Kulit wajah perlu penjagaan awal

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

KULIT wajah memerlukan penjagaan sempurna sesuai pertambahan usia. Sekiranya pada usia belasan tahun, kulit wajah mungkin bukan masalah paling besar bagi anda, tetapi apabila memasuki usia 30-an, regim penjagaan wajah semakin berubah sejajar pertambahan usia.

Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza, turut tidak terkecuali berhadapan perkara berkenaan. Katanya, pada usia remaja kulit wajah bukan masalah utama sungguhpun perlu mengenakan solekan yang tebal selalu, kulitnya akan pasti kembali sihat tanpa jerawat yang merunsingkan, namun semakin menginjak usia keadaan turut berubah.

“Garis halus itu semua orang akan hadapinya dan Siti tidak terlalu risau, lagipun kini ada produk antipenuaan. Siti paling takut kulit wajah menjadi kasar, yang mana bila disentuh tidak rata justeru saya akur penjagaan wajah kini tidak sama seperti dulu, sebaliknya memerlukan lebih perhatian.

“Kira-kira dua tahun lepas Siti berhadapan masalah kulit kasar apabila kurang memberikan perhatian pada penjagaan wajah yang mana kesannya kulit Siti berkeadaan sedemikian dan perlu diperbaiki dengan melakukan perawatan yang lebih teratur. Dalam memastikan kulit wajah sihat saya akan pastikan ia bersih sebelum tidur selain memastikan akan pergi membuat perawatan wajah sekurang-kurangnya sebulan sekali,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Olay Total Effects di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis perasmian dilakukan Ketua Pegawai Eksekutif Procter & Gamble (M) Sdn Bhd, Vaidyanath Swamy.

Siti berkata, beliau mula memberikan perhatian kepada penjagaan wajah sejak pada usia remaja dan bernasib baik apabila memiliki kulit wajah yang tidak menghadapi banyak masalah. Selain memberikan perhatian pada kulit wajah, rambut juga satu perkara yang beliau titik beratkan.

Mengulas mengenai produk Olay Total Effects yang digunakan sejak kira-kira dua tahun lalu, Siti berkata, kulitnya bukan saja tidak menghadapi sebarang masalah sebaliknya menjimatkan masa untuk memakai produk berkenaan kerana satu sapuan sudah sempurna.

“Formula baru di dalam produk ini membantu saya mendapatkan kulit wajah idaman, sama seperti sekiranya saya melakukan perawatan wajah. Saya dapati pori kulit semakin mengecil, selain tona kulit wajah makin sekata, malah tidak keterlaluan andai dikatakan wajah saya semakin cerah dan berseri,” katanya yang tidak pernah meninggalkan pelindung sinar, bedak padat dan losyen tangan dalam beg tangannya.

Siti berkata, selain menjaga aspek pemakanan, memastikan wajah sihat berseri, beliau turut memastikan mengambil makanan tambahan seperti Evening Primrose, Vitamin E dan C kerana ia adalah makanan kepada tubuh badan. Aspek senaman tidak diketepikan malah wanita kelahiran Kuala Lipis Pahang ini turut mendapatkan khidmat guru yang mengajarnya melakukan senaman sekurang-kurangnya sejam di rumah yang dilakukan kira-kira empat hingga lima kali seminggu.

Sungguhpun berhadapan dengan tekanan kerja, Siti berkata sejak mendirikan rumah tangga beliau dapat meredakan tekanan dengan melakukan aktiviti yang beliau ‘terlepas’ ketika zaman remajanya seperti bercuti ke luar negara, menonton wayang dan membeli-belah.

Katanya, definisi kecantikan bagi setiap orang mungkin berbeza, tetapi bagi dirinya, setiap wanita dikurniakan kecantikan tersendiri. Justeru, terpulang kepada individu. Beliau melihat keyakinan diri sebagai elemen kecantikan dan ia diserikan dengan kesihatan diri dan penampilan.

INFO: Olay Total Effects

Dikatakan berjaya menghalang tujuh tanda penuaan dalam satu botol.

Niacinamide bahan anti penuaan dalam Olay Total Effects mampu mengekalkan kadar pembaharuan kulit normal, melindungi kulit daripada kekeringan kesan pendingin hawa, sinar matahari dan angin malah produk baru ini ditambah lebih 75 peratus bahan berkenaan.