Keliru miliki ciri ’simplicity’.

“Oleh Ellyna Ali

“”SALAHKANKU… jangan salahkanku, salahkan Aidit!””, demikian alunan Nurul apabila lagu Keliru dendangannya bersama suami, Ajai dinobatkan sebagai Juara Lagu dalam Anugerah Juara Lagu Ke-17 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, malam kelmarin.

Jika diselami dan dikupas kata Nurul itu, dia seolah-olah ingin memberitahu penonton bahawa bukan salah mereka apabila lagu itu diangkat sebagai juara segala juara tetapi salahkan komposer dan penulis liriknya, Aidit Alfian kerana berjaya mengha-silkan lagu sebaik itu sehingga menambat hati juri.

Dilihat dari satu sudut mengapa Nurul harus berkata demikian, mungkin dia dan Ajai sendiri menyedari penonton tidak menyimpan harapan

terhadap Keliru untuk bergelar Juara Lagu, jauh sekali menjadi lagu kegemaran bagi gelaran paling berprestij itu termasuklah kategori Pop Rock.

Ia memang satu kenyataan kerana ada sebahagian penonton kelihatan melopong dan terpinga-pinga, sebaik saja Keliru diumumkan sebagai Juara Lagu. Keliru juga mewujudkan perasaan ingin tahu

terhadap kekeliruan mereka, apakah yang menyebabkan lagu itu diangkat sebagai pemenang bagi kategori utama itu sedangkan bagi mereka Keliru begitu mudah melodi dan susunan muziknya?

Bunyinya pula tidaklah terlalu catchy dan ia juga bukanlah sebuah lagu yang benar-benar hebat. Seperkara lagi, persembahan Ajai dan Nurul pada malam itu pula tidaklah semantap mana.

Atas dasar semua ini, bagaimana Keliru boleh diangkat sebagai Juara Lagu? Untuk meleraikan segala persoalan ini, mari kita lihat Keliru dari sudut melodi dan susunan muziknya dalam erti kata seni muzikal.

Walaupun ringkas, Keliru sebenarnya mempunyai melodi dan bunyi yang cukup unik. Elemen pop dan rock disatukan dengan cukup baik dan penggunaan strings mencantikkan lagi lagu itu.

Komposer dan penyanyi M Nasir turut mengakui Keliru adalah lagu pop rock yang bagus kerana kela-inan melodinya.

Sementara itu, Ketua Juri malam itu, Datuk Johari Salleh pula memberitahu, Keliru mempunyai ciri-ciri untuk memenangi Juara Lagu kerana mempunyai ciri ‘simplicity’.

“”Dalam pertandingan lagu di luar negara pun, anugerah bagi Lagu Terbaik biasanya diberikan jika ia mempunyai kriteria ini. Maksudnya, lagu itu bukan saja mudah diingati tetapi juga senang dinyanyikan. Selain itu, ia harus mempunyai ketulenannya iaitu tidak meniru atau mencedok lagu lain serta ada kelainannya.

“”Kita memang beri tumpuan pada kriteria ini dan untuk pengetahuan semua juga pengadilan untuk kategori lagu dan juara bagi setiap kategori genre muzik tidak dipengaruhi persembahan penyanyi pada malam itu,”” katanya.

Nyata Keliru memenuhi setiap ciri untuk bergelar Juara Lagu dan kelainan pada melodi dan bunyinya yang membenam hasrat dan impian peminat Siti Nurhaliza untuk melihat Nirmala ini diangkat sebagai Juara Lagu.

Jika diperhatikan, Nirmala mempunyai kesamaan seperti lagu Irama Malaysia lain yang pernah dinyanyikan Siti Nurhaliza dalam pertandingan seumpama itu sebelumnya. Atas sebab itu ia hanya berjaya menjadi juara di gelanggang sendiri.

Pun begitu, tidak ada sesiapa yang menolak bahawa persembahan Siti Nurhaliza menerusi lagu itu memang mantap dan wajar menerima anugerah Persembahan Terbaik.

Bagaimana pula dengan kategori Vokal Terbaik? Ada yang kecewa apabila Liza Hanim diumumkan sebagai pemenangnya kerana mereka mengharapkan ia menjadi milik Siti Nurhaliza. Tetapi Liza memang berhak meraih anugerah itu kerana sememangnya dia mempunyai vokal hebat dan penghayatan lagunya menakjubkan.

Komposer Adnan Abu Hassan pernah memberitahu bahawa vokal Liza adalah lebih baik jika dibandingkan Siti Nurhaliza.

Johari juga berkata: “”Liza mempunyai vokal yang bagus, kawalan vokal yang cukup baik, pitch dan julat vokal yang bagus serta penghayatan amat baik. Kita dengar sendiri betapa berkesannya lagu Gelisah Mimpi yang dibawanya.

Bagi kategori Balada, lagu Menadah Gerimis ciptaan Azmeer pula mempunyai kekuatan melodi dan lirik yang mampu mengatasi saingannya yang lain dalam kategori itu dan tiada siapa boleh mempertikaikannya.””

http://www.emedia.com.my/”