Kebaya ke blaus?

Anugerah Grammy sudah pun berakhir beberapa hari lalu. Tapi masih juga ramai yang bercakap tentangnya. Bukan fasal pelakon yang diminati tidak menang anugerah.

Tapi fasal kebaya yang dipakai Datuk Siti Nurhaliza ketika memenuhi jemputan permaidani merah pada anugerah itu.

Kak Tim jadi serba salah bila setiap hari menerima panggilan yang bertanya tentang kebaya Siti tu.

“Kebaya ke blaus yang Siti pakai tu? Kata nak pakai kebaya untuk tunjuk identiti ketimuran. Tapi baju yang Siti pakai tu tak nampak pun ciri-ciri kebaya. Apa nama fesyen kebaya Siti tu?” Begitu antara soalan-soalan yang ditanyakan kepada Kak Tim.

Tak tahulah pula Kak Tim nama-nama fesyen baju ni sebab Kak Tim pun bukan pakar dalam bidang fesyen.

Mungkinlah juga kot ‘kebaya’ yang Siti pakai tu fesyen paling terbaru.

Paling membingungkan bila ramai juga yang mempertikaikan penampilan Siti pada majlis anugerah di Los Angeles itu.

“Penampilan Siti di sini lebih cantik dan menarik. Tapi kenapa bila mewakili negara di tengah-tengah bintang dunia tu, Siti nampak simple aja?”

Itu antara soalan-soalan yang Kak Tim tak mampu nak jawab. Cuma ingin Kak Tim katakan, tentang penampilan yang cantik atau tidak tu, susahlah Kak Tim nak jelaskan. Terlalu subjektif.

Tapi bagi Kak Tim, apa pun Siti pakai tetap nampak cantik dan menarik.

KAK TIM: Nak tengok Siti di Anugerah Grammy siaran Channel V saluran Astro 72 pukul 6 petang pada 22 dan 26 Februari nanti.