JUMPA PAKAR SAKIT PUAN

“…sebelum kahwin pun banyak cerita bukan-bukan yang disebarkan mengenai Siti, sekarang dah kahwin pun ada lagi yang sebar khabar angin.”
jumpapakar.jpg

‘Rumah tangga saya tidak bergolak’

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin mengakui menemui pakar sakit puan di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Selangor tengah hari Ahad lalu.

Bagaimanapun, tegas penyanyi nombor satu negara itu, kunjungan tersebut bukan bermakna dia sudah berbadan dua seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Sebaliknya, penyanyi tersohor negara itu berkata, kunjungannya ke hospital itu semata-mata kerana menjalani rawatan dan mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar di sana.

“Memang Siti pergi ke SJMC untuk mendapatkan rawatan biasa di sana. Tiada yang istimewa. Siti belum mengandung lagi dan insya-Allah Siti tidak akan sembunyikan jika Siti mengandung kelak,” kata Siti yang turut berkunjung ke beberapa pusat pakar sakit puan lain di sekitar ibu kota.

Beliau yang ditemui pada sidang media pengumuman penganjuran peraduan Swap Jom Olay di Hotel Prince, Jalan Conlay di sini berkata: “Siti tidak sakit atau mengalami masalah kesihatan wanita, tapi pada Siti selain panduan daripada orang tua, Siti memerlukan khidmat nasihat daripada pakar. Sebab itu Siti berkanjung ke sana.”

Ditanya apakah beliau sudah bersedia untuk hamil, Siti berkata, sememangnya dia sudah bersedia untuk bergelar ibu andai ditakdirkan mengandung.

Pada pertemuan tersebut, Siti turut menafikan rumah tangga berusia tiga bulan yang dibinanya dengan usahawan Datuk Khalid Mohd. Jiwa atau Datuk K kini bergolak.

Siti yang menafikan sekeras-kerasnya khabar angin yang tidak berasas itu berkata, dia terlalu bahagia dengan kehidupannya hari ini.

“Khabar angin itu tidak benar sama sekali. Siti tidak mampu menahan orang daripada berkata apa sahaja dan Siti relakan apa sahaja yang ingin orang katakan tentang perkahwinan Siti.

“Dahulu, sebelum kahwin pun banyak cerita bukan-bukan yang disebarkan mengenai Siti, sekarang dah kahwin pun ada lagi yang sebar khabar angin.

“Apa yang penting, Siti bahagia dan sangat gembira dengan kehidupan baru Siti. Siti bahagia kerana dipertemukan jodoh dengan Datuk K, seorang suami dan teman yang baik,” katanya sambil mengukir senyuman.

Pada pertemuan itu, Siti turut menafikan dakwaan kehidupannya dikongkong oleh suami.

“Saya tidak dikongkong. Yang penting saya harus bijak membahagikan masa terhadap kerjaya seni dan rumah tangga,” jelasnya.

Sementara itu, Siti turut mengakui dia berdebar menanti tarikh 16 November (esok) kerana buat pertama kalinya dia akan memberi taklimat pada forum Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang diadakan bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO 2006 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pada forum berkenaan, Siti akan berkongsi pengalaman, rahsia kejayaan serta beberapa aspek yang membantu ekonomi negara dari sudut industri seni tempatan.

Selain Siti, personaliti lain yang turut diundang untuk menyampaikan ceramah mengenai RMK-9 ialah pelumba Formula A1 negara, Alex Yoong.

KOSMO!
15 November 2006

source dari http://ctnurhalizaonline.net/