Konsert Suria semai semangat cintakan negara.

Oleh ROSLI MANAH

HIBURAN masih lagi menjadi agenda utama dalam menyemarakkan semangat cintakan negara dan sikap patriotik sempena mengingati ulang tahun kemerdekaan negara pada 31 Ogos.

Lagu-lagu Bahtera Merdeka, Sejahtera Malaysia dan lagu berteraskan budaya bangsa sering diperdengarkan.

Justeru,, pihak pengurusan Menara Berkembar Petronas turut mempersembahkan Konsert Suria Merdeka 2001 secara percuma di Taman KLCC, kelmarin.

Pada konsert itu, lebih 20,000 warga kota hadir menyaksikan persembahan para artis yang terdiri daripada Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Nora, Syafinaz, Tan Sri S.M. Salim, Awie dan Poetic Ammo.

Konsert yang diadakan di taman terbuka itu berlangsung dalam suasana aman walaupun penonton tidak berganjak untuk menonton di hadapan pentas.

Konsert tersebut disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria dan stesen radio Era.

Empat pengacara radio Era, Linda Onn, Halim Othman, Kudsia Kahar dan Khairil Yasin bertindak selaku pengacara.

Penyanyi veteran yang dihormati, Tan Sri S.M. Salim diberi penghormatan mengadakan persembahan pembuka tirai.

Sambil duduk, penyanyi itu mendendangkan lagu-lagu Bahtera Merdeka, Kalauku Tahu, Kusangka Aur Di Pinggir Tebing dan Pantun Budi.

Beliau juga turut berduet dengan Siti Nurhaliza menerusi lagu popular yang kini diminati ramai, Pandang Pandang Jeling Jeling.

Siti Nurhaliza pula memilih lagu-lagu Fatwa Pujangga, Mahligai Permata dan Percayalah.

Ketika beraksi, S.M. Salim sempat melontarkan nasihat kepada para penonton.

“Kamu generasi muda bertuah kerana hidup di zaman negara yang merdeka,” katanya.

Siti pula menyatakan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia dan dapat menikmati kehidupan yang aman.

“Bersama-samalah kita menjaga kesejahteraan negara agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini,” ujarnya.

Noraniza Idris mempersembahkan rangkaian lagu berirama tradisional Melayu yang dipopularkan olehnya seperti Awallah Dondang, Dikir Puteri, Ngajat Tampi, Manisah dan Ibok.

Penyanyi itu juga meminta peminat menajamkan sifat jati diri serta cintakan budaya bangsa untuk memastikan budaya Malaysia terus terpelihara.

Nora mendendangkan lagu-lagu Hanya Satu, Rentak Jantung, Materialistik dan Desaku Tercinta, manakala Syafinaz membawakan Kemesraan, Rinduku Rindumu dan sebuah lagu Inggeris, Imotion.

Awie pula menyanyikan lagu-lagu Terima Kasih, Maya dan Baldu Biru, manakala Poetic Ammo dengan lagu-lagu Inggeris berkonsep hip hop.

Pada akhir persembahan, kesemua artis menyanyikan lagu Sejahtera Malaysia.

http://www.utusan.com.my/