Kesan kebanjiran artis luar negara

SEJAK awal tahun ini, ramai artis dari luar negara singgah ke negara kita sama ada untuk mempromosikan album ataupun mengadakan konsert.

Antara artis luar yang telah pun mengadakan persembahan di sini seperti kumpulan Il Divo pada 16 Januari lalu, Muse (25 Februari), Earth, Wind & Fire (6 April), Kayne West (8 April), Good Charlotte (21 April) dan Michael Learns To Rock (13 dan 14 Julai).

Sehingga hujung tahun ini pula, kita akan dapat menyaksikan lebih ramai artis luar negara terutamanya dari Barat mengadakan konsert di sekitar Kuala Lumpur (KL).

Artis-artis yang sudah dikenal pasti akan mengadakan persembahan mereka di KL termasuklah Gwen Stefani pada 21 Ogos ini, Napalm Death (1 September) dan My Chemical Romance (9 Disember).

Boleh dikatakan hampir setiap persembahan mereka mendapat sambutan menggalakkan daripada para peminat tempatan meskipun harga tiket yang dikenakan adakalanya mencecah hingga ratusan ringgit.

Selain artis Barat, industri muzik kita juga turut dibanjiri artis-artis dari Indonesia. Kehadiran mereka sebenarnya memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan persada muzik kita.

Mereka dilihat semakin mendominasi industri muzik tempatan terutamanya daripada segi jualan album dan juga jumlah penonton yang datang menyaksikan konsert-konsert mereka.

Kumpulan nu-metal dari Amerika Syarikat, Linkin Park pernah mengadakan konsert sulung mereka di Stadium Merdeka, KL pada 2003 di mana ia disaksikan oleh lebih 20,000 penonton.

Terbaru jualan album kumpulan Ungu dari Indonesia berjudul Melayang dijual melebihi 40,000 unit di negara ini. Perkembangan itu memberi tamparan yang hebat buat artis-artis tempatan kerana ketika ini album penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza pun agak sukar mencatat jualan melebihi 30,000 unit.

Fenomena itu memperlihatkan kredibiliti dan sambutan para peminat lebih memihak kepada artis-artis dari luar negara berbanding artis-artis tempatan.

Justeru, artis-artis kita haruslah memikirkan semula strategi atau menggilap semula bakat dan kreativiti masing-masing bagi memenangi hati serta selera para peminat masa kini.

Kita mahu para peminat tidak hanya memandang kepada album-album dan persembahan artis-artis dari luar negara semata-mata.

Kalau boleh kita juga ingin mengulangi kejayaan, misalnya yang pernah dicapai oleh Wings dan Raihan sebelum ini.

Tentu masih ramai yang belum melupakan betapa gegarnya konsert Wings pada penghujung tahun 1980-an, di Pesta Port Dickson, Negeri Sembilan yang ditonton oleh lebih 60,000 penonton.

Kejayaan kumpulan Raihan juga patut dijadikan contoh untuk meraih semula kejayaan penjualan album artis-artis tempatan.

Raihan pada tahun 1997 pernah mencipta sejarah dalam industri muzik tempatan apabila album sulung mereka berjudul Puji-Pujian dijual melebihi 750,000 unit.

Sebab itu selain para peminat, artis-artis kita juga sepatutnya tidak harus mensia-siakan peluang menyaksikan persembahan artis-artis dari luar negara yang berkunjung ke negara ini.

Teliti dan pelajarilah ramuan yang mereka gunakan untuk memenangi hati para peminat tempatan.

Sebenarnya kita bukan sekadar risau tentang ‘periuk nasi’ artis-artis tempatan dan juga pengaliran wang ke luar negara akibat kehadiran artis-artis dari luar negara.

Tetapi paling menakutkan kita ialah kesan penjajahan minda generasi muda pada masa akan datang jika sambutan para peminat terhadap artis-artis tempatan semakin berkurangan akibat kebanjiran artis-artis dari luar negara.