Kem Salleh Kagum Ciri-Ciri Praktikal Sylphy

Oleh ROSLAH OTHMAN

KEM Salleh mengakui Nissan Sylphy mempunyai ciri-ciri praktikal yang digemarinya.

NAMA Kem Salleh cukup sinonim dengan Kapas Couture. Idea dan konsep berbeza yang cuba ditampilkan antara faktor utama namanya terus meniti di bibir kalangan penggemar fesyen di negara ini. Beliau tidak hanya dikenali sebagai perancang perkahwinan yang kreatif tetapi berwibawa dalam menghasilkan rekaan mengikuti cita rasa pelanggan terutama bagi mereka yang sukakan gaya eksklusif dan tersendiri.

Di Kapas Couture, Kem atau nama sebenarnya, Kamarulzaman Salleh lebih menumpukan tugas sebagai perancang perkahwinan dan dekorasi sejak dua tahun lalu.

Kapas Couture diusahakan sejak 2001 secara kecil-kecilan. Pada tahun 2002 barulah butik Kapas Couture dibuka di Suria KLCC dan berpindah ke Great Eastern Mall, Jalan Ampang, sehinggalah ke hari ini.

Biarpun tidak mempunyai latar belakang dalam industri ini, kerana minat dan disiplin diri yang sentiasa dipraktikkan, Kem mampu menghasilkan idea kreatif tersendiri dan menepati cita rasa masa kini. Dalam tempoh itu juga, Kem berjaya membawa perspektif baru dalam dunia hiasan pelamin dan majlis perkahwinan serba indah yang sebelum ini jarang diceburi oleh kaum Adam.

Sentuhannya bukan sebarangan. Bukan juga setakat pelamin ringkas yang kerap diserikan dengan bunga plastik, lampu neon warna warni atau permainan fabrik sebagai lakaran konsep.

Identitinya terserlah pada pemilihan gabungan warna putih, emas dan perak, selain perhiasan bergemerlapan yang diperbuat daripada kristal menjadi trademark. Gabungan idea kreatif Kem dan sahabatnya, Ashley Wong yang bertindak sebagai pereka fesyen menjadikan Kapas Couture berjaya membina label fesyen pilihan di kalangan orang ternama serta personaliti terkenal tanah air. Antaranya termasuklah Datuk Siti Nurhaliza dan Ning Baizura.

Berkongsi pengalaman, kata anak kelahiran Tengkara, Melaka ini, peranan yang dimainkan perancang perkahwinan amat penting kerana ia memudahkan pasangan menjayakan majlis. Dari kad kahwin hinggalah berbulan madu, perunding diperlukan. Secara ringkasnya dari A sampai Z khidmat perunding diperlukan.

Impian dan harapan Mungkin ramai yang tidak mengetahui, Kem mempunyai tanggungjawab lain sebagai wakil pengarah di salah sebuah institut pengurusan di ibu negara yang berpengkalan di Manila, Filipina. Sebagai individu yang mempunyai disiplin tinggi dan bijak menguruskan masa, beliau tidak pernah menganggap melakukan dua kerja dalam satu masa sama menjejaskan tumpuannya.

Ditanya adakah beliau berpuas hati dengan pencapaiannya sekarang, kata Kem: ”Secara jujur saya bersyukur dengan apa yang diperoleh hari ini. Ini kerana mempunyai kerjaya yang berlatarbelakangkan kelulusan, pada masa sama kerja yang dilakukan kerana minat.

“Bagaimanapun kepuasan untuk terus menyumbang idea, tenaga dan wang ringgit kepada individu yang memerlukan masih belum dicapai sepenuhnya.”

Kem juga memasang impian lain iaitu mahu mengacarakan rancangan realiti yang lebih kepada gaya hidup dan membuka sebuah kafe berkonsepkan Kapas Couture satu hari nanti.

Peluang memandu Nissan Sylphy Menyifatkan dirinya seorang yang sederhana, namun sentiasa mahu tampil bergaya dan sempurna, Kem mengakui ia banyak diaplikasikan dalam kehidupan termasuk kediaman dan kenderaan peribadi.

Bercerita mengenai kenderaan peribadi, kata Kem, beliau lebih suka menggunakan satu kenderaan sahaja untuk memudahkannya bergerak ke sana sini.

”Apa yang penting ia sebuah kenderaan yang praktikal,” ujarnya yang lebih menggemari gaya sporty.

Berpeluang memandu uji Nissan Sylphy baru-baru ini, Kem mengakui kenderaan tersebut dilihat mempunyai ciri-ciri praktikal yang digemari.

Selain membolehkan penumpang tidak merasai langsung setiap kali pertukaran gear dilakukan, enjin juga bergerak lancar.

”Lebih penting dari segi prestasi, enjin serba aluminium 2.0L CVTC dengan teknologi XTRONIC CVT (Transmisi Boleh Ubah Berterusan) itu menjadikan Sylphy sebuah jentera yang menjimatkan dengan penggunaan minyak sejauh 16 kilometer bagi satu liter petrol,” ujarnya.

Utusan Malaysia