Kassim Masdor cipta lagu untuk Siti Nurhaliza.

Oleh ABD. AZIZ ITAR

MESKIPUN usia komposer Kassim Masdor sudah mencecah 66 tahun, tetapi faktor itu tidak menghalangnya untuk terus mencipta lagu. Komposer rakyat Singapura ini mempunyai banyak koleksi lagu-lagu ciptaannya yang belum dirakamkan oleh mana-mana penyanyi.

Justeru, menurut Kassim, dia bersedia menyumbangkan lagu-lagu ciptaannya itu untuk dinyanyikan oleh penyanyi masa kini yang berbakat termasuk Siti Nurhaliza.

“Saya bersedia menyumbangkan lagu-lagu ciptaan saya kepada Siti Nurhaliza kalau dia berminat untuk menyanyikannya.

“Sebelum ini pun, saya mendapat tahu Siti Nurhaliza pernah menyanyikan semula lagu gubahan saya yang berjudul Pelangi Petang.

“Lirik lagu itu ditulis oleh Allahyarham Sudirman dan pernah dimuatkan dalam filem Kami yang dilakonkan oleh Allahyarham Sudirman,” kata Kassim Masdor semasa Utusan Malaysia bertemu dengannya di majlis Anugerah MACP 2004 di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Kassim Masdor telah dianugerahkan Nadi Cipta bagi mengenang dan menghargai pembabitannya dalam dunia muzik.

Anugerah itu disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Dr. Sulaiman Mahbob.

Jelas Kassim, dia akan terus mencipta lagu mengikut formula yang pernah diberikan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee kepadanya.

“Suatu ketika dulu, P. Ramlee pernah memberi tips kepada saya. Katanya kalau mahu mencipta sesebuah lagu biarlah lagu itu senang dinyanyikan dan ia juga mudah didengar,” ujar Kassim.

Menyentuh mengenai dunia penggubahan lagu hari ini, Kassim berpendapat ramai komposer muda hari ini yang kurang menerapkan unsur kemelayuan menerusi lagu-lagu ciptaan mereka.

“Komposer sekarang tidak banyak mencipta lagu yang mempunyai unsur irama Melayu.

“Manakala, komposer zaman dulu pula, lebih mengutamakan melodi lagu dan kebanyakannya lebih cenderung kepada unsur kemelayuan,” kata Kassim secara terus terang.

Kassim telah mencipta lebih 400 lagu sejak 1955.

Antara penyanyi popular syang pernah merakamkan lagunya ialah Salamiah Hassan, Sanisah Huri, Rahimah Rahim, Milah Hussin dan J. Mizan

Antara lagu popular ciptaan Kassim ialah Gelombang, Bahtera Merdeka, Sedih Sekelip Mata, Si Baju Hijau dan Hari Ini Dan Semalam.

http://www.utusan.com.my/