Konsert lepas rindu P Ramlee, Saloma di RTM1

BAGI peminat seni hiburan tanah air yang tidak berkesempatan menyaksikan Konsert Istana Cinta Nostalgia Tan Sri P Ramlee & Puan Sri Saloma oleh Datuk Siti Nurhaliza di Istana Budaya (IB) baru-baru ini, usah lepaskan peluang untuk menyaksikan konsert itu yang akan bersiaran di RTM1, jam 3 petang, Ahad ini.

Umum mengetahui pemergian P Ramlee, dan Saloma, meninggalkan banyak lagu merdu yang tidak jemu didengar walaupun berulang kali dimainkan dan dinyanyikan oleh penyanyi lain.

Konsert itu satu penghargaan khas kepada P Ramlee dan Saloma ini, menampilkan Siti Nurhaliza, selaku pelapis generasi muzik era 90-an dan alaf baru. Siti Nurhaliza sebagai artis utama mengalunkan lebih 20 lagu termasuk secara duet dan medley. Lagu yang dialunkan bersesuaian dengan tema segmen diketengahkan.

Sementara persembahan artis pada konsert ini diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di bawah pimpinan Eddie Marzuki. Turut diundang menyumbangkan suara mereka ialah Musly Ramly, Fazli Zainal dan Kumpulan Isketambola.

Antara lagu didendangkan dalam konsert ini ialah Cik Keboom, Kwek Mambo, Manusia, Tiru Macam Saya, Malam Pesta Muda-Mudi, Merak Kayangan, Engkau Laksana Bulan, Dengar Ini Cerita, Malamku Bermimpi, Saat Yang Bahagia, Dalam Air Ku Terbayang Wajah, Berkorban Apa Saja dan Di Mana Kan Ku Cari Ganti.

Kemerduan suara P Ramlee dan Saloma mendendangkan lagu mereka seolah-olah masih terngiang-ngiang di telinga kita. Justeru, dengan adanya konsert ini, kerinduan kita terhadap suara dan lagu dendangan mereka terubat sekalipun artis generasi muda tidak mengenali kedua-dua seniman dan seniwati legenda itu.