Khalid Bangga Kejayaan Siti, Adib

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my
Foto ihsan S/U AGung SAM, HJ. Sulaiman samai’an


Bersama tulang belakang All Your Love terdiri daripada (dari kiri) komposer Australia Bryan B, Muhammad Adib dan Datuk Khalid.

BERKONGSI perasaan suami kepada penghibur nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang melancarkan album Inggeris berjudul All Your Love baru-baru ini memang mengasyikkan.

Terus terang, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa berasa bangga dengan pencapaian dua insan kesayangannya itu sepanjang menjayakan projek terbabit.

Cetusan idea anak keduanya, Muhammad Adib atau Adib merealisasikan impian Siti bermula awal tahun lalu sehingga proses pembikinan album itu selesai, melegakan dirinya.

‘Saya melihat sendiri kesungguhan Siti dan Adib yang tidak berbelah bahagi untuk album ini,’ singkap Khalid pada pertemuan selepas pelancaran All Your Love, petang Isnin lalu.

Album Inggeris yang berada di pasaran sejak 22 September lalu itu merupakan album ke-14 Siti selepas menghasilkan 13 album Melayu.

Album berkenaan mengandungi 10 lagu termasuk sebuah lagu duet dengan penyanyi kelahiran Amerika Syarikat (AS), Sean Kingston bertajuk Remember Me.

All Your Love menjalani proses adunan di Sydney, Australia manakala proses mastering dilakukan di Los Angeles, AS.

Khalid yang tidak terlibat langsung dalam pembikinan album isterinya itu turut mendedahkan kerisauan Siti pada peringkat awal.

‘Siti gusar andai percubaannya kali ini mengundang masalah. Contohnya masalah sebutan dan penerimaan orang tentang konsep yang dibawa.

‘Apa yang saya nasihatkan kepada Siti ialah, dia tak perlu jadi orang lain dan jadi diri sendiri. Tak payah nak ikut sangat cara slanga orang British, Amerika atau Australia. Tapi alhamdulillah, dia seorang yang cepat belajar.

‘Saya pernah ikut Siti semasa merakamkan lagu pada satu petang. Memang memeranjatkan apabila dia boleh merakamkan sebuah lagu dalam tempoh masa dua atau tiga jam sahaja,’ dedahnya lagi.

Rasa kagum itu turut meliputi pencapaian Siti dalam industri yang sentiasa dahagakan pembaharuan dalam rentetan karier seninya sepanjang 16 tahun.

‘Saya juga adalah antara jutaan peminat Siti yang ada di seluruh dunia. Walaupun dia adalah isteri saya, tapi apabila dia berada di pentas, dia adalah milik peminatnya.

‘Siti ada aura sendiri. Apabila dia menyanyi, dia boleh buat kita terpaku. Sebab Siti menyanyi dengan penuh emosi dan itu adalah kelebihan dia,’ sambungnya lagi.

Menyentuh pandangan peribadinya tentang pencapaian Adib juga menjadikan perbualan kami bertambah rancak. Terus-terang, Khalid sama sekali tidak menyangka kemampuan anak keduanya yang berusia 21 tahun itu.

‘Sebenarnya, Adib ada cakap nak hasilkan album Inggeris Siti semasa dia buat persembahan di Melbourne dulu. Masa itu Adib masih belajar, jurusan perniagaan di sebuah universiti di sana.

‘Memang memeranjatkan melihat bagaimana strategi pemasaran Adib untuk mengkomersialkan album Siti. Dia berjaya ke tahap yang membanggakan biarpun tanpa pengalaman spesifik,’ katanya.

Adakah itu bermakna Khalid akan membenarkan Adib untuk terus menceburkan diri dalam industri seni tanah air? Lelaki ini mengatakan persoalan itu diserahkan kepada Adib.

‘Saya tak menghalang atau menggalakkan Adib andai mahu terus dalam industri. Saya hanya boleh bagi pandangan dan nasihat. Tapi saya suka dengan semangat dia untuk berjaya dalam industri.

‘Elemen-elemen perniagaan ini juga ada pada setiap anak sebab mereka semua belajar perniagaan. Itu yang menjadi keutamaan saya,’ katanya menyungging senyuman.

Gemar konvoi

Sebenarnya, Khalid baru selesai menyertai Konvoi Kembara 1Malaysia anjuran Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) bersama isterinya minggu lalu.

Rombongan yang disertai 254 motosikal berkuasa tinggi dan 30 buah kenderaan pelbagai guna itu adalah pengalaman kedua buat dirinya bersama Siti.

‘Bayangkan, saya yang sudah tak menunggang motosikal 25 tahun kemudiannya menjelajah ke beberapa pelosok negeri. Kali pertama saya menunggang pada awal tahun semasa di Cape Town, Afrika Selatan.

‘Kembara memang satu perkara yang menyeronokkan. Sudah pasti saya akan konvoi andai ada masa terluang,’ cerita lelaki yang mempunyai tiga buah motosikal di kediamannya itu.

Ditanya adakah Khalid ada rancangan konvoi bermotosikal selepas ini, lelaki ini tersenyum. Katanya, wujud rancangan untuk menjelajah ke New Zealand hujung tahun ini. Tapi semuanya masih belum diputuskan lagi.

Apa pun, mereka berdua cukup seronok melihat keindahan semulajadi sepanjang perjalanan menunggang motosikal beramai-ramai. Dapat menambah kenalan dan mempelbagaikan gaya hidup yang selama ini sibuk dengan tugasan hakiki masing-masing.

Utusan