Lirik Kak Chah Cinta Kepada Tuhan

aziz.itar@utusan.com.my

ANAK seni berdarah kacukan Melayu, Jawa dan Cina ini telah menulis tidak kurang daripada 500 lirik. Kebanyakan karyanya menjadi lagu popular di mana ia terus diminati termasuklah oleh para pendengar generasi baru.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Kak Chah menjadi sebutan ramai kerana lirik-lirik nukilannya bukan sahaja puitis. Malah, elemen-elemen cinta dalam bait-bait liriknya menjadi perhatian ramai.

Sayangnya, kata Pengerusi Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) ini, ramai peminat kurang menyedari nilai-nilai cinta yang digarap menerusi lirik-lirik tulisannya yang bukan setakat kisah cinta pasangan kekasih.

Sebaliknya kata Kak Chah, lirik-lirik tulisannya juga berkisar tentang cinta seorang hamba kepada Allah. Namun, tidak ramai menyedari elemen-elemen ketuhanan di sebalik lirik-lirik tulisannya itu.

“Setiap kali mahu menulis lirik, saya harus faham siapakah audiens yang akan menghayatinya. Mereka kebanyakannya adalah golongan remaja dan masyarakat kebanyakan dan bukannya golongan alim ulama.

“Apatah lagi, saya bukannya seorang ustazah yang bercakap tentang agama Islam secara terus dalam karya-karya dan tulisan saya. Sebab itu, saya gunakan kapasiti sebagai penulis lirik lagu dengan kaedah yang santai.

“Saya gunakan bahasa Melayu yang ringkas dan mudah difahami dan bukannya bahasa Arab. Tujuannya supaya ia mudah difahami oleh pendengar,” katanya bercerita kepada S3 tentang kisah di sebalik karya-karyanya itu.

Namun, semua itu tidak menghalangnya menyelitkan jalan cerita dan mesej yang mengandungi elemen-elemen ketuhanan. Dia memang menulis tentang cinta tetapi ia tentang cinta manusia kepada Tuhan.

Anak kelahiran Singapura ini berkata, boleh dikatakan semua liriknya sebenarnya sarat dengan elemen ketuhanan iaitu antara makhluk dan penciptanya.

“Contohnya, lagu Mawar Terpinggir nyanyian Francissca Peter penuh dengan elemen ketuhanan di sebaliknya. Ia tentang kehadiran orang ketiga yang hadir dalam sesebuah hubungan kasih sayang.

“Dalam lirik itu saya mahu ketengahkan bagaimana perasaan menjadi orang kedua atau ketiga di mana ia menagih rasa reda atas sesuatu ketentuan-Nya. Ia bukan kisah cinta sesama manusia sahaja.

“Begitu juga dengan lirik lagu Menaruh Harapan nyanyian Zaiton Sameon yang mengisahkan pengharapan seseorang terhadap takdir hidupnya di mana akhirnya pergantungan terhadap Yang Maha Esa adalah klimaknya,” ujarnya.

Sebagai penulis lirik yang berpengalaman dan mempunyai wawasan sendiri, niat sebelum menyelitkan sesuatu mesej di sebalik lirik-lirik tulisannya cukup penting.

Kak Chah yang juga penulis skrip filem Qaisy & Laila yang diterbitkannya pada tahun 2005 misalnya, menggunakan bakat menulis yang dianugerahkan Allah sebagai jalan bagi mencari keredhaan-Nya.

“Saya sedar Allah berikan kita sesuatu kelebihan itu ada sebab musababnya. Sebab itu, bakat yang saya ada ini tidak seharusnya dipersia-siakan. Kalau ustazah berdakwah melalui ceramah agama, maka dakwah saya melalui lirik.

“Dalam lirik tulisan saya, yang paling ditekankan adalah rasa cinta kepada Allah, itu adalah yang paling hakiki. Cinta kepada Tuhan itu paling hampir dan ia tidak pernah sia-sia, cuma hamba-Nya itu sahaja yang tidak mencari serta memahaminya.

“Cinta sesama manusia biasanya selalu berakhir dengan kekecewaan. Sedangkan cinta Allah terhadap hamba-Nya sentiasa terbuka dan ia kekal abadi,” jelasnya.

Dalam usaha untuk meningkatkan ilham dan mutu penulisan lirik, Kak Chah banyak membaca buku-buku yang mengandungi elemen-elemen falsafah, selain sering mengikuti kelas pengajian agama di merata-rata tempat.

Semua itu, kata penulis lirik lagu Merisik Khabar dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad dan Dialah Di Hati (Datuk Siti Nurhaliza) banyak membantunya dalam menghasilkan lirik-lirik yang mengandungi tema yang sarat dengan elemen ketuhanan.

Utusan