Mahu Tembusi Australia

TULANG BELAKANG...Siti bersama 
Datuk K (dari kiri) Adib dan Bryan.

TULANG BELAKANG…Siti bersama
Datuk K (dari kiri) Adib dan Bryan.

KEPUTUSAN Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 32, mahu menghasilkan lagu Inggeris disambut baik peminat, apatah lagi ia dilaksanakan di bawah produksi What’s Up Entertainment milik anak tirinya, Adib Khalid.

Begitupun, sebaik single pertama yang dijadikan judul album, All Your Love diputarkan di radio, pelbagai maklum balas diterima.

Paling hangat diperkatakan adalah kemampuan Siti menyampaikan setiap lagu dengan ‘jiwa’ Inggeris itu sendiri.

Tidak kurang ada yang berasakan lagu yang ditampilkan tidak menggambarkan diri Siti sebenar. Dalam kata lain, dia dikatakan terlalu mencuba.

Bagaimanapun, penyanyi kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang itu menjelaskan, dia menghasilkan album Inggeris untuk mencabar diri dan jauh sekali berniat mahu menunjuk-nunjuk.

Malah Siti yang menjadikan penyanyi antarabangsa kelahiran Kanada, Celine Dion sebagai sumber inspirasi, melihat segala teguran itu dengan penuh positif.

Katanya, jika dia tidak menghasilkan album Inggeris sekarang, dia tidak tahu kemampuannya.

“Lagu Melayu menjadi ‘makanan’ saya. Berilah apa pun saya dapat melakukannya.
Tetapi album ini sama sekali berbeza. Bukan saja dari sudut bahasa tetapi melodinya dan imej ditampilkan. Semua baru dan berbeza. Jika saya tidak melakukannya saya tidak akan tahu kemampuan diri.

“Bagaimanapun saya harus mencari titik permulaan untuk menzahirkan album ini, laksanakan dengan bersungguh-sungguh dan berikan yang terbaik. Diterima atau tidak, itu bergantung kepada tuah,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran All Your Love yang diadakan secara besar-besaran di Starhill, Bukit Bintang, kelmarin.

Kata Siti, dia tidak menghadapi masalah untuk menghayati setiap lagu didendangkan sama ada dari sudut pengucapan lirik mahupun penghayatan melodi.

Tambahan pula penerbit All Your Love, Bryan B dari Australia turut membantu
sepanjang proses rakaman dilakukan yang mengambil masa dua minggu.

“Pertama kali bekerja dengan Bryan membuat saya sedikit gusar kerana belum pernah bekerja dengannya. Lainlah dengan pencipta atau penerbit di sini, saya sudah bekerja dan mereka sudah tahu cara saya bekerja. Sebenarnya kalau ada keserasian, ia lebih mudah untuk kita bekerja,” katanya.

Sepanjang 15 tahun Siti membabitkan diri dalam bidang nyanyian, namanya cukup besar di Nusantara dan hendak dinilai dari sudut itu, Siti boleh saja menghasilkan album itu dari dulu lagi menerusi Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd (SNP).

Menghasilkan album di bawah label milik anak tirinya menyebabkan ada yang memikirkan ia dilakukan semata-mata bagi membantu Adib, membina empayar perniagaan dalam industri muzik.

Menerangkan perkara itu jelas Siti, segalanya sudah tertulis dan menganggap rezekinya untuk menghasilkan album di bawah produksi milik Adib.

“Apabila Adib menyatakan mahu menubuhkan syarikat rakaman, saya dan suami (Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa) terkejut dan bertanya adakah benar dia mahu melakukannya.

“Adib bersungguh-sungguh dan turut menunjukkan perancangan mahu menghasilkan album Inggeris untuk saya. Dia turut memperkenalkan kami kepada Bryan dan mendengarkan sebahagian lagu-lagu yang dicipta.

“Saya berasakan lagu yang diperdengarkan itu sangat menarik. Ia segar dan baru. Memandangkan semua sudah dirangka dan dirancang dengan baik, saya berasakan mengapa tidak. Seperti yang saya perjelaskan, sudah menjadi rezeki saya untuk menghasilkannya sekarang,” katanya.

Sementara itu Adib yang turut hadir di majlis pelancaran itu bersama Bryan menjelaskan, setakat ini pihak What’s Up Entertainment merangka beberapa strategi bagi memasarkan album Inggeris ini apatah lagi membawanya ke pasaran luar.

“Bagaimanapun kami akan berusaha agar album yang diedarkan Warner Music Malaysia diterima peminat tempatan. Dalam waktu sama, kami juga turut merangka untuk memasarkannya di Indonesia dan Singapura.

“Sekiranya sambutannya menggalakkan, kami akan cuba membawanya ke Australia juga.

“Album ini dipasarkan 24 September lalu dan setakat ini cetakan pertama 3,000 unit sudah habis dijual dan cetakan kedua sedang dilaksanakan,” katanya.

Waktu sama, sedar dengan kuasa yang dimiliki teknologi Internet dan komunikasi, ia digunakan sepenuhnya untuk memasarkan album dihasilkan dengan menyenaraikannya dalam I-Tunes, Amazon dan beberapa lagi laman yang menyediakan aplikasi muat turun.

Dengan cara ini, ia memudahkan peminat dari luar negara mendapatkan setiap lagu dalam All Your Love dengan cepat.

Pastinya pengalaman menghasilkan album All Your Love memberikan perspektif berbeza buat Adib terhadap ibu tirinya itu. Terutama membabitkan sikap Siti.

Maklumlah kata orang, hubungan di rumah berbeza jika kita bekerja.

Apatah lagi anak kedua hasil perkahwinan Datuk K dan Tengku Zawiyah itu harus profesional dalam memastikan segala kerja dilakukan dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Dia sangat bekerja keras. Sampai berdiri berjam-jam lamanya dan langsung tidak duduk.

“Dia juga sangat bersungguh-sungguh. Itulah perkara yang saya tidak pernah lihat mengenai Siti dan saya nampak sepanjang penghasilan album ini.

“Bagaimanapun saya tidak banyak mencampuri urusan rakaman kerana orang lain yang melaksanakannya,” katanya.

PROFIL:

Nama Penuh: Datuk Siti Nurhaliza Tarudin
Tarikh lahir: 11 Januari 1979
Tempat lahir: Kampung Awah, Temerloh, Pahang
Bintang: Capricorn
Keluarga: Anak kelima daripada lapan beradik.
Hobi: Menonton VCD dan membaca majalah
Warna kegemaran: Hijau dan pastel
Makanan kegemaran: Masakan kampung, Thai dan masakan ibu
Minuman kegemaran: Minuman panas
Muzik kegemaran: Pop, Alternative, R&B dan Tradisional

Artis pujaan: Ziana Zain, Celine Dion, Datuk Sudirman Arshad & Tan Sri
P Ramlee

Perkara yang tidak disukai: Dipaksa, menilai seseorang tanpa usul periksa

Perkara yang paling disukai: Membeli-belah, mengusik anak buah dan memerap di dalam bilik

Prinsip: “Tak mati dek keji, tak hidup dek puji”

Album: Siti Nurhaliza I, Siti Nurhaliza II, Cindai, Adiwarna, Pancawarna, Sahmura, Safa, Sanggar Mustika, E.M.A.S, Prasasti Seni, Transkripsi, Hadiah Daripada Hati, Lentera Timur, Tahajjud Cinta dan All Your Love Konsert

Jelajah: Konsert Live Siti Nurhaliza, Konsert Mega Siti Nurhaliza Bukit Jalil 2001, Konsert Salam Akhir Siti Nurhaliza – Untukmu Sudir, Siti Nurhaliza Live In Concert 2004, Siti Nurhaliza Indonesia Tour 2004, Siti Nurhaliza In Concert, Royal Albert Hall London (2005), Siti Nurhaliza Live Indoor Stadium, Singapore, Konsert Akustik Siti Nurhaliza, Konsert Istana Cinta, Diari Hati Siti Nurhaliza, SATU Konsert Eksklusif Dato’ Siti Nurhaliza, Konsert Seribu Warna, Konsert Bagaikan Sakti dan Konsert SATU Suara.

Harian Metro