Keluarga Ibrahim mohon maaf

Oleh Adnan Mohamad
am@hmetro.com.my

KOTA BHARU: “Saya ingin mohon maaf kepada keluarga Siti Nurhaliza kerana mungkin pengakuan ayah disiarkan dalam akhbar memberi aib kepada mereka dan kami sendiri.

“Saya tahu kenyataan ayah kami tidak benar kerana dia sendiri terlalu tua,” kata Wan Yan, 40, anak kepada Ibrahim Deraman, 81, yang mendakwa Siti adalah anaknya yang diserahkan kepada seorang anggota polis, 25 tahun lalu.

Wan Yan yang mewakili keluarga Ibrahim mengatakan apa yang diperkatakan ayahnya tidak semestinya benar dan mungkin terpengaruh dengan pekerjaannya sebagai penjual ubat tradisional.

Menurutnya, sejak kisah ayahnya mendakwa bapa kandung Siti dipaparkan di akhbar, masyarakat sekeliling mula menyindir anggota keluarga mereka.

“Sindiran dibuat beberapa teman rapat walaupun dalam nada bergurau seolah-olah tidak kena kerana membabitkan nama yang amat terkenal dalam negara ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Seorang lagi anak warga emas itu, Hasnah Jusoh, 43, berkata ayahnya juga sering diejek rakan apabila membuat pengakuan Siti adalah anaknya.

“Akhirnya, ayah terpaksa melarikan diri dari rumah di Pasir Puteh ke rumah kakaknya di Kampung Kubang Pasu, dekat sini, kerana tidak tahan disindir orang kampung.

“Ayah saya memang suka bercakap kosong dan sering berangan-angan dan faktor usia mungkin menyebabkan beliau berkelakuan begitu.

“Ayah saya pernah cuba membunuh diri dengan menghunus pisau di perutnya. Bagaimanapun, tindakannya itu berjaya dihalang anggota keluarga kami,” katanya.

Harian Metro kelmarin melaporkan, Ibrahim yang mendakwa bapa kandung Siti tetapi tidak mempunyai bukti untuk mengesahkannya.

Ibrahim mendakwa Siti adalah anak perempuannya yang dipanggil Za diserahkan kepada seorang anggota polis dikenali sebagai Din di Balai Polis Bukit Yong, 25 tahun lalu.

Selain itu, dia mendakwa Siti adalah anak dengan isterinya yang ketujuh bernama Semah.