Kad raya edisi khas artis

Oleh Norhayati Nordin

JIKA Mawi mencetak 5,000 kad raya edisi khas, Datin Siti Nurhaliza pula mencetak sekitar 3,000 kad raya saja.

Pengurus juga kakak ipar penyanyi terkenal itu, Rozie Abdul Razak, berkata kad raya Siti biasanya dihantar kepada wakil media, kenalan, pelanggan Siti Nurhaliza Production (SNP) dan peminatnya sebagai balasan.

“Apapun, Siti sentiasa menerima banyak kad raya setiap tahun. Ia tidak tertumpu kepada peminat di tanah air tetapi juga mereka (peminat )yang menetap di luar negara seperti London, Thailand, Singapura dan Indonesia,” katanya.

Ditanya konsep kad Siti tahun ini yang menggayakan busana perkahwinan, Rozie berkata gambar itu sememangnya diambil untuk tujuan berkenaan. Malah, ia dipilih sebagai rekaan kad raya atas persetujuan Siti.

Katanya, Siti mahu memberi kepuasan kepada peminat melihat foto perkahwinannya. Sekurang-kurangnya, ia boleh diabadikan peminat setianya yang tidak pernah jemu memberikan sokongan.

Pengurus penyanyi dan pelakon, Erra Fazira iaitu Syed Abu Bakar Syed Agil berkata pada Aidilfitri tahun ini, sebanyak 2,000 kad raya khas Erra dicetak untuk dikirim kepada peminat, rakan dan wakil media.

“Seperti tahun sebelumnya, rekaan kad raya Erra tidak banyak berubah. Ia ringkas dan menampilkan gambar terkini Erra. Cuma yang berubah, warna tema dipilih. Bagi Aidilfitri tahun ini, Erra memilih hijau sebagai temanya.

“Apa yang penting bagi Erra ialah dapat membalas kad raya dikirim peminat kepadanya. Bukan itu saja, kiriman kad raya sebenarnya sudah menjadi rutin tahunan Erra,” katanya.

Penyanyi bersuara lantang, Sharifah Hadijah Wan Moss atau Deja Moss pula memilih mengirimkan kad raya yang siap dicetak gambarnya untuk tatapan peminat, kenalan dan wakil media.

Kata Deja, kad hari raya itu dicetak pada tahun lalu. Memandangkan, cetakan banyak iaitu kira-kira 2,000 dan tidak sempat dihabiskan, maka apa salahnya dikirim tahun ini pula.

Bagi pengacara sensasi dan popular, Aznil Nawawi pula mengambil peluang membalas kad raya kiriman peminatnya pada tahun ini. Katanya, jumlah kad raya diterima rupanya banyak kerana peminat menghantarnya di Astro Ria, syarikat rakaman, SRC Records dan KRU.

“Melihatkan keikhlasan peminat yang banyak menyokong kerjaya saya hingga kini jadi saya berusaha membalasnya sedaya termampu tahun ini,” katanya.