Kuntau Siti hebat.

GIMIK demi gimik terkena penyanyi top Siti Nurhaliza. Kalau sebelum ini dia dikatakan mendirikan rumahtangga pada 3 Jun lalu, hasrat untuk menikmati hidangan ‘nasi minyak’ itu nampaknya sekadar angan-angan kosong saja.

Terbaru, wajah Siti terpampang pula pada sebuah kulit sebuah majalah luar negara yang beribu pejabat di London. Majalah terbabit ialah The Player (PlayStation) terbitan edisi Mei lalu.

Yang peliknya, Siti bukannya muncul dengan imej kebiasaannya tetapi beraksi ala srikandi atau pahlawan China (lihat gambar).

Apakah foto itu satu lagi gimik daripada Siti?
Pertama kali wartawan Bi-Pop menatap ilustrasi komputer grafik majalah terbabit edisi Mei lalu, terdetik di hati, apakah ia diilhamkan daripada wajah anak kelahiran Kuala Lipis itu?

Atau ia mungkin satu kebetulan, berdasarkan imaginasi pereka grafik majalah terbabit, April Kent dan editornya, Owen Norris?

Apapun, bagi Siti, kebetulan itu hanya satu permainan dalam dunia seni.
Dia mungkin tersenyum sendirian melihat ‘wajahnya’ terpampang pada kulit majalah itu hingga ada peminat tertanya-tanya:”Eh, betul ke Siti ni?”

Dalam pada itu, Siti, di alam realiti, sedang sibuk dengan persiapan konsert gergasinya di Bukit Jalil, pada 30 Jun ini.

Pelbagai persiapan sedang dilakukannya bagi memastikan konsert itu lebih hebat berbanding yang pertama lalu.

Siti bertuah kerana konsert itu disokong pelbagai penaja besar. Bintang Pepsi ini baru-baru ini mendapat tajaan Europel Sdn Bhd dan Projet (M) Sdn Bhd yang menawarkan kereta mewah, Opel Zafira untuk dimenangi peminat dalam cabutan bertuah nanti. Begitulah Siti yang sentiasa popular!