KAHWIN LELAKI TUA

Usia lanjut bukan penghalang cari kebahagiaan dalam perkahwinan

JARAK usia jelitawan dari seberang, Siti Nurhaliza, dengan Datuk K hangat diperkatakan ekoran jarak usia pasangan itu yang disifatkan agak jauh iaitu 20 tahun.

Ada yang menyifatkan ia sebagai gandingan yang tidak kena.

Hakikatnya, bukan mudah untuk si dara berkahwin dengan lelaki yang lanjut usia apatah lagi jika beliau bergelar duda.

‘Pada pendapat saya, wanita muda bersama lelaki tua bukan tidak boleh nikah tapi mereka takut pada masyarakat sekeliling atau keluarga,’ akui Cik Rafiah Buang.

Seperti Siti, Cik Rafiah, yang menetap di Teck Whye Avenue, terpaksa berdepan dengan tentangan kuat pihak keluarga apabila mengambil keputusan bernikah dengan Encik Hamim Sarkawi 12 tahun lalu.

‘Masa kami berkenalan itu umur beliau 46 tahun dan saya 19 tahun.

‘Memang keluarga saya menentang keras. Arwah mak saya tidak suka sebab beliau sama umur dengan arwah mak. Adik-beradik yang lain pun tidak suka,’ dedah Cik Rafiah.

Jarak usia pasangan yang mempunyai dua orang anak itu malah lebih jauh berbanding dengan Siti. Kini, tatkala Cik Rafiah berumur 37 tahun, Encik Hamim sudah berusia 64 tahun – jarak usia 27 tahun.

Menurut Cik Rafiah, seorang pengawal keselamatan, beliau mula berkenalan dengan Encik Hamim semasa beliau bertugas sebagai operator telefon dan suaminya sebagai pemandu teksi.

Ibu dua orang puteri berusia lapan dan 11 tahun itu berkata beliau berkawan dengan suaminya itu selama tujuh tahun sebelum mengambil keputusan untuk berumah tangga.

‘Saya tidak pernah teragak-agak untuk menerimanya sebagai suami sebab sepanjang tujuh tahun berkawan saya tengok beliau dapat jaga saya dengan baik,’ katanya.

Menurut Cik Rafiah, bukan keluarga sahaja menentang malah teman-teman juga turut mengusik beliau berkaitan dengan lelaki yang menjadi pilihannya.

‘Macam-macamlah kawan cakap. Ada kata saya berkahwin kerana mengejar wang CPF (Tabung Simpanan Pekerja).

‘Saya bernikah dengan suami saya bukan kerana harta tapi cinta dan keikhlasan. Kalau tidak ada cinta dan keikhlasan rumah tangga yang kami bina tidak akan bahagia hingga sekarang,’ tambahnya.

Ketika ditanya apakah tarikan yang ada pada Cik Abang yang lanjut usia, Cik Rafiah berkata: ‘Saya bersyukur mendapat suami yang matang. Beliau romantik dan penyabar.

‘Kami orang muda selalunya panas baran tetapi apabila mendampi ngi lelaki tua, kami rasa masalah dapat diselesaikan,’ ujar Cik Rafiah merujuk suaminya yang 10 tahun menduda sebelum bernikah dengannya.

Beliau turut mengakui hasil didikan suami – yang mempunyai tiga orang anak yang berusia antara 40 dengan 33 tahun hasil perkahwinan pertama – beliau kini pandai memasak dan mengemas.

Ketika ditanya soal anak-anak, Cik Rafiah, yang juga bergelar nenek tiri muda – suaminya kini mempunyai lima orang cucu – berkata:

‘Di sekolah atau di luar rumah, guru, kawan-kawan sekolah atau orang luar akan bertanya dengan anak saya, ‘Itu datuk awak?’ Tetapi mereka akan jawab, ‘Itu ayah kita, memang ayah kita dah tua’.’

Encik Hamim yang kini berehat di rumah ekoran serangan jantung April lalu, menyifatkan jarak usia bukan penghalang atau ukurtara utama ke arah rumah tangga yang aman dan bahagia.

‘Anak perempuan saya sendiri pun kahwin orang tua. Sudah 14 tahun bersama dan alhamdulillah sampai sekarang tidak ada apa-apa,’ katanya merujuk anak bongsunya yang berusia 33 tahun dan berkahwin dengan lelaki berusia 54 tahun.