Kecoh Siti Nurhaliza kahwin 3 Jun!

Kecoh Siti Nurhaliza kahwin 3 Jun!

Gempar! Memang gempar binti terkejut! Mana tidaknya… malam Isnin lalu Huzz diberitahu yang majlis perkahwinan bintang cantik berdagu lekuk – Siti Nurhaliza dengan seorang ahli perniagaan akan dilangsungkan pada 3 Jun ini. Majlis itu akan diadakan di sebuah kawasan perumahan di Kuala Lumpur.

Kad berwarna merah jambu, kaya dengan haruman itu telah pun diberikan kepada seorang pereka pakaian terkenal (terutama di kalangan orang kaya) iaitu Mas Kassim.

Masa Huzz ke rumahnya, Huzz terkejut tengok di antara kad undangan kahwin atas mejanya ialah kad ini (lihat foto) yang tertulis nama penuh pengantin lelaki (maaf Huzz rahsiakan namanya tapi bermula dengan huruf Z) dan pengantin perempuannya ditulis dengan nama Siti Nurhaliza binti Tarudin P.M.P!

Hah namanya sebijik Siti penyanyi yang terkenal di negara kita ni. Siap ada nama pingat Paduka Mahkota Perak yang pernah Siti terima sebelum ini.

Terus Huzz tanyakan Mas Kassim siapa pengantin lelaki itu, katanya: “Saya cuma kenal dia bila dia berikan kad undangan ini masa datang ke butik. Gayanya macam seorang ahli perniagaan saja. Dia juga tempah sewa baju kahwin untuk dia dan pengantin perempuan. Kami tanya ukuran badan pengantin perempuan, katanya ikut macam Siti Nurhaliza.

“Dia bayar tunai untuk sewa baju (hampir RM3,000 untuk sewa baju), dia juga minta saya tempahkan kek. Orangnya manis dan sopan bila bercakap.

“Bila dia dah balik saya tengok kad ini… saya pun tertanya sendiri apakah dia bakal suami Siti bila nama di kad sama dengan nama Siti penyanyi tu.

“Bila saya minta kawan saya jurusolek Yusof Karim menghubungi Nurul (jurusolek Siti), Nurul menafikan Siti nak kahwin. Mungkin Siti lain agaknya.”

Encik Razali dari Emy Trading (di mana kad kahwin ditempah) pula beritahu Huzz,

“Pihak pengantin lelaki itu menempah 4,000 kad. Dia dah membayar kepada saya sebanyak RM1,800 masa datang ambil kad. Dia juga membuat tempahan untuk perkhidmatan video pada hari berkenaan (3 Jun) dan bayaran tunai RM2,100 sudah dijelaskan.

“Kami tak salah cetak nama di kad… memang itulah nama diberikannya. Malah semasa dia datang dan mengambil kad dia kata jodohnya dah sampai dengan Siti.

“Memanglah mulanya saya tertanya… apakah Siti Nurhaliza akan naik pelamin,” katanya.

Tambah Mas, “ Apa pun saya macam Zali… kami melayan pelanggan kami dengan baik, apa yang mereka mahu kami akan lakukan dengan baik. Lagipun pengantin tak kata agar dirahsiakan cerita kahwin ni.”

Huzz pun kemudian meminta Mass pinjamkan kad kahwin itu.

Bos Huzz, Puan Fatimah Hassan (Pengarang majalah URTV) terus menghubungi ke rumah pengantin lelaki (melalui nombor rumah di kad) bila Huzz tunjukkan kad kahwin itu. Pada masa yang sama Huzz pula terus cari Ayie, abang Siti.

Kata Kak Timah, bila dihubungi rumah pengantin lelaki tu… ada orang menjawab “Kalau dah dapat kad tu datanglah nanti.”

Yang menjawab panggilan itu tidak marah tapi memberi layanan baik. Tak sombong pun.

Nampaknya ada yang tidak menafikan kenduri kahwin besar-besaran akan diadakan. Mengikut jadual kad undangan kahwin itu hidangan makan bermula dari pukul 9 pagi sampai 6.30 petang. Persandingan pukul 2 petang. Undangan terhormat juga dijemput datang kerana di kad ditulis undangan pada Datuk Seri, Datuk, Datin selain Tuan dan Puan.

Ayie pula ditanya Huzz apakah kad ini menjawab segala gosip kononnya sebelum ini Siti mengambil cuti panjang kerana bertunang diam-diam dengan sepupunya?

Apakah sebelum konsert Siti 30 Jun depan, Siti benar-benar akan menaiki pelamin? Atau sudah kahwin dalam diam-diam?

Memandangkan pada kad hanya ditulis alamat rumah pengantin lelaki dan jemputan pihak pengantin lelaki, maka tertanya di hati… apakah majlis rumah Siti sudah diadakan?

Nampak macam Huzz ni busybody pulak ya. Sebenarnya bila cerita ini dikaitkan dengan artis, Huzz sebagai orang tengah antara artis dan peminat kenalah cuba dapatkan kepastian. Lagipun Siti tu insan yang termasuk dalam kelompok public figure. Nama besar dalam dunia hiburan, pendek kata kalau Siti jatuh tangga pun satu cerita besar patut ditulis.

Kata abang Siti, Ayie (atau nama sebenar Saiful Bahari Tarudin, 29, bekas pemain sepak takraw dan penyanyi rakaman di SRC), “Saya tidak terkejut kalau Huzz tanyakan soalan apakah Siti nak kahwin. Sebab gosip bertanyakan Siti nak kahwin sudah mula ditanya orang.

“Tentang kad undangan yang Huzz katakan tu… pada saya ada dua jawapan. Satu… barangkali nama pengantin perempuan sama dengan Siti Nurhaliza, adik saya. Tentang nama gelaran bintang P.M.P, betul adik saya pernah dapat anugerah bintang Pingat Mahkota Perak tapi adik saya sebenarnya ada satu lagi bintang iaitu AMP (Pingat Ahli Mangku Pahang). Di kad itu cuma ada satu bintang. Kut Siti lain tu!

“Kedua, saya takut kalaulah nama Siti dipergunakan. Saya tak nafikan di pejabat saya tu ada saja yang menelefon nak bertanyakan nama penuh Siti. Ada kata nak bagi show. Kalau nak berurusan tentang show, saya selalu beritahu mereka sila fakskan surat yang ada nama syarikat (letterhead) mereka dan lengkap nombor telefon mereka sekali.

“Ternyata ada juga suka nak main-main.

“Apapun berbalik pada urusan kahwin 3 Jun ini… boleh saya beritahu di sini pada tarikh itu Siti akan sibuk dengan latihan show.

“Kalau betul Siti Nurhaliza nak kahwin… takkan saya dan keluarganya nak diamkan daripada wartawan.

“Tak logik. Kami mesti beritahu siang-siang. Mesti nak ada adat merisik, bertunang, akad nikah dan majlia kahwin. Takkan tak buat di Pahang.

“Takkan saya, abang dia yang diarah oleh ayah saya menjaga Siti tak tahu-menahu hubungan baik Siti dengan sesiapa,” katanya.

Apa komen ada orang menghebahkan keluarga Ayie (kedua-dua orang tua) telah menguruskan bab jodoh Siti. Betul ke nak dikahwinkan dengan sepupu sendiri?

“Keluarga saya bersikap terbuka… boleh terima orang luar sebagai ahli keluarga. Buktinya saya… dan adik-beradik lain yang kahwin. Tapi terlebih dahulu ayah dan emak sebagai orang tua mahu kami memilih bakal pasangan hidup yang sesuai. Mana-mana orang tua pun begitu, takkan nak biarkan anaknya berjodoh dengan orang yang bukan-bukan. Begitulah Siti… tidak saya nafikan, keluarga mesti nak tahu siapa yang dia suka dan nak dibuat suami. Bukan mengongkong, tapi untuk kebaikan. Gosip kata dia dah bertunang atau dirancang dengan keluarga sendiri tidak betul!” kata Ayie.

“Percayalah, 3 Jun ini Siti takkan naik pelamin,” tambah Ayie.

Terlanjur bercakap tentang konsert Siti pada 30 Jun depan, Huzz pun terus tanya tentang persiapannya.

“Sejak bulan Mei dah buat. You jangan tak datang Huzz, persembahan Siti kali ni lain dari biasa.

“Konsert selama dua jam itu akan menampilkan lebih 20 lagu. Persembahan Siti memang istimewa, kalau dua tahun lalu Siti pernah adakan konsert di stadium tertutup Bukit Jalil, tahun ini venue yang sama dipilih sebab pihak kompleks sukan juga mahukan Siti meneruskan konsertnya di sini.

“Huzz tahu… tiket RM80 sudah habis. Yang tinggal sekarang tiket RM250, RM100, RM30, RM50,” kata Ayie.

Ayie juga tak lupa beritahu Huzz “Ha… kami pun baru tengok klip video di Indonesia yang baru siap. Huzz mesti suka tengok klip video ni mesti nangis… lagunya – Percayalah.

Huzz pun terus telefon Kompleks Sukan Negara mendapatkan maklumat lanjut tentang konsert ini. Menurut Encik Ahmad Helmi Harun. “Setakat ini talian 03-7053000 terus dibuka untuk tempahan tiket. Seperti yang Huzz ingin tahu… di sini saya maklumkan jumlah tiket yang akan dijual sempena konsert ini ialah sebanyak 12,122 keping.

“Tiket VIP RM250 sebanyak 397 keping, RM150 sebanyak 1,883 keping, RM100 sebanyak 1,620 keping, RM50 sebanyak 2,354 keping dan RM30 sebanyak 3,864 keping.”

“Jumlah kutipan jika tiket habis diju
al dijangka mencecah hampir RM977,440.”

Hah apa lagi, kepada peminat akak Siti… jangan lupa 30 Jun jom ramai-ramai naik LRT ke stadium tertutup Bukit Jalil! Bagi sokongan kat Siti yang hebat dan berbakat menyanyi.

Oklah berbalik pada cerita kad kahwin… yang penting 3 Jun ni… kita tengoklah siapa sebenarnya yang kahwin. Siti Nurhaliza penyanyi dari Kuala Lipis atau Siti Nurhaliza lain!

Maka sahlah pelanduk dua serupa pada namanya Siti tu ya… sebab abang Siti terang- terang menafikan.

Apa-apa pun di sini Huzz tetap mengucapkan selamat pengantin baru yang akan muncul bersanding 3 Jun ini, tidak hanya kepada pasangan pengantin kad merah jambu yang satu ini… tapi juga kepada semua pengantin baru di mana saja sepanjang Jun ini… semoga bahagia dan dirahmati Allah selalu sampai ke akhir hayat!

Kepada Siti Nurhaliza Huzz berdoa agar selamat menjayakan konsert 30 Jun itu nanti ya!

Kita jumpa di sana-insya-Allah!

HUZZ: Selamat pengantin baru buat seorang bos di Warner Music-Zaini Haji Nordin dan pasangannya Mahanom, Penerbit Muzik TV-Rahila dengan pasangannya Yusrizal. Mereka bersanding awal Jun ini. Tak lupa jurugambar Utusan Shamsul naik pelamin 3 Jun ini.

http://www.utusan.com.my/