Kempunan Salji Di Seoul

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my
(Yang mengikuti program Bersama Datuk Siti Nurhaliza di Korea baru-baru ini)


Bersama Siti Nurhaliza di Jalan Cheonggyecheon, Seoul, Korea.

KALI pertama menjejakkan kaki di Korea Selatan menerbitkan rasa teruja penulis untuk menelusuri bumi yang ramai pemujanya ini.

Justeru kunjungan semasa musim sejuk dari 22 hingga 25 November lalu itu berbekalkan baju, sarung tangan dan topi tebal demi keselesaan ketika di sana.

Pemandu pelancong, Joe Chen, 35, dan Dola Chen, 22, menyambut ketibaan rombongan kami dengan sepanduk di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.

“Anda semua langkah kiri sebab salji pertama sudah turun selepas hujan lebat semalam. Kalau kita bertuah, mesti dapat rasa dalam dua tiga hari ini,” kata Joe disambut bunyi kehampaan daripada lapan petugas media yang begitu teruja untuk merasai sendiri pengalaman bermain salji.

Presiden produk kecantikan dan penjagaan kulit SimplySiti, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, turut menyatakan rasa teruja untuk merasai salji di Korea. Namun sehingga hari ketiga, usahkan hendak bermain bola salji, bayangnya pun tak nampak.

Joe memberitahu Seoul pada musim sejuk tidak semeriah tiga musim lain iaitu bunga bermula Mac hingga Mei, panas (Jun-Ogos) dan luruh (September).

Ini kerana, dalam keadaan cuaca yang sejuk, penduduk Korea lebih gemar duduk berehat di rumah, makan dan minum bersama keluarga. Alat pemanas digunakan sepenuhnya seperti alat penyaman udara bagi memastikan suhu bilik selesa untuk melakukan sebarang aktiviti santai secara terhad.

Satu lagi aktiviti penduduk sewaktu musim sejuk adalah berkunjung ke pusat beli-belah untuk membeli pakaian musim panas. Kesempatan tersebut turut digunakan oleh pelancong negara dua musim untuk memborong pakaian berkualiti yang selalunya dijual pada harga diskaun.

“Pada musim sejuk ini anda boleh lihat ramai remaja keluar rumah bergaya dengan fesyen seperti di Eropah. Masing-masing tak nak kalah dan fenomena itu tak ubah seperti pertunjukan fesyen atau persembahan artis K-Pop.

“Walaupun kelihatan moden tetapi mereka tak suka dengan pelancong luar. Lebih-lebih lagi kalau wajah mereka dirakamkan dengan kamera. Seboleh mungkin mereka akan cuba mengelak,” sambung Joe lagi.

Penuh bersejarah

Dalam kunjungan singkat itu juga, kami dibawa melawat sekitar Jalan Cheonggyecheon yang megah membangun dengan bangunan pencakar langit serta menelusuri sejarah di pusat pameran dan muzium pelancongan terkenal Cheongwadae Sarangchae.

Cheongwadae Sarangchae, yang baru dibuka kepada pengunjung tahun lalu, cukup istimewa kerana kedudukannya yang strategik iaitu menghubungkan beberapa lokasi penting seperti Blue House yang menjadi kediaman Presiden, Istana Gyeongbokgung, Gwanghwamun Square dan Sungai Cheonggyecheon.

Peluang mengunjungi Muzium Rakyat Kebangsaan Korea digunakan sepenuhnya untuk meninjau dewan yang suatu ketika dulu menjadi tempat perjumpaan golongan kerabat diraja dengan pegawai kerajaan.

Di tengah-tengah negara yang majoritinya beragama Buddha, Masjid Negara Seoul yang tersergam di Itaewon menyerlahkan toleransi beragama di Korea. Pertemuan dengan Ketua Imam, A. Rahman Lee banyak memberi pengetahuan tentang perkembangan Islam yang semakin pesat di negara berkenaan.

Kilang batu permata, rumpai laut dan ginseng menjadi lokasi persinggahan rombongan kami seterusnya sebelum dibawa menyaksikan persembahan teater muzikal Miso daripada Dinasti Joseon di Chongdong – sebagai pelengkap siri ‘penjelajahan’ di Korea.

Utusan