Kes Datuk K ditangguh

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menangguhkan permohonan pengurusan kes saman malu terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K yang difailkan seorang remaja pada 5 Mac depan.

Tarikh itu diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mariana Yahya dalam kamarnya bagi membolehkan pihak defendan menjawab kembali isu dan fakta yang dipersetujuinya bersama plaintif, Muhammed Kasheef Harris Sivapatham.

Plaintif yang diwakili peguam Goben Singh dan Suraj Singh sebelum ini menyerahkan isu dan fakta sama kepada defendan bagi membolehkannya menjawab semula mengenai perkara itu.

Suraj dan Goben serta peguam Gubachan Singh yang mewakili Datuk K, bagaimanapun tidak hadir sebaliknya diwakili peguam Raj Preet Kaur untuk mendengar keputusan dalam kamar.

Pada 13 April lalu, Muhammed Kasheef memfailkan saman malu terhadap Datuk K kerana mendakwa ahli perniagaan itu menahannya secara salah, mencederakan serta memfitnahnya sebagai pengedar dadah.

Plaintif mendakwa kejadian itu berlaku di rumah Khalid di No 3, Jalan Wangsa 13, Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor pada 17 Mac 2007, jam 11.30 malam hingga 1 pagi, 18 Mac 2007.

Dalam writ saman itu, Muhammed Kasheef dari No 7, Jalan Kelab Ukay 11, Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, mendakwa pada tarikh itu, dia menerima dua SMS daripada anak defendan, iaitu Mohamed Adib Khalid, 19, meminta dia datang ke rumahnya.

SMS itu dipetik plaintif seperti berikut: ‘Bro, please pick up. My dad wants to see you’ dan ‘Bro, tolonglah aku… angkat phone… my dad cakap kalau kau tak datang dia hendak hentak aku, pls bro’.

Muhammed Kasheef, 19, yang juga rakan Mohamed Adib, mendakwa suami penyanyi Datin Seri Siti Nurhaliza Taruddin cuba merosak dan mencerca reputasi baiknya di kalangan masyarakat dengan menuduhnya penjenayah, tidak berwatak baik, tidak layak bergaul dengan anak defendan, penipu dan tidak boleh dipercayai.

Plaintif mendakwa, defendan dengan niat jahat dan secara melulu menuduhnya pengedar dadah dan memaksanya mengaku sebagai pengedar dadah.

Muhammed Kasheef mendakwa defendan mengeluarkan perkataan ‘kamu ambil dadah’, ‘kamu drug dealer (pengedar dadah)’ terhadapnya yang disifatkannya sebagai fitnah dan dusta.