Jusco yakin prestasi jualan lebih baik.

KUALA LUMPUR 8 April – Jaya Jusco Stores Bhd. (Jaya Jusco) menjangkakan prestasi jualan lebih baik pada tahun ini selaras dengan pertumbuhan pesat ekonomi negara.

Ekonomi negara dijangka akan berkembang sekurang-kurangnya enam peratus pada tahun ini dan Jaya Jusco turut menyasarkan hasil jualannya meningkat melebihi enam peratus, kata Pengarah Urusannya, Soichi Okazaki.

Menurut beliau, peningkatan tersebut dijangka bakal disumbangkan melalui pelbagai program dan promosi jualan sempena sambutan ulang tahun ke-20 Jaya Jusco yang akan diadakan sepanjang tahun ini.

Dengan promosi menarik tersebut, pihaknya percaya lebih ramai pelanggan akan membeli-belah di Jaya Jusco yang akan menyumbang kepada peningkatan hasil jualan.

Selain itu, katanya sebanyak 1,000 barangan terpilih pelbagai kategori berjenama menggunakan label `JUSCO’ juga akan dijual pada harga yang berpatutan sepanjang kempen tersebut.

“Kita menyasarkan jualan berjumlah RM55 juta melalui penjualan barang-barang `JUSCO’ ini,” katanya pada sidang media Pelancaran Logo Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Jaya Jusco dan pembaharuan kontrak artis terkenal, Siti Nurhaliza sebagai Duta Kempen With All Our Heart (WAOH).

Jaya Jusco mula beroperasi pada tahun 1984 dan sehingga kini mempunyai 11 cawangan gedung di Lembah Klang, Melaka, Johor Bahru dan Ipoh.

Menurut Okazaki, antara barangan yang akan dijual menerusi kempen tersebut ialah sut lelaki, kemeja SAM bercorak, kipas Panasonic, bantal mengurangkan tekanan, pen Parker, Pizza dan pelbagai jenis lagi.

Daripada keseluruhan hasil jualan tersebut, katanya, Jaya Jusco menjangkakan RM10 juta akan disumbangkan melalui jualan barangan pasar raya, RM30 (pakaian) dan RM15 melalui jualan barangan elektrik dan perkakasan rumah.

http://www.utusan.com.my/