Lagu Patriotik Di Arus Perdana

Getaran Seni

SETIAP kali mendengar lagu seperti Tanah Pusaka, Malaysia Berjaya, Sungai Pahang atau Bahtera Merdeka, hati menjadi terharu. Bukan kerana sedih tetapi tanah air yang satu ini terlalu banyak memberi kemakmuran kepada kita.

Lagu-lagu ini membuat kita bertambah sayangkan negara ini. Bagaimanapun lagu patriotik dilihat agak elit. Ia tidak dipopularkan seperti lagu lain malah hanya berkumandang menjelang ulang tahun kemerdekaan.

Ini menjarakkan rakyat dengan lagu-lagu yang sepatutnya menjadi nyanyian jiwa mereka. Lagu patriotik tidak wajar diberi kedudukan yang sangat elit hingga tidak sesuai berada di dalam semua lapisan rakyat. Semua pihak perlu mengubah imej elit ini. Kalau Raihan bertanggungjawab membawa nasyid menongkah arus, Noraniza dan Siti Nurhaliza membawa lagu tradisional, giliran siapa pula akan membawa lagu patriotik dalam arus perdana?

Pertandingan mencipta lagu patriotik diadakan setiap tahun menjelangnya ulkemerdekaan negara pada 31 Ogos. Setiap kali pertandingan sekurang-kurangnya 10 lagu terbaik ditemui dari sekian banyak yang menyertai pertandingan itu.

Semua orang menganggap lagu patriotik penting bagi menyemai rasa bangga dan menghayati tanah air. Tetapi usaha untuk membawa lagu patriotik kepada rakyat seterusnya menjadi agenda mengisi tuntutan sosial amat rendah. Kenapa lagu patriotik tidak mampu berada di dalam arus perdana muzik tempatan? Adakah kerana generasi hari ini menganggap era menyemarakkan semangat patriotik sudah berlalu?

Kalau nasyid boleh berubah daripada imej produk kedai menjual kitab ke pusat membeli-belah berjenama hebat, ini bermakna nasyid teranjak dari kedudukan asalnya. Lagu nasyid menjengah dunia yang lebih besar dengan adanya usaha mempopularkannya. Di sini pentingnya pendekatan popular serta strategi promosi yang proaktif hingga pernah meletakkan lagu tersebut pada tangga teratas dalam industri muzik.

Antara kaedah untuk mempopularkan lagu patriotik ialah dinyanyikan penyanyi popular dan rakaman dengan menggunakan teknologi terkini. Memang pendekatan ini sedikit sebanyak kelihatan memancing khalayak dengan penyanyi popular. Tetapi tentu tiada salahnya kalau penggunaan penyanyi popular dan gubahan menarik menjadi pemangkin membawa lagu patriotik kepada khalayak.

Pada masa sama makna patriotik perlu diperluaskan seperti pencipta tersohor Indonesia Gesang menyemai patriotisme dengan lagu Bengawan Solo atau Ismail Marzuki dengan Melati Di Tapal Batas. Di negara kita ada lagu Tanjung Puteri yang melukiskan keindahan tanah air. Patriotik bukan saja perjuangan tetapi menyemarakkan kecintaan kepada tanah air.

Tidak lama dulu penyanyi Aishah mengangkat kembali lagu Bahtera Merdeka dengan pendekatan yang lebih popular. Lagu itu menjadi nyanyian anak-anak muda kerana melodi yang merdu, seni katanya indah dan dinyanyikan oleh penyanyi popular.

Utusan