Kontroversi popularkan Mentor 2

Keputusan memilih enam peserta terbaik berakhir dengan suasana kecoh apabila kedua-dua anak didik Siti Nurhaliza, Fina (Ayu Safina Sahidan) dan Nadia (Noor Nadia Rusali), tersingkir

DALAM keriuhan peminat memperkatakan mengenai Akademi Fantasia 4 (AF4), tumpuan lensa dan spotlight kini beralih pula kepada Mentor 2 di TV3 apabila ia bukan saja membariskan peserta yang lebih berkualiti malah mencetuskan kontroversi panas, Ahad lalu.

Dalam pada penonton terpegun dengan rata-rata protegenya yang hebat, dengan tidak semena-mena, keputusan memilih enam peserta terbaik berakhir dengan suasana kecoh apabila kedua-dua bakal anak didik bakal pengantin baru, Siti Nurhaliza iaitu Fina (Ayu Safina Sahidan) dan Nadia (Noor Nadia Rusali), tersingkir!

Keadaan ini cukup menghairankan kerana pada pemahaman semua penonton, peringkat prolog ‘sepatutnya’ menyaksikan konsep kalah mati antara dua peserta di bawah seseorang mentor.

Sebaliknya, pihak TV3 mendakwa keputusan peringkat itu sebenarnya mengambil kira undian SMS paling tinggi. Lalu kedua-dua protege asal Siti yang mendapat undian paling rendah terpaksa melangkah keluar…

Sebagai ganti, protege Amy Search, Siti Khatijah Hassan (Kat) yang dikalahkan Fiq (Mohd Firdaus Abdul Halim) dibawa masuk menjadi protege baru Siti selepas undian SMSnya lebih tinggi daripada Fina dan Nadia.

Pada malam pengumuman keputusan itu semua peserta yang terpilih membuat persembahan dengan lagu masing-masing.

Hidayah Osman atau Eiya, protege Yassin yang mengalahkan rakannya, Hal Husaini, tampil menyampaikan lagu Pilihlah Aku yang dipopularkan Krisdayanti. Kat yang menjadi tumpuan malam itu mendendangkan lagu Ratu, Teman TapiMesra dengan baik.

Fiq, protege Amy Search muncul menyampaikan lagu rock, Pawana. Persembahan Fiq tampak biasa saja berbanding minggu lalu ketika dia menyanyikan lagu Kejoraku Bersatu. Mungkin gementar agaknya.

Pemilihan protege Nurul, Nieyl (Nuriylia Zailani) yang mengetepikan Rachel James Ansibin, sudah dijangka. Sebagai hiburan penonton, Nieyl menyampaikan lagu Yang Mana Satu.

Protege Zaf VE, Syed Alfrizal Syed Alwi (Rizal) menunjukkan satu permulaan yang membanggakan apabila mengetepikan Nur Raihan Mat Zaki atau Wunny. Rizal menyampaikan lagu Kata.

Protege Hazami, Rahayu Baharudin (Ayu), turut mara ke peringkat seterusnya apabila meneruskan Farizzudin Mohamad Taib (Fariz). Dengan pengalaman sebagai penari kebudayaan di Melaka, gaya dan persembahan Ayu ketika menyampaikan lagu Rindu agak menarik.

Kini, keenam-enam peserta Mentor yang terpilih itu sudah mula mempelajari pelbagai aspek berkaitan seni dan muzik dengan tunjuk ajar sifu mereka. Sementara itu, Zainalabidin selaku ketua juri berkata, segala keputusan dibuat atas persetujuan semua mentor dan barisan juri pertandingan itu termasuk Siti Nurhaliza.

“Isu Kat dipilih masuk kerana dia adik ipar Amy Search adalah langsung tidak relevan. Ini pertandingan untuk mereka yang berbakat, bukan pertandingan kerana saudara mara.

“Semua juri merasakan Kat berpotensi cukup besar dan undian SMSnya pun tinggi. Lagipun selepas menilai banyak aspek, Siti sendiri bersetuju untuk mendidik Kat,” katanya.

Hadir menyaksikan pengumuman itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Datuk Farid Ridzuan. Mentor 2 ke udara setiap Ahad, mulai 9 malam hanya di TV3.

FAKTA
Syarat-syarat seterusnya
pertandingan Mentor 2

Kumpulan A kini dianggotai Nuriylia Zailani (Nieyl), Hidayah Osman (Eiya) dan Siti Khatijah (Kat).

Kumpulan B adalah Syed Alfrizal (Rizal), Rahayu Baharuddin (Ayu) dan Mohd Firdaus Abdul Halim (Fiq)

Semua protege akan bertanding setiap minggu sebanyak tiga kali dalam battle week.

Markah akan diperoleh protege berdasarkan keputusan pada setiap minggu.

Protege yang mendapat markah paling rendah dalam kumpulan A dan B selepas tiga kali bersaing akan tersingkir.

Dua protege yang lain dari setiap kumpulan akan layak ke peringkat separuh akhir.