Lagu P Ramlee, Saloma melekat dalam jiwa Siti

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Siti Nurhaliza rancang adakan konsert ‘tribute’ di Istana Budaya kenang jasa seniman agung 20, 21 April

SELEPAS Datuk K, siapakah gerangan orang yang bertandang dalam mimpi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin? Jangan pula salah anggap kerana orang yang dimaksudkan itu adalah Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan isterinya Allahyarham Puan Sri Saloma.

28ct.jpg

Dia begitu mengagumi bakat suami isteri itu dan lagu mereka begitu melekat di jiwanya walaupun tidak pernah bertentang mata. Bukan dia tidak pernah membawakan lagu insan istimewa itu namun Siti masih belum puas.

Lalu, dek mengagumi bakat dan sumbangan mereka kepada dunia seni, Siti memasang hajat mengadakan sebuah konsert sebagai mengenang jasa penyanyi lagenda yang menjadi idola kebanyakan anak seni.

Bercakap pasal konsert ‘tribute’, ia bagaikan tidak asing dengan Siti. Dulu dia pernah mendapat kepercayaan untuk beraksi dalam Konsert Salam Terakhir Siti Nurhaliza Untukmu Sudir. Kini, sekali lagi Siti Nurhaliza diberi kepercayaan untuk mengadakan konsert mengenang seorang lagi lagenda negara.

Tiada apa yang harus dipertikaikan kerana dia sememangnya layak dan mampu memukau penonton. Berikan saja mikrofon kepadanya, pasti penonton akan terbuai dengan kelunakan suara emasnya.

Konsert Istana Cinta Datuk Siti Nurhaliza Nostalgia Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma akan bergema di Panggung Sari, Istana Budaya tanggal 20 dan 21 April mulai jam 8.30 malam.

Idea asalnya lahir dari Siti Nurhaliza sendiri yang ingin mengadakan satu konsert bagi mengenang kembali lagu milik Allahyarham Puan Sri Saloma yang masih diminati sehingga kini. Pihak Istana Budaya (IB) pula berpendapat supaya diadakan konsert untuk mengenang kedua-duanya.

“Siti rasa tidak ada masalah menerima idea pihak IB mengadakan konsert untuk mengenang kedua-duanya sekali. Konsert ini mempunyai kekuatan kerana mereka berdua memang cukup sinonim dan hebat, malah bakat mereka juga dikenang sepanjang zaman.

“Konsert ini adalah satu tanggungjawab besar untuk Siti. Walaupun persiapan untuk konsert ini kurang sebulan tetapi ini bukanlah satu tekanan sebaliknya hiburan,” katanya.

Di dalam konsert selama satu jam setengah itu, Siti Nurhaliza akan mendendangkan lebih 20 lagu. Walaupun terdapat beratus-ratus lagu nyanyian dan karya kedua-dua tokoh ini, penganjur dan Pengarah Persembahan, Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah hanya memilih lagu yang bersesuaian dengan semua tema segmen. Manakala Eddie Marzuki pula bertindak sebagai Pengarah Muzik.

Konsert yang akan diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) ini turut mengundang dua artis jemputan iaitu Kumpulan Isketambola bersama penyanyi utamanya Musly dan pendatang baru yang sedang mencipta nama Fazli Zainal.

“Siti akan mendendangkan lagu popular daripada album mahupun filem. Lagu Allahyarham terlalu banyak, ada lagu yang tidak dimuatkan dalam album tetapi di dalam filem Siti akan dendangkan juga. Mungkin lagu itu nanti jarang kedengaran.

“Siti tidak ada masalah untuk dendangkan lagu mereka kerana liriknya sudah melekat di kepala. Cuma melodinya Siti perlu ingat balik tetapi itu tidak mendatangkan masalah kerana Siti pernah menyanyikan lagu Allahyarham dalam persembahan Siti sebelum ini.

“Siti akan cuba nyanyikan lagu mereka dengan cara tersendiri tetapi masih mengekalkan keindahan lagu Tan Sri P Ramlee dan seboleh mungkin kami tidak mahu terlalu mengubah susunan muziknya,” katanya lagi.

Antara lagu yang bakal didendangkan seperti Jeritan Batinku, Jangan Tinggal Daku, Cik Keboom, Merak Kayangan, Engkau Laksana Bulan, Berkorban Apa Saja, Di Manakan Ku Cari Ganti dan banyak lagi. Konsert ini juga akan diselang-selikan dengan tayangan video dan segmen lakonan kembali oleh Isketambola.

Ketua Pengarah IB, Datuk Azhar Abu Bakar berkata, pemilihan lagu adalah hasil perbincangan bersama. Begitu juga dengan tema konsert berkenaan.

“Konsert ini adalah rentetan yang menjurus kepada penghargaan kepada P Ramlee dan Saloma. Konsert ini juga adalah satu usaha yang cuba dibawakan IB untuk mengenang lagenda kita. Saya berharap konsert selama dua malam ini akan mendapat sambutan yang hebat,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menyaksikan persembahan Siti Nurhaliza, tiket dijual pada harga RM50 hingga RM250. Maklumat lanjut mengenai konsert dan pembelian tiket hubungi 03-40265558 atau layari laman web www.istanabudaya.gov.my.