Kecewa Cinta ‘Cover Line’


Kecewa cinta ‘cover line’
Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my
2012/04/29
gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Foto

Fouziah Gous nafi bakal bertunang atau berkahwin pada Jun ini, tetapi akui sedang mengenali hati budi seseorang

PUAS memujuk Fouziah Gous untuk bersemuka dengan B’POP gara-gara namanya yang tiba-tiba menjadi perhatian, baru-baru ini, berikutan bertebaran pelbagai versi cerita mengaitkannya dengan spekulasi kembali rapat dengan seorang ahli korporat dan kononnya bakal berkahwin pada Jun ini.
Lebih memanaskan suhu industri hiburan tanah air apabila nama pelakon jelita yang bakal genap usia 30 tahun pada 11 Disember ini, apabila namanya turut dikatakan bakal mengikuti jejak deretan artis wanita seperti Lisa Surihani, Fasha Sandha, Scha Alyahya, Irma Hasmie dan Liyana Jasmay dalam merencana masa depan kehidupan berumah tangga.
Kalau betul sekalipun saya nak kahwin buat apalah saya nak sorok benda yang baik. Andai kata sudah sampai jodoh saya, saya menerimanya dengan hati terbuka. – Fouziah Gous
Fouziah dikatakan bakal mengikat tali pertunangan Jun ini dengan lelaki yang masih samar identitinya. Tak kurang juga ada yang menebak lelaki bertuah itu ialah ahli korporat. Bekas pramugari itu bagaimanapun menafikan perihal berkenaan kerana secara logiknya dia sibuk dan terikat dengan komitmen seni, jadi belum ada perancangan ke arah itu dalam masa terdekat.

Sejak sekarang hingga hujung Jun ini, Fouziah menjelaskan, dia sibuk melunaskan baki penggambaran drama yang mencatat rating membanggakan di TV1 terbitan Suhan Movies bagi musim kedua. Akur dengan pujukan B’POP, satu pertemuan berlangsung di sebuah restoran Jepun di KLCC, Selasa lalu.

Jika mengikut kata hati Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) di ASK2007 itu, dia tidak mahu lagi bersuara sekali pun pilihannya untuk bersuara atau tidak seakan menjerat dirinya dan hal ini akan berterusan menjadi tanda tanya. Terpancar kekecewaan pada wajahnya kerana berasakan dirinya seperti bola yang ditendang sesuka hati.

“Saya percaya diri ini di tempat betul tetapi ada kalanya saya tewas di atas paksi menghormati kerjaya wartawan, contohnya. Cuma sebagai manusia biasa, saya sesekali terasa hati apabila yang disampaikan itu berbeza dengan apa yang dituturkan. Malah, lebih sebak apabila orang di luar sana yang lebih arif menilik dan menentukan masa depan. Sedangkan saya sendiri masih tercari-cari dan belum pasti dengan kesudahan sisi peribadi termasuk masa depan. Berilah saya peluang berkawan dengan sesiapapun cuma jangan membuat andaian sesuka hati.

“Mungkin kisah nak bertunang atau kahwin itu lebih afdal diajukan kepada tukang tilik dan penulis gosip berkenaan kerana mereka yang nampaknya lebih tahu. Saya sedar sebagai figura awam, ramai yang nak tahu kisah peribadi tetapi sebaiknya biarlah berasas,” katanya sambil mengakui dirinya sendiri tidak mempunyai tarikh tertentu untuk bertunang mahupun berkahwin.

Dek desas-desus bakal bertunang dan melangsungkan perkahwinan dapa Jun ini, Fouziah akui dia dihujani banyak pertanyaan di kalangan keluarga, sanak saudara dan teman. Tak kurang juga yang mengucapkan tahniah, selain ada yang terasa hati kerana menjadi orang terakhir dikhabarkan cerita pertunangan yang nyata tidak benar itu.

Fouziah juga mengakui amat kecewa kerana kisah ‘usikan’ cinta ‘cover line’ membabitkannya dengan Iqram Dinzly masih terus dikaitkan sebagai alasan mengaburi cintanya dengan orang lain. Fitnah sebegini menyakiti hatinya dan Iqram.

“Kalau betul sekalipun saya nak kahwin buat apalah saya nak sorok benda yang baik. Andai kata sudah sampai jodoh saya, saya menerimanya dengan hati terbuka, tapi jika sebaliknya janganlah memandai-mandai mengarut serta menebak itu dan ini. Lebih baik doakan saya ke arah yang baik itu lebih afdal.

“Begitu juga hal cinta ‘cover line’ dengan Iqram, semakin hari menjadi keterlaluan dan ramai yang tak menyedarinya kesannya kepada keluarga kami. Bayangkan, hingga saat saya berkawan dengan teman baru pun, kisah cinta ‘cover line’ ini tetap menjadi modal orang di luar sana untuk berkata-kata.

“Sejujurnya, saya tidak mahu ia menjadi badi yang boleh merosakkan persahabatan dan ukhuwah saya dengan Iqram. Kami sudah seperti adik beradik. Susah senang saya banyak dikongsi dengannya. Malah, keluarga kami pun tahu keakraban kami kerana kami pernah ke rumah keluarga masing-masing,” katanya yang selepas muncul meneusi filem Rasuk, Fouziah juga sedang menunggu tayangan filem Hantu Bukit Cina arahan TS Jeffry. Dalam filem itu dia bergandingan dengan Gambit Saifullah.

Selama lima tahun berkecimpung dalam dunia seni, selain kerjaya lakonan, kisah peribadinya sering menjadi bualan. Selain tidak habis-habis dikaitkan dengan ahli korporat berstatus duda itu, Fouziah sebenarnya pernah melalui fasa percintaan dengan orang biasa namun kecundang di tengah jalan.

Ketika ini difahamkan, Fouziah sedang dalam peringkat untuk kembali bercinta dan mengenali hati budi seseorang. Bagaimanapun, identiti lelaki berkenaan kekal rahsia dan sekali lagi ahli korporat berkenaan dikaitkan menjadi rapat dengannya pada saat ini.

“Tanyalah wanita mana pun, mereka mesti nak kahwin, mempunyai keluarga dan anak. Saya juga begitu. Hal sama sebelum ke fasa kahwin, kita harus melalui fasa bercinta. Cuma saat ini, saya tak selesa mendedahkan siapa dia kerana pada akhirnya belum tentu dia menjadi milik saya.

“Yang pasti, setiap lelaki yang pernah saya kenali akan diperkenalkan kepada keluarga. Memang saya agak tipikal tapi begitulah cara saya dibesarkan keluarga dengan penuh kasih sayang dan adab. Bererti dalam soal pilihan hati, keluarga akan tahu siapa gerangannya. Tiada rahsia.

“Saya bukan wanita yang keluar dengan ramai lelaki pada satu masa. Saya mahu hubungan yang boleh berakhir dengan cara yang sebaiknya. Begitu juga dalam hal saya terus dikaitkan dengan ahli korporat itu, saya hanya mampu berdiam diri tetapi tidak pernah menyembunyikan fakta jika pernah keluar dengannya di khalayak,” katanya yang pernah menemani ahli korporat berkenaan menonton pementasan teater, Lawak Ke, Der? dan konsert Avril Lavigne.

Kesal dilabel anak emas stesen TV

PADA pertemuan malam itu juga tidak semena-mena membuatkan air mata Fouziah Gous bergenang. Tangisan itu mempunyai hubung kait dengan kisah yang selama ini mengaitkan dirinya dengan ahli korporat, sekali gus dikatakan menjadi anak emas sebuah stesen TV. Selepas hampir tiga tahun ahli korporat itu meninggalkan stesen TV berkenaan, persepsi dan mentaliti kononnya dia masih dilayan seperti anak emas nyata berbekas di hati Fouziah. Difahamkan juga gara-gara cerita itu, Fouziah sebenarnya tidak disukai beberapa pihak lain di stesen terbabit.

“Hingga saat ini, saya tertanya dan terfikir sendiri, kenapa saya harus diperlakukan hingga ke tahap ini. Tetapi, saya bersyukur sepanjang bergelar anak seni, rezeki berlakon tidak putus sekalipun keluar cerita kononnya ada stesen TV seperti menyenaraihitamkan nama saya.

“Tak kurang juga ada teman artis menganggap saya seperti mempunyai lesen besar hingga menjadikan saya sebagai ruang untuk melobi diri supaya dapat berlakon dengan stesen TV itu. Hakikatnya saya tidak seperti dilabel itu. Cuba senaraikan kembali berapa banyak sangat drama yang saya berlakon dengan stesen TV itu.

“Hakikatnya, memang tak banyak pun. Jumlah drama yang saya jadi watak utama pun boleh dikira dengan jari. Tapi lucu juga jadinya jika watak tempelan dan kecil-kecilan yang saya lakonkan menjadi kayu pengukur mengatakan saya anak emas. Tapi, inilah yang saya telan selama ini dan jarang luahkan di mana-mana,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fouziah turut aktif menganjurkan GlamBazaar yang berpaksikan amal membantu mereka yang kurang bernasib baik. Menariknya, Fouziah berjaya menghimpunkan pelbagai koleksi barangan peribadi milik artis untuk dijual kepada orang awam dan peminat. Setakat ini dua siri GlamBazaar dianjurkan, bermula di Adik Villa, Jalan Off Puncak Setiawangsa, Taman Setiawangsa dan medan selera popular, Rasta, Taman Tun Dr Ismail. Antara artis yang turut menyumbangkan barangan ialah Datuk Siti Nurhaliza dan Shaheizy Sam.

“Idea GlamBazaar ini tercetus sejak Februari 2012. Semuanya bermula apabila saya sendiri memikirkan apa boleh dilakukan dengan baju milik sendiri yang masih baru, hanya pernah dipakai sekali saja dan penuh dalam almari. Pada mulanya saya dibantu kawan, Leeya dan Norhazwani (biras). Seterusnya kami dibantu beberapa orang lagi di bawah pasukan ini. Alhamdulillah, untuk siri pertama, kami ambil masa 10 hari saja untuk melaksanakannya dan ia mendapat sambutan baik.

“Sebahagian 30 peratus keuntungan jualan kami ambil daripada artis terbabit kerana ia mengambil kira kos menguruskan gerai seperti membeli rak penyangkut. Keuntungan selebihnya diserahkan kepada artis dan terpulang kepada mereka untuk membenarkan ia disalurkan kepada pertubuhan tertentu atau diuruskan sendiri artis,” kata Fouziah yang berkemungkinan besar merancang GlamBazaar Raya untuk siri ketiga nanti.

Busana: Anizam Yusof (anizamyusof@gmail.com atau anizamyusoftherhucouture.blogspot.com)
Solekan: Fouziah Gous, (Tiar Zainal, http://facebook.com/tiarzainal)

Profil Faouziah Gous
NAMA: Nor Fouziah Mohd Gous
TARIKH LAHIR: 11 Disember 1982 ASAL: Kuala Lumpur
FILEM: Bujang Senang, Malaikat Maut, Otai, Sifu dan Tongga, Rasukan Ablasa Skrip 7707, Maut, Dua Hati Satu Jiwa, Rasuk, Hantu Bukit Cina DRAMA: Enigma, Demi, Sangga Saadah, Qa’naah, Cinta Medik, Impak Maksima The Series, Otai The Series, Pencak Akhir, Anak Mami, Kain Ketat dan SpaQ 2
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) ASK2007

Berita Harian