M. Daud Kilau – Puji Siti Nurhaliza dalam lagu.

Oleh ROSLI MANAH

NAMA Siti Nurhaliza cukup lembut sebutannya. Sesuai pula dengan pemiliknya. Dia berimej lemah lembut, sopan dan cantik selain bakat nyanyian yang hebat.

Nama dan perihal penyanyi itu yang cukup indah dinyanyikan dalam lagu berirama lembut dan tradisional oleh Datuk M. Daud Kilau.

M. Daud menyanyikan lagu Anak Seni yang liriknya memuji penyanyi itu dengan kata-kata seorang yang cantik, berbakat, sopan dan banyak kejayaan yang dicapai.

“Saya rasa lenggok lagu ini sesuai untuk menggambarkan peribadi bersopan Siti Nurhaliza,” katanya.

Antara bait lirik yang dimuatkan ialah pipi puah dilayang, bertahi lalat di pipi, dagu berbelah dan berbakat besar.

Di akhir lagu itu barulah dinyatakan siapakah anak seni yang dimaksudkan dengan liriknya Kaulah Siti Nurhaliza.

Menurut M. Daud, lirik asal lagu tersebut bercerita tentang seorang wanita lain. Namun apabila ingin merakam vokal beliau merasakan rentak lagu itu sesuai untuk menyanyikan lagu tentang Siti Nurhaliza.

“Saya meminta liriknya ditukar untuk menujukan lagu itu kepada Siti Nurhaliza,” kata M. Daud.

Lagu itu dinyanyikan pertama kali semasa beliau mengadakan persembahan sempena sambutan Hari Ibu di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Sekali mendengar penonton mula terpikat dengan lagu yang senang diterima itu. Lagu tersebut pasti mendapat sambutan hangat apabila dipasarkan oleh Masa Records, Jun depan.

Setelah lebih 35 tahun menyanyi M.Daud merasakan tidak ada penyanyi lain yang sangat berjaya sebagaimana yang diraih oleh Siti Nurhaliza.

“Saya rasa penyanyi lain tidak perlu berjauh hati apabila nama Siti Nurhaliza dilagukan,” kata penyanyi yang digelar Raja Gelek itu lagi.

Beliau pernah menyuarakan kepada Siti Nurhaliza tentang perkara itu tidak lama dulu.

“Saya harap Siti Nurhaliza menyukai lagu ini kerana ia adalah sebuah lagu yang memuji bukannya menghina,” kata M. Daud lagi.

Sekiranya Siti ingin menyamannya kerana menyanyikan lagu pujian itu beliau bersedia menghadapinya, gurau M. Daud lagi.

“Kalau saya disaman tentu lagu ini akan lebih hangat lagi,” katanya.

Beliau sendiri kagum dengan bakat semula jadi dan personaliti Siti Nurhaliza yang mempunyai pakej lengkap sebagai seorang yang berjaya.

“Kalau penyanyi lain merasa penghormatan saya kepada Siti Nurhaliza sebagai keterlaluan, mereka sepatutnya ukur kejayaan yang pernah mereka capai,” tambah penyanyi itu.

Beliau merancang mengundang Siti Nurhaliza sebagai tetamu khas apabila albumnya yang ke-29 itu dilancarkan dan memuatkan wajah-wajah Siti Nurhaliza di dalam klip video.

“Perkara itu harus dibincangkan untuk mendapat persetujuan pihak yang berkaitan termasuk Siti Nurhaliza sendiri,” kata M. Daud.

Beliau merasakan bukanlah sesuatu yang pelik apabila seorang penyanyi veteran sepertinya menyanyikan lagu penghormatan kepada penyanyi muda yang masih aktif.

“Tidak perlu menunggu seseorang meninggal untuk mengabadikan penghormatan,” ujarnya lagi.

http://www.utusan.com.my/