya Rozie dan adik iparnya Siti Sairah. Tidak ketinggalan Pengarah Urusan Suria Record, Tan Soo Loke serta Pengurus Perhubungan Awam Suria Record, Bard, serta jurusolek Nurul.

Dalam kepenatan kerana sudah seminggu menjalani rakaman klip video di Jakarta, Siti masih sempat menceritakan pengalamannya bekerja dengan krew luar.

Selain itu, Siti turut menjelaskan jadual kegiatan seninya yang cukup padat.

Dalam keseronokan Siti bercerita tentang kesibukannya bekerja, sempat saya mencelah, apa maknanya pengumuman berehat (bercuti) selama empat bulan daripada kegiatan seni seperti yang telah diumumkannya pada penghujung Disember lalu.

“Memang benar, bukan seorang yang bertanya apa maknanya percutian buat Siti sedangkan dalam masa yang sama Siti sibuk dengan kegiatan seni,” terang Siti mengenai persoalan itu yang ditimbulkan oleh banyak pihak.

Namun bagi Siti, tidak bermakna tempoh percutian memaksanya berehat 100 peratus tanpa melakukan sebarang kerja.

Menurut penyanyi itu yang kini muncul dengan album Safa, dia sebenarnya tidak boleh duduk di rumah tanpa melakukan sebarang kerja.

Apatah lagi selepas hampir enam tahun membabitkan diri dalam bidang seni, dia bekerja tanpa henti.

“Siti sebenarnya tak reti nak duduk diam. Pernah juga cuba bercuti tanpa melakukan sebarang kerja, tapi Siti sendiri yang bingung,” jelasnya tersipu malu.

Bagaimanapun kata Siti, dia memaksa juga dirinya untuk berbuat demikian.

“Siti pulang ke kampung dan kembali menjalani kehidupan sebagai anak kampung.

“Alangkah seronoknya kerana pada masa itu Siti dapat menghabiskan masa bersama keluarga serta mengimbas kembali kenangan silam,” kata Siti yang hanya berkesempatan berehat selama sebulan di kampung halamannya di Kuala Lipis, Pahang.

Selama sebulan di Kuala Lipis, Siti menggunakan kesempatan itu untuk memahirkan diri memandu kereta selepas memiliki lesen memandu.

Kata Siti, jika berada di ibu negara, dia sekadar memandu dari kediamannya ke pejabat ataupun mengunjungi kompleks membeli-belah berdekatan.

“Siti belum berani untuk memandu di bandar raya Kuala Lumpur kerana banyak sangat kereta,” katanya lagi.

Semasa bercuti dia terikat dengan pelbagai pertunjukan pentas yang sudah lama diterima tawarannya selain memenuhi rakaman program televisyen, rakaman klip video dan sebagainya.

Mulai semalam pula, Siti yang sudah kembali bekerja akan sibuk dengan jadual persembahan pentas.

Semalam dan hari ini, dia muncul sebagai artis jemputan dalam konsert eksklusif bersama Datuk S.M. Salim di Dewan Filharmonik Petronas di KLCC.

“Pada 6 April ini pula, Siti akan berganding bahu dengan Rosiah Chik untuk konsert anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,” katanya.

Kini Siti sudah kembali 100 peratus menjadi milik masyarakat Malaysia dan peminat setianya sudah tentu tidak sabar untuk bersemuka dengan penyanyi terkenal ini.

http://www.utusan.com.my/