Majlis Hari Jadi untuk isteri tercinta!

11-01-2007 12:51:24 PM
Wahida Asrani
“Kasih sayang dari suami adalah hadiah paling berharga buat Siti,” – itulah luahan penyanyi sensasi Siti Nurhaliza ketika ditanya mengenai hadiah istimewa yang diberikan oleh suaminya, Datuk Khalid Muhammad Jiwa, atau Datuk K, sempena ulang tahun kelahiran penyanyi itu yang ke-28 hari ini.

Dari raut wajahnya yang sentiasa terukir dengan senyuman, jelas kelihatan bahawa penyanyi ini sememangnya sedang bahagia meniti alam rumahtangga bersama suaminya yang tercinta.

Walaupun berkali-kali merayu kepada pihak media supaya tidak membuat sebarang temubual pada majlis sambutan harijadinya malam tadi, Siti adakalanya kelihatan ‘mengalah’ apabila wartawan masih cuba mencungkil tentang kisah hidupnya kini.

siti11.jpgsiti22.jpg
Siti dan suami, Datuk K pada majlis sambutan hari lahir ke-28 penyanyi itu (Foto The Star oleh Norafifi Ehsan)

“Syukur alhamdulillah. Siti bahagia dengan kehidupan sekarang. Ini juga kali pertama Siti sambut hari jadi sebagai seorang isteri. Majlis ini sebenarnya dibuat oleh suami.

“Sebenarnya mereka nak buat surprise, tapi memang kalau dengan Siti tak payahlah nak buat surprise sebab Siti akan tahu juga,” ujarnya ceria ketika ditemui di majlis tersebut yang bertempat di Restoran Gaucho, Chulan Square, Kuala Lumpur.

Anggun dengan gaun berwarna hitam, Siti yang tiba di majlis itu kira-kira jam 8.30 malam bersama suami, Datuk K diraikan di dalam suasana meriah oleh kira-kira 160 orang tetamu yang rata-ratanya terdiri daripada ahli keluarga, kenalan rapat serta rakan-rakan artis.

Sesekali, aksi romantis Siti dan suaminya itu jelas kelihatan apabila pasangan ini dilihat sering berjalan berpimpinan tangan sambil melayan tetamu yang hadir.

Antara rakan artis yang hadir memeriahkan sambutan hari jadi penyanyi tersohor itu ialah Ning Baizura, Dayang Nurfaizah, Syafinaz, Nora dan suami Johan Nawawi, Ezlynn, Aznil Nawawi, Nurul, Linda Rafar dan Syed Aiman, Juliza Adlizan, Sharifah Shahira, Ijoy, Sharifah Norhaslinda dan suami Datuk Reezal Merican, Kat serta Fara Fauzana.

ct11.jpg
ct22.jpg
ct33.jpg

Di sekitar majlis ulang tahun Siti yang ke-28 (Foto The Star oleh Norafifi Ehsan)

Turut hadir sebagai tetamu khas pada majlis itu ialah Setiausaha Agong UMNO Tan Sri Khalil Yaacob.

Selain kenalan dan rakan artis, turut tidak ketinggalan meraikan hari lahir penyanyi itu ialah ibu Siti, Siti Salmah Bachik, kakak iparnya Rozie dan adiknya Siti Saerah. Mereka juga ditemani ibu Khalid, Zainab Hanafi dan kakak Khalid, Zaiton Muhammad Jiwa, yang juga menjadi tunggak utama penyelaras majlis pada malam itu.

Ayah Siti, Taruddin Ismail dan abangnya, Ayie bagaimanapun tidak dapat menghadirkan diri kerana sedang berada di Perak.

Sementara menantikan detik 12 malam, majlis yang dihoskan oleh pelawak Dee telah diserikan dengan persembahan oleh Syed Sobri dan isteri, Azie yang mendendangkan beberapa buah lagu antaranya, I Finally Found Someone, Mencintaimu, Nyanyian Asmara dan Aku Makin Cinta.

Beberapa artis seperti Nora, Nurul, Aznil dan Ezlynn juga turut mengambil peluang menghiburkan para tetamu.

Namun, acara memotong kek telah diawalkan kira-kira setengah jam untuk mengelakkan majlis tersebut berakhir begitu lewat.

c11.jpgc22.jpg
Antara rakan artis yang hadir.. Dayang, Nora, Ezlynn, Ning, Linda Rafar dan Syed Aiman

“Walaupun belum pukul 12, Siti tak kisah. Yang penting, Siti gembira ramai yang datang meraikan hari bermakna buat Siti ini. Doakan kebahagiaan Siti,” ucapnya sebaik selesai acara memotong kek.

Siti, yang juga berkongsi tarikh lahir yang sama dengan penyanyi Syafinaz turut mengundang penyanyi itu untuk bersama-sama memotong kek hari lahir tersebut sebelum menghiburkan tetamu dengan beberapa buah lagu, antaranya Dealova dan duet bersama Syafinaz untuk lagu Can’t Take My Eyes Off You

Berbicara mengenai harapannya sempena hari lahirnya yang ke-28 ini, Siti berkata, dia hanya ingin berdoa untuk kebahagiaan rumahtangga, kerjaya, kehidupan serta harapan untuk menimang cahaya mata secepat mungkin.

“Tapi, belum ada ‘petanda’ lagi ye. Ada rezeki, adalah…,” kata Siti berseloroh ketika perkara ‘anak’ dibangkitkan.

Siti dijangka akan memulakan proses rakaman album tradisionalnya pada pertengahan tahun ini.