Kekal Di Persada Cinta Peminat


KELAHIRAN album Inggeris pertama adalah kejayaan terbesar Siti Nurhaliza dalam tahun 2011.

MELANGKAH satu hari ke depan, kita bakal memulakan perjalanan baru. Sementelah, mentari 2012 bakal bersinar terang benderang bersama hadirnya hari baru yang penuh gemilang itu. Pun dalam tahun 2011, terlalu banyak yang indah dan jelek, berlaku dalam industri hiburan tempatan, menjadi simpanan di ingatan. Pun, kita ambil saja yang indah, yang putih dan bersih dan ia adalah bekalan untuk mencipta lebih banyak kejayaan yang bertanda. Hits memilih artis-artis yang kami fikirkan terbaik pada tahun 2011.

BIARPUN ramai tidak yakin akan kebolehan Datuk Siti Nurhaliza berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, penyanyi itu tidak gentar menghasilkan album Inggeris All Your Love pada 24 September lalu.

‘Sudah lama Siti simpan hasrat untuk buat album Inggeris. Akhirnya dengan kegigihan Adib (anak tiri), impian Siti tercapai. Album Inggeris ini merupakan kenangan paling manis Siti dalam tahun 2011 ,’ akuinya yang turut berduet dengan penyanyi popular kelahiran Amerika Syarikat, Sean Kingston dalam lagu Remember Me.

Katanya, setelah produk kecantikan jenama Simply Siti dipasarkan pada 2010, dia perlu bekerja keras bagi memastikan produk itu terus diterima ramai dalam tahun 2011.

‘Tahun ini tumpuan dan fokus Siti lebih kepada produk berbanding kerjaya kerana saingan dalam bisnes amat mencabar. Setelah pengguna tempatan memberi reaksi positif terhadap produk Simply Siti, sudah Siti kena tumpu untuk pasaran luar pula.

‘Setakat ini, produk itu sudah memasuki Brunei dan Insya-Allah tahun depan, Simply Siti akan ke Indonesia pula. Siti harap semuanya berjalan lancar,’ katanya.

Di sebalik kegembiraan dengan kelahiran album dan perkembangan positif produk Simply Siti, penyanyi itu turut berhadapan dengan dugaan dalam tahun 2011 apabila produk kecantikannya didakwa sebagai tidak halal.

‘Berita tidak benar itu sangat menguris hati, ia cabaran paling pahit pada Siti yang baru nak berjinak dengan perniagaan kecantikan,’ akuinya.

Namun dugaan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus melebarkan sayap sebagai ahli perniagaan apatah lagi, sehingga kini sudah ada 200 rangkaian di seluruh negara.

Bakal mencecah usia 33 tahun pada 11 Januari depan, diva ini berharap untuk mengadakan konsert secara solo sebagai iltizam 2012.

‘Semoga menjadi nyata kerana Siti sudah terlalu rindu untuk berasa duduk dalam atmosfera sebuah konsert berskala besar,’ katanya.

? Khadijah Ibrahim

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Utusan