M Nasir ubah sikap, Siti bangga

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

KOMPOSER dan penyanyi M Nasir pernah mengejutkan penonton apabila menari gemalai mengikut penari ketika majlis Anugerah Industri Muzik ke-13 (AIM13), bulan lalu. Baru-baru ini, ketika menjayakan persembahan Hari Ibu, sekali lagi M Nasir kelihatan begitu mesra dengan penonton apabila turun pentas bersalam dan menyanyi bersama mereka.

Ia agak berbeza dengan personaliti M Nasir yang dikenali dengan perwatakan serius sebelum ini. Mungkin itulah penangan daripada album terbarunya, Juwita…Citra Terindah yang memuatkan lagu popular, Sang Pencinta dan Juwita…Citra Terindah. Album ini disifatkan mudah menangkap telinga kerana memuatkan lagu-lagu segar dan ceria.

Kehadiran isteri, Marlia Musa yang menjadi ibu kepada enam anaknya, mungkin satu lagi faktor memberi semangat kepada M Nasir sepanjang menjayakan persembahan sempena Hari Ibu dengan tema Ibu Ratu Hatiku di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak anjuran Mahir Entertainment & Production (MEP).

“Terima kasih kerana membawa saya ke pentas ini meraikan ibu-ibu sempena Hari Ibu. Bagi saya, Hari Ibu satu tanda bahawa kepentingan ibu tidak dapat dinafikan oleh kita semua. Sama ada ia dipanggil ibu, bonda, mama atau apa saja, sememangnya tumpuan anak-anak lebih kepada ibu,” katanya.

M Nasir yang muncul di pentas kira-kira jam 3.40 petang memilih lagu romantis, Raikan Cinta, Sang Pencinta, Kepadamu Kekasih dan khusus buat ibu-ibu yang diraikan, M Nasir persembahkan lagu Bonda.

Selepas menyanyikan lagu Bonda, M Nasir turun pentas bersalaman dengan peminat, kemudian menyanyikan lagu Suatu Masa dan masih berlegar dari meja ke meja bertemu penonton sambil menyanyikan lagu Juwita…Citra Terindah.

Persembahan Hari Ibu itu turut dijayakan Datuk Siti Nurhaliza yang mengambil tempat kira-kira jam 4.15 petang dengan lagu-lagu tradisional, Joget Pahang, Bunga Melur dan Gubahanku.

Katanya, dia rasa sungguh bertuah kerana sekali lagi berpeluang menyanyi di dewan itu menghiburkan ibu sempena Hari Ibu.

“Sudah beberapa kali saya menyanyi di sini. Saya pernah berganding dengan Jamal Abdillah dan pernah juga digandingkan dengan Mawi meraikan Hari Ibu.

“Di pentas ini juga saya pernah berduet dengan ibu, Siti Salmah Bachik. Hari ini saya bangga kerana ibu turut hadir meraikan hari istimewa ini bersama ibu mentua, Siti Zainab Hanafi dan suami, Datuk Khalid Mohd Jiwa.

“Malah, persembahan kali ini lebih bermakna kerana hasil kutipan akan disalurkan ke Tabung Yayasan Nurjiwa untuk membantu mereka yang memerlukan. Terima kasih juga atas kehadiran tetamu istimewa, isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Zaharah Kechik,” katanya.

Kehadiran ibu dan ibu mentua Siti pastinya menjadikan hari itu cukup bermakna bagi Siti. Apabila anak perempuan berkahwin, ada kalanya hubungan dengan ibu agak jauh kerana tumpuan diberikan kepada suami dan keluarga baru, tetapi bagi Siti, kesibukannya tanggungjawab sebagai isteri bukan halangan untuk bersama ibu setiap kali ada majlis istimewa. Ibunya juga hadir ketika sambutan ulang tahun Siti yang ke-28 pada 11 Januari lalu.

Siti berkata, dia tidak sempat meraikan Hari Ibu pada 13 Mei lalu kerana ibunya berada di Kuala Lipis, Pahang tetapi dia dan suami meraikan hari istimewa itu bersama mentuanya di rumah.

“Saya bangga dan rasa bertuah pada hari ini dapat berkumpul bukan saja bersama ibu dan ibu mentua, tetapi juga dengan semua yang bergelar ibu, sama ada mereka dipanggil ibu, mak, mama, mami atau umi.

“Bagi saya, ibu seorang yang penyabar, lemah lembut dan saya juga bangga diperturunkan suara ibu tetapi suaranya lebih merdu dari saya. Saya tidak habis lagi menuntut dengannya. Istimewa buat ibu, terima kasih kerana melahirkan, mendidik dan menyayangi saya serta mengajar saya erti kewanitaan, keayuan dan kesopanan.

“Untuk ibu mentua, terima kasih kerana menerima saya dengan baik. Insya-Allah kalau dikurniakan anak dan bergelar ibu, saya akan cuba menjadi ibu yang baik,” katanya.

Khusus untuk ibu, Siti yang anggun dengan baju Tom Abang Saufi memilih lagu Ummi yang pernah dipopularkan Datuk Shake. Lagu lain, Pastikan dan Aku Cinta Padamu. Sebelum kemunculan M Nasir dan Siti, Adibah Noor tampil sebagai pengacara.

Adibah juga tidak mengecewakan penonton apabila turut menyampaikan dua lagu, Hujan dari filem Mukhsin dan Terlalu Istimewa. Kemuncaknya ialah persembahan mereka bertiga dengan lagu Dua Insan yang pernah dipopularkan M Nasir bersama Yunizar Hussein.

Turut hadir sebagai penonton ialah anggota Senario, Mazlan Pet Pet dan penyanyi Ziana Zain. Siti yang melihat kehadiran Lan Pet Pet menjemputnya ke pentas untuk beramah mesra dan memberi ucapan khas buat ibunya. Lan menyampaikan lagu Ibu dengan tiupan trampet tangannya serta menyanyikan sedikit lagu Anak.

Sebaik saja selesai persembahan, Siti bergegas pulang kerana ada undangan lain untuk majlis makan malam. Siti juga difahamkan berangkat ke Makkah keesokan hari (Isnin) untuk menunaikan umrah bersama suami dan dua anak mereka, Muhammad Adib, 16, dan Mohd Asyraf, 14. Mereka dijangka berada di sana selama seminggu.

Selepas ini Siti akan memberi tumpuan kepada rakaman album tradisional yang dijangka untuk pasaran pada November nanti.

Katanya, album kali ini tidak terlalu tertumpu kepada lagu tradisional, sebaliknya lebih kepada tradisional kontemporari yang memuatkan lagu ciptaan Pak Ngah, S Atan, Yassin, Ayob Ibrahim dan juga komposer Indonesia, Katon.

“Buat masa ini masih dalam proses memilih lagu, tetapi saya ada minta lagu daripada ramai komposer. Album ini juga diterbitkan Siti Nurhaliza Production (SNP) dan akan dipasarkan di Malaysia dan Indonesia. Saya dijangka memulakan rakaman Julai ini dan album ini disasarkan untuk pasaran November,” katanya.

Pengarah Urusan MEP, Nor Mahiran Yusoff, berkata dia puas hati dengan sambutan penonton kerana masih menerima tempahan sehingga saat akhir hingga terpaksa ditolak bimbang terlalu padat.

“Alhamdulillah, persembahan hari ini dihadiri kira-kira 900 penonton. Apa yang membanggakan saya, ramai membuat tempahan untuk Meja VIP.

“Saya juga cuba memastikan harga persembahan mampu dibayar semua golongan walaupun menggabungkan tiga nama besar kerana apa yang saya pentingkan ialah penonton puas dan dapat menyaksikan persembahan hebat penyanyi terkenal. Harga yang ditawarkan tidak terlalu tinggi dari RM2,300 untuk Meja Emas, Meja Platinum (RM2,800) dan Meja VIP (RM3,500).

“Terima kasih juga kepada mereka bertiga kerana tidak meletakkan harga tinggi kerana faham ia persembahan amal. Hari ini turut dihadiri ibu-ibu tunggal dari Persatuan Ibu Tunggal Kampung Baru, Kuala Lumpur dan anak yatim dari Sungai Buaya, Banting, Selangor,” katanya.