Konsert Mega ketiga Jun.

Para peminat penyanyi Siti Nurhaliza sekali lagi akan menggegarkan Stadium Putra Bukit Jalil apabila konsert mega ketiga penyanyi itu pada 30 Jun depan.

Jika konsert pertama dianjurkan oleh Siti Nurhaliza Productions, kali ini Konsert Mega Bukit Jalil Siti Nurhaliza dianjurkan oleh Perbadanan Stadium Merdeka.

Ini merupakan konsert solo ketiga Siti selepas berjaya dengan konsert pertama di tempat yang sama pada Oktober 1999 dan kali kedua di Harbour Pavillion, Singapura, pada Mac tahun lalu.

“Saya akan menyanyikan kira-kira 20 lagu dalam masa dua jam,” kata Siti Nurhaliza pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Pada majlis itu dia turut menandatangani perjanjian dengan pihak Perbadanan Stadium Merdeka yang diwakili oleh Pengurusnya, Abu Bakar Kasim. Turut hadir ialah Pengerusi Perbadanan Stadium Nerdeka, Mohamad Supardi Md. Noor dan Pengurus Residen Pearl International Hotel, Sony Lim.

“Pada konsert kali ini saya akan menyanyikan lagu-lagu terutama daripada album-album terbaru sebab lagu dari album terdahulu sudah pun dinyanyikan,” kata penyanyi yang dicalonkan dalam beberapa kategori AIM 2001 ini.

Menurut Siti Nurhaliza, peminat dari Singapura dan Brunei juga akan menghadiri konsert itu.

“Pihak Siti Nurhaliza Production akan melantik agensi dari kedua-dua negara terbabit untuk menguruskan kehadiran para peminat. Ini pernah dilakukan pada konsert pertama dan mendapat sambutan begitu menggalakkan,” ujar Siti Nurhaliza lagi.

Siti Nurhaliza yang memang sudah lama berhasrat untuk muncul dengan konsert kedua di negara ini berkata, tawaran oleh Perbadanan Stadium Merdeka untuk menganjurkan konsert mega itu memang kena pada waktunya.

Penyanyi yang dicalonkan dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Dalam Sesebuah Lagu (Balqis) dan Album Etnik Terbaik (Sahmura) pada AIM 2001 ini juga berkata, persembahan kali berbeza dengan konsertnya yang lalu.

“Saya akan menampilkan suatu yang berbeza dengan konsert terdahulu,” tegasnya.

Dia yang tidak akan menukar persalinan sekerap konsert lalu bagaimanapun enggan membuka rahsia corak persembahannya.

“Kalau diberitahu sekarang, nanti tidak ada kejutan pula,” katanya.

Pengarah persembahan, Suhaimi Mohd Zain pula berkata berkata, banyak elemen menakjubkan akan digunakan dalam konsert itu nanti yang membabitkan lebih banyak kerja-kerja teknikal.

Tugas pengarahan muzik masih dipikul oleh Ramli MS, sementara Jay Kool akan bertindak sebagai pereka tari persembahan.

Selain menjadi penganjur Perbadanan Stadium Merdeka juga bertanggungjawab menjual tiket bagi konsert berkenaan.

Menurut Abu Bakar, pihaknya mencetak 9,000 tiket berharga RM250, RM150, RM80 dan RM30. Tiket-tiket akan mula dijual pada 15 Mei depan.

“Kita merasakan harga tiket adalah sesuai dengan keadaan ekonomi negara hari ini,” kata Abu Bakar.

Dia menjelaskan, tiket berharga RM250 hanya dicetak sebanyak 300 saja dan ini jauh lebih murah berbanding harga tiket paling mahal semasa persembahan di Singapura, iaitu S$300.

Katanya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai jualan tiket dan konsert dengan melayari laman web www.ksn.com.my atau laman web Siti sendiri, Siti.Nurhaliza.com.

Menurut Abu Bakar, pihak Perbadanan Stadium Merdeka membelanjakan RM1 juta bagi menjayakan konsert itu. Bagaimanapun dia enggan menyatakan jumlah yang dibayar kepada penyanyi terkenal itu.

http://www.utusan.com.my/