Keliru dinobat Juara Lagu Ke-17.

KUALA LUMPUR: Lagu berjudul Keliru dendangan pasangan penyanyi suami isteri, Ajai dan Nurul berjaya menjulang Anugerah Juara Lagu dalam pertandingan Juara Lagu Ke-17 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, malam semalam.

Ia sekali gus menafikan ramalan ramai pihak bahawa juara lagu kali ini akan kembali dimiliki Irama Malaysia.

Dengan kemenangan itu juga, Ajai dan Nurul berserta komposer dan penulis lirik, Aidit Alfian berjaya membawa pulang trofi dan wang tunai RM25,000.

Terdahulu, mereka turut menerima trofi dan wang tunai RM12,000 apabila Keliru diumumkan sebagai juara bagi kategori Pop Rock.

Bagi kategori Balada pula, kemenangan berpihak kepada Ziana Zain yang membawakan lagu ciptaan Azmeer berjudul Menadah Gerimis.

Bersama komposer itu, Ziana turut membawa pulang trofi dan wang tunai RM12,000.

Seperti yang dijangka ramai, lagu Nirmala ciptaan Pak Ngah dan lirik oleh Che Kem dendangan Siti Nurhaliza berjaya meraih kemenangan bagi kategori Irama Malaysia dengan menerima trofi serta wang tunai RM12,000.

Siti juga turut membawa pulang trofi dan wang tunai RM10,000 apabila diumumkan sebagai pemenang bagi Persembahan Terbaik menerusi lagu itu.

Bagi kategori Vokal Terbaik yang mula diperkenalkan tahun ini pula, ramai yang sudah menjangkakan ia akan menjadi milik penyanyi Liza Hanim.

Menerusi kemenangan itu, Liza yang membawakan lagu Gelisah Mimpi ciptaan Aiman dan lirik oleh Alam Maya turut membawa pulang trofi dan wang tunai RM10,000.

http://www.emedia.com.my/