Kelainan melodi bawa kejayaan.

KELAINAN melodi dan genre mengikut arus muzik masa kini memberi kelebihan kepada lagu Cinta dendangan kumpulan Flop Poppy, Julia (Exists), Keliru (Nurul & Ajai) dan Akan Datang (Amy Mastura) untuk melayakkan diri ke Anugerah Juara Lagu 2002 pada pertandingan Separuh Akhir Juara Lagu 2002 yang diadakan di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, semalam.

Hal ini dipersetujui oleh komposer dan penyanyi, Ajai yang turut terkejut dengan keberhasilan lagu ciptaan Aidit Alfian petang itu. Katanya, kejayaan keempat-empat lagu ini menunjukkan industri muzik tempatan sudah maju sembilan tahun ke hadapan.

“Tahun ini kesemua lagu yang layak ke peringkat separuh akhir bertepatan dengan kriteria muzik pop rock sebenar. Kesemua muziknya lain, di mana vokal serta cara persembahan adalah tersendiri dan yang paling penting sepuluh finalis mempunyai karektor masing-masing,” katanya yang menganggap kemenangannya petang itu sebagai nasib.

Tidak seperti tahun lalu, kehadiran Siti Nurhaliza untuk kategori Pop Rock tahun ini kurang menyerlah, apabila lagu Indahnya Percintaan (Nysar/M Zulkifli) tidak berjaya ke peringkat akhir. Malah dia tidak menafikan mengalami sedikit kesukaran menyanyikan lagu ini dek kerana melodinya yang agak pantas dan menyebabkan dia tertelan air liur pada sesuatu sebutan.

“Siti hanya buat yang terbaik dan Siti sedikitpun tidak kecewa dengan keputusan ini. Pada Siti, lagu-lagu yang berjaya memang layak ke peringkat akhir sebab pada Siti, persaingan memang agak sengit sejak dari peringkat awal lagi,” katanya tenang.

Begitu juga dengan nasib Spider kerana lagu taruhan mereka, Aladin yang menjadi sebutan sepanjang persembahan berlangsung belum cukup ampuh untuk layak mereka ke Juara Lagu 2002.

Apapun segala keputusan adalah muktamad apabila diadili lima juri profesional yang dibarisi Norman Abdul Halim, Ooi Eow Jin, Saniboey MOhd Ismail, Zubir Ali, Prof. Hanafie Imam (ketua juri) dan Rohaida Kahariddin sebagai juru audit dalaman TV3.

Kemunculan pertama Flop Poppy, nampaknya membuahkan hasil. Namun menurut mereka dalam usia kumpulan mereka yang masih baru, mungkin tidak memberi kelebihan buat mereka untuk layak ke peringkat akhir. Bagaimanapun populariti yang diraih lagu Cinta (Fatullah dan Baby) mungkin menjadi faktor kejayaan mereka petang itu.

“Sudah masuk peringkat separuh akhir ini pun, sudah bonus buat kami dan apabila lagu ini layak ke peringkat akhir, ia menjadi bonus berganda,” kata mereka yang dikatakan mendapat saingan sengit daripada Anuar Zain, Spider dan Exists.

Seperti juga finalis lain, Ratu Lux terbaru, Amy Mastura sememangnya tidak menjangka lagu ciptaan Iman Wan dan Haslan Hussain (Akan Datang) layak ke peringkat akhir dan jika dihitung ini adalah penyertaan keempatnya penyanyi kecil molek ini ke peringkat akhir Juara Lagu.

“Mungkin bersandarkan muziknya yang ringkas dan ‘catchy’ memberi kelebihan kepada lagu ini. Lagipun ini bukanlah pertandingan beradu suara tapi lebih kepada muziknya,” katanya yang pernah memenangi kategori ini, untuk lagu Bintang Hati pada Juara Lagu 2000.

Bagi Exists pula, kejayaan lagu Julia ciptaan G Nola dan lirik oleh Loloq sekurang-kurangnya mengubati kepasrahan mereka apabila lagu Jesnita gagal mencapai sasaran mereka untuk ke peringkat akhir. Namun mereka berjanji akan memberikan persembahan terbaik selepas buat kali ketiganya mereka ke peringkat final Juara Lagu dengan lagu Ibu (1992) dan Anugerah (1994).

Lagu-lagu lain yang turut bertanding petang itu ialah Slumber (OAG), Permata (Anuar Zain), Jatuh Cinta (Liza Hanim).

http://www.emedia.com.my/