‘Kami Tidak Zalim’

TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN


BANGLO RM6 juta di Bukit Antarabangsa yang kini didiami Siti. Kediaman baru Tengku Zawyah sedang dibina di Kemensah, Hulu Klang.

“SITI dan suami tidak sezalim itu,” demikian tegas penyanyi tersohor Datin Seri Siti Nurhaliza, menolak dakwaan mengatakan dia menjadi penyebab kepada ‘pengunduran’ bekas isteri Datuk Seri Khalid Jiwa (Datuk K) dari sebuah banglo yang terletak di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor.

Menurut Siti, dia akur dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan ke atas dirinya selepas membuat keputusan menjadi penghuni banglo mewah bernilai lebih RM6 juta itu bermula awal Mei lalu.

Sebelum ini banglo berkenaan didiami oleh bekas isteri Datuk K, Tengku Zawyah Tengku Izham bersama anak-anak selepas pasangan itu bercerai pada tahun 2005.

Bagaimanapun awal tahun lalu, Tengku Zawyah memilih untuk meninggalkan rumah berkenaan dan Siti dihimpit dengan pelbagai tuduhan tidak berasas mengatakan dia sebagai punca keadaan itu berlaku.

“Siti faham apa yang orang akan anggap. Apa yang orang akan kata bila Siti masuk ke sini. Salah satunya orang akan kata Siti ni zalim dan kejam. Tetapi realitinya bukan macam itu,” kata Siti mohon dimengertikan.

Menurut Siti dia dan suami bukan seburuk yang difikirkan orang apabila membuat keputusan untuk ‘kembali’ ke banglo tersebut.

Sebaliknya atas dasar timbang rasa dan prihatin, dia bersetuju untuk menjadi penghuni baru di kediaman berkenaan.

Sementelah sebagai isteri dia perlu sesekali melihat keadaan kesihatan bapa mentuanya, Mohammad Jiwa Abdullah yang juga menetap di rumah berkenaan.

“Siti lega bila duduk di rumah ini bersama dengan keluarga mentua. Tak ada apa-apa masalah lain. Tak perlulah orang luar pula yang buat spekulasi macam-macam bila Siti masuk ke rumah itu sebab Siti hanya menurut permintaan suami,” katanya.

TENGKU ZAWYAH

Siti juga menolak dakwaan mengatakan dia begitu ‘teringin’ menduduki rumah berkenaan semenjak awal perkahwinan dengan suaminya itu.

Sebaliknya, kata penyanyi popular ini, dia perlu mendahulukan segala keinginan suami.

“Kalau hendak bersikap pentingkan diri sendiri boleh saja. Tetapi bila Siti sudah berkahwin kenalah ikut cakap suami. Bila suami mahu Siti selalu di sini (banglo) menjenguk mak dan ‘pak’ (bapa Khalid), Siti kenalah ikut.

“Sampai sekarang, kami selalu berulang alik antara rumah ini dan rumah yang kami diami sebelum ini,” katanya.

Sementara itu suaminya, Datuk K pula meminta supaya semua pihak tidak terus membuat pelbagai spekulasi buruk dan cakap-cakap negatif mengenai kehadiran Siti di rumah berkenaan.

Secara peribadi Datuk K juga memberitahu VAZZ, dia hairan kenapa orang masih mempersoalkan hal berkenaan sedangkan mereka hidup tenteram.

“Bukan Siti yang suruh Tengku Zawyah keluar. Bukan. Kalau ikutkan Siti dia lebih suka tinggal di kondominium kami saja.

“Selesa dan selamat. Tetapi bila emak dan ayah saya tinggal di sini, sebagai anak kami perlulah menjengah. Masa saya buat rumah ini pun beberapa tahun dulu, hajat saya ialah untuk membawa bersama kedua ibu bapa saya. Nampaknya sampai juga rezeki ibu dan bapa saya tinggal di sini,” katanya.

Mengenai bekas isterinya yang membuat keputusan berundur dari rumah berkenaan, kata Datuk K itu adalah atas permintaan Tengku Zawyah sendiri.

Apa yang penting, dia tidak pernah meminta bekas isterinya itu untuk berbuat sedemikian.

“Saya tidak pernah suruh dia keluar. Tetapi katanya dia perlukan ruang yang lebih kecil sebab anak-anak sudah besar dan belajar di luar negara.

“Insya-Allah hujung tahun ini, dia akan masuk ke rumah baru di Kemensah. Rumah yang saya fikir lebih selesa dengan situasi dia dan anak-anak sekarang,” katanya.

VAZZ! difahamkan rumah baru yang akan diduduki Tengku Zawyah di Kemensah itu juga bakal dibina dengan kos jutaan ringgit dan dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

Kosmo