Kata Teman: Takkan tiada ‘live’ majlis kahwin anak raja?

AKHIRNYA putera Sultan teman, Raja Dr Nazrin Shah akan menamatkan zaman bujangnya. Hati teman kembang berbunga kerana Perak Darul Ridzwan, negeri kelahiran teman akan mempunyai seorang Raja Puan Besar. Zara Salim Davidson memang cantik orangnya. Sudahlah cantik, bijak pula. Seperti yang semua sedia maklum, beliau adalah seorang pelajar cemerlang di Universiti Nottingham dan senarai kejayaan peribadi Zara sama ada dalam bidang pendidikan dan kerjayanya memanglah panjang. Begitu kagum teman dengan pilihan hati Dr Nazrin. Tahniahlah Tuanku, selamat pengantin baru dan semoga kekal abadi sehingga ke anak cucu.

Dalam pada itu, bukan sedikit juga pembaca budiman terutama rakyat Perak yang bertanya sama ada sudah ada mana-mana stesen televisyen yang akan memancarkan secara langsung majlis yang begitu bersejarah ini. Maklumlah bukan selalu kita dapat tengok majlis pernikahan dan perkahwinan anak raja. Iyalah, selalunya yang cuma mendapat undangan adalah kalangan kenamaan dan who’s who dalam masyarakat. Kalau tak VVIP, jangan haraplah. Jadi elok juga kalau ada siaran langsung untuk majlis gilang gemilang sebegini.

Bercakap mengenai siaran langsung majlis kahwin yang begitu high profile, tiba-tiba saja teman teringat kembali majlis perkahwinan pasangan popular, Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohd Jiwa Ogos tahun lalu. Memang kisah mereka mendapat liputan luas media, baik media cetak atau elektronik sehingga dicap sebagai wedding of the year. TV3 siap buat siaran langsung lagi. Boleh dikatakan setiap hari, ada saja berita mengenai Siti dan Datuk K – sehinggakan yang menjadi popular selepas itu adalah the wedding planner, pereka fesyen dan body guardnya.

“Takkan tak buat live Kak Cham. Kalau Siti, TV3 boleh buat siaran langsung, bermula dengan majlis pernikahan sehinggalah ke majlis resepsinya, takkan Datuk Farid tak boleh buat macam tu untuk seorang anak raja. Lagipun Datuk Farid tu pun kan orang Perak?” kata Safura yang meminta agar memanggil dirinya sebagai Cik Pora saja. Eh… bukan Cik Pora, penulis pojok baru dalam akhbar sisipan Bintang Popular tu tetapi Cik Pora yang katanya memang berasal dari Perak.

“Siapa tak lupa, sebelum berkahwin dulu mereka adakan sidang akhbar nak umum tarikh pernikahan. Selepas itu, selama tiga minggu berturut-turut, TV3 juga buat siaran langsung membicarakan kisah cinta mereka. Melalui program Tiada Lagi Rahsia itu jugalah, saya diperkenalkan kepada coklat strawberi.

“Saya pun dah pandai makan coklat strawberi. Bunyinya memang mahal dan eksklusif tetapi rupa-rupanya kalau Kak Cham pergi Cameron Highlands dan KLCC, main lambak-lambak saja. Memang sedap Kak Cham, patut le Datuk Siti suka. Tetapi sekarang ni saya terfikir juga sama ada ia masih menjadi coklat kegemarannya,” katanya lagi yang sudah merancang untuk mengambil cuti semata-mata mahu ke Kuala Kangsar untuk meraikan perkahwinan diraja itu kalau tiada siaran langsung untuk majlis itu.

“Memanglah tak dapat masuk majlis itu Kak Cham tetapi saya nak lepak-lepak kat Lembah Sayong dan kawasan Bukit Chandan. Nak bersama-sama memeriahkan keadaan. Kalau lapar makan laksa dan minum ABC atau nasi campur kat kedai Helmi tu. Ada gulai tempoyak dan ikan terubuk bakar,” kata Cik Pora lagi. Hai… begitu beriya-iya Cik Pora kita. Tetapi soal siaran langsung tu teman tak berapa nak tahulah.

Yang teman cuma dengar, Nona akan membuat program khas mengenai majlis itu. Tak kuasa juga teman nak tanya Datuk Farid kerana teman dengar cerita sibuknya semacam saja. Maklumlah, teman dengar dah macam-macam projek mega TV3. Konsert final Gang Starz pun tidak berapa lama lagi. Perancangannya memang begitu teliti. Juri akhirnya pun bukan calang-calang. Eloklah tu, kalau projek daripada stesen televisyen paling popular, harapan peminat hiburan tanah air memanglah tinggi.

Berbalik kepada soal ‘live’ tak ‘live’ ni, kita biarkanlah bos besar penyiaran buat keputusan. Barangkali mereka tak mahu fikir pun atau tidak mendapat lampu hijau daripada pihak istana. Iyalah, ini kisah perkahwinan diraja bukan kisah artis yang selalunya ada unsur sensasi. Jangan ada yang nak perang rating cukuplah. Sebenarnya teman naik muak juga mengenai perang-perang rating ni. Cukuplah dulu ada cerita perang rating di antara majlis kahwin Siti dengan kisah cinta yang tak kesampaian Ina dan Mawi. Memang penat… Jumpa lagi! – hanizam@bharian.com.my